Membantu Anak Sindrom Down "Ikhlas Dari Hati"

Diterbitkan: Jumaat, 19 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MENGAJAR anak yang mengalami masalah genetik Sindrom Down cara bagaimana mengembangkan kebolehan serta kepandaian sosial mereka bukanlah sesuatu yang mudah.

Tetapi bagi pakar terapi dan jurupulih anggota di Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC)di Petaling Jaya, semuanya dilakukan secara 'ikhlas dari jiwa'.

KDSF-NC mempunyai empat juruterapi yang bertugas untuk mengajar dan mengembangkan kebolehan sosial anak-anak Sindrom Down serta perkembangan pertuturan mereka.

Dua daripada juruterapi ini adalah warga Filipina manakala dua lagi dari Malaysia.

Apa yang mendorong mereka memilih untuk bertugas bersama anak-anak istimewa?

MULA DENGAN INGIN AMBIL TAHU

"Ianya bermula dari sikap ingin ambil tahu. Saya mahu belajar bagaimana badan manusia berfungsi luar dan dalam", menurut juruterapi Hazel Joy D. Sablay, 26 tahun. Beliau, yang lebih selesa dikenali sebagai Joy, berasal dari Manila, Filipina.

"Kanak-kanak adalah cantik dan comel. Saya menyayangi kesucian yang ada dalam diri mereka yang membuat mereka jujur dalam segala perbuatan yang dipamerkan dan pada apa perkataan yang mereka tuturkan.

"Tetapi apa yang membuatkan saya amat menyayangi anak keperluan istimewa ialah kekuatan mereka yang memberikan inspirasi kepada kita walaupun mereka berada dalam keadaan yang sukar.

"Sebagai juruterapi, adalah satu hadiah buat saya melihat anak-anak ini membesar dan dapat membantu mereka mengembangkan kebolehan yang mereka ada walaupun dengan keadaan mereka yang sukar dan terhad".

Bagi Joy, bertugas bersama anak-anak istimewa merupakan satu proses mengajar dan diajar.

"Mereka belajar daripada saya dan saya juga belajar daripada mereka. Mereka memberi inspirasi kepada saya dan saya percaya dalam sebahagian daripada hidup mereka, saya juga merupakan inspirasi bagi mereka", kata beliau.

DARI JIWA

Menurut Joy, adalah penting untuk mengetahui bahawa mengajar anak Sindrom Down bukan sahaja berlandaskan pengalaman dan kepandaian tetapi ianya harus dilakukan dengan hati yang penuh ikhlas.

"Jika kita mempunyai semangat untuk membantu mereka, semuanya akan turut tercatur dengan baik. Mempunyai hati dan perasaan yang jujur adalah kunci untuk menjadi pengajar, penjaga atau juruterapi anak istimewa secara efektif".

Joy percaya terapi fizikal atau fisioterapi adalah pilihan baik bagi pesakit yang mempunyai kekurangan upaya dalam sistem badan seperti otot, tulang, sensori, neurologi, peredaran darah serta pernafasan.

"Saya bersyukur kerana dapat bekerja bersama dengan anak keperluan khas walaupun ada mereka yang bertugas sebagai penjaga kesihatan profesional yang enggan dan turut menjauhi anak-anak ini", kata beliau.

Walaupun dilahirkan di Manila, Joy membesar di Isabela, kawasan utara Filipina. Pada tahun 2005, beliau menerima ijazah Sarjana Muda Terapi Fizikal dan mendapat lesen profesional di bidang tersebut pada tahun yang sama.

Sebelum beliau mula bertugas di KDSF-NC pada Mei 2008, Joy bekerja di sebuah hospital di Filipina selama tiga tahun dan telah melibatkan diri dengan ramai pesakit yang terdiri daripada golongan pediatrik dan geriatrik.

"Pada masa yang sama saya juga merawat pesakit di rumah seperti mereka yang mengalami masalah saraf dan otot serta anak istimewa antaranya Sindrom Down", tambah beliau.

TERAPI CARA KERJA

Kenapa pilih juruterapi sebagai kerjaya? Itulah soalan yang diajukan terhadap Junaleth 'June' Dalupang Chiong.

"Ianya bukanlah pilihan pertama saya. Tetapi ketika saya belajar, saya rasa terpanggil membantu mereka yang memerlukan dan ketika itulah saya mula memperkembangkan kebolehan saya dalam aspek ini", kata June yang berasal dari Makati, Filipina.

"Sebelum datang ke Malaysia, saya mempunyai pengalaman bekerja selama tiga tahun sebagai juruterapi cara kerja di Filipina. Saya biasa dengan anak-anak istimewa bukan sahaja Sindrom Down tetapi juga autisme, cerebral palsy, masalah pembelajaran dan cacat akal", kata June yang mempunyai ijazah Sarjana Muda Sains Terapi Cara Kerja.

Beliau juga merupakan juruterapi berlesen.

Bagi anak-anak Sindrom Down, June mempunyai pandangan sebegini:

"Membantu mereka merupakan satu cabaran kerana bukan semua yang dapat menyesuaikan diri bersama anak-anak ini. Anak-anak ini dianggap istimewa bukan kerana masalah yang mereka hadapi tetapi mereka boleh beri kelainan terhadap hidup anda dalam keadaan yang amat istimewa".

Bagi June, anak-anak istimewa membantu membina sifar pengajar mereka kerana ianya bukan sesuatu yang mudah mengajar anak-anak sebegini dengan penuh kasih sayang, kesabaran serta kefahaman.

"Saya tidak pernah menyesal berkhidmat untuk anak-anak istimewa kerana ianya memberi satu kepuasan bila melihat mereka berupaya mencapai kemajuan", tambah beliau.

ANAK ISTIMEWA JUGA MEMPUNYAI HAK

Bagi Ida Yasmine Ahmad, 27, yang dilahirkan di Kuching, Sarawak, anak-anak istimewa mempunyai hak sama seperti anak yang lain. Mereka juga mempunyai persamaan dari segi imaginasi, pemikiran, emosi serta reaksi dan tindakan.

"Disebabkan ciri-ciri istimewa mereka, anak-anak ini telah mencipta dengan sendiri daya mereka yang unik dalam menyatakan sesuatu dan ini memang sesuatu yang amat dan tidak pernah gagal menakjubkan saya.

"Apa yang kita anggap hanya sebagai kebolehan yang agak remeh, tetapi bagi anak istimewa di mana sesuatu itu kelihatan begitu sukar pada mulanya dan bila mereka berjaya melakukannya, ia seperti satu perkara yang amat besar telah dicapai.

"Dan situasi sebegini memang menakjubkan. Walaupun saya mungkin dianggap cuba membesarkan senario ini, tetapi itulah satu fakta dan perkara yang sebenarnya", kata Ida Yasmine yang merupakan graduan Kolej Universiti MAHSA pada tahun 2009.

Bagi beliau, anak-anak istimewa mungkin lain dari anak normal tetapi tetap mempunyai hak yang sama untuk bermain, belajar serta disayangi oleh semua.

"Selamat Hari Sindrom Down Dunia," kata beliau. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan