Kawasan Luar Bandar Selepas Lima Dekad

Diterbitkan: Jumaat, 19 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAHUN ini, genaplah 50 tahun penubuhan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menjalankan tanggungjawabnya memajukan kawasan luar bandar. Sepanjang usia itu, kawasan luar bandar telah mengalami pelbagai fasa transformasi pembangunan baik dari segi pembangunan fizikal mahupun modal insan.

Jika diimbau sejarahnya yang bermula pada 1959, ia ditubuhkan untuk membantu masyarakat luar bandar dalam pelbagai bidang. Dalam tempoh 50 tahun ini, telah banyak kejayaan dan beberapa kegagalan yang telah dilalui kementerian ini.

Usaha gigih kementerian mengubah keadaan luar bandar yang dilabel sebagai mundur, dibelenggu pengangguran dan kemiskinan menerusi penyusunan semula masyarakat dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) perlahan-lahan dapat menghapus persepsi negatif mengenai keadaan luar bandar.

Rancangan-rancangan seperti penanaman getah dan kelapa sawit secara terancang telah membuka peluang pekerjaan. Ia bukan sahaja telah mengubah rupa sesetengah kawasan yang dahulunya daif tetapi turut menyumbang sebagai sumber pendapatan negara. Malahan mengharumkan nama negara sebagai antara pengeluar utama getah dan kelapa sawit dunia.

Bagaimanapun, masih banyak yang perlu dilaksanakan hari ini kerana masih ada kawasan luar Bandar yang ketinggalan dari segi pembangunan terutama di Malaysia Timur.

Daripada 28 juta jumlah penduduk Malaysia, kira-kira 35 peratus daripadanya tinggal di kawasan luar bandar. Di sesetengah negeri, hampir 70 peratus penduduknya tinggal di luar bandar. Sehingga kini, pecahan penduduk yang besar ini masih lagi tertinggal daripada kemajuan ekonomi yang telah dinikmati sejak berdekad yang lalu.

APA KATA MENTERINYA

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, dalam hal ini kerajaan memikul tanggungjawab yang besar untuk memastikan masyarakat luar bandar menerima kemudahan prasarana seperti yang telah dinikmati oleh sebahagian besar masyarakat di negara ini.

"Penambahbaikan penyediaan kemudahan infrastruktur asas untuk rakyat di kawasan luar bandar adalah menjadi satu keutamaan kementerian ini. Akses kepada infrastuktur asas adalah merupakan hak asasi semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada," ulas beliau kepada Bernama.

Menurut beliau, kemudahan infrastuktur jalan raya, perumahan, bekalan elektrik dan air adalah penting untuk kesihatan serta perkembangan sosio-budaya penduduk Malaysia dan menjadi sebahagian daripada asas utama kesejahteraan ekonomi negara.

FOKUS PRASARANA LUAR BANDAR

Tahun 2010 ialah tahun yang amat penting bagi KKLW kerana ia melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawahnya. Bertanggungjawab ke atas usaha memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, pihaknya telah meneliti empat fokus utama NKRA di bawah kementerian ini iaitu jalan perhubungan, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar dan program bantuan rumah.

Mohd Shafie menganggap, secara perbandingan dengan yang lain, NKRA Luar Bandar adalah yang paling mencabar dengan peruntukan terbesar menghampiri RM18 bilion dan pelaksanaannya akan mengambil masa yang panjang.

"Kita sedar, proses membangunkan prasarana luar bandar melibatkan banyak perkara. Di sebahagian besar Semenanjung, prasarana asasnya telah lengkap. Tetapi berbeza di Sabah dan Sarawak yang masih lagi kurang kemudahan bekalan air, elektrik, jalan raya. Malah, ada yang terpaksa naik perahu dan bot kerana tidak ada kemudahan jalan raya."

Ketiadaan jalan raya menghalang usaha penduduk membawa hasil tanaman mereka ke bandar. Ia turut menghalang usaha membekalkan kemudahan elektrik serta air dari pusat pembekal. Malahan menghadkan aktiviti mereka hanya pada waktu siang sahaja.

Namun demikian, menurut Mohd Shafie, setelah mengambil kira analisis faedah-kos yang teliti, sesetengah kawasan luar bandar yang letaknya jauh dari infrastruktur penjanaan dan transmisi elektrik akan menggunakan teknologi penjanaan kuasa teragih seperti janakuasa hybrid solar.

Manakala konsep winter bind iaitu tenaga angin akan digunakan apabila cuaca mendung dan matahari tidak muncul. Kedua-dua konsep ini akan digunakan bagi menjamin kawasan tersebut menerima bekalan elektrik.

Selain membekalkan tenaga elektrik 24 jam kepada lebih 140,000 rumah, di bawah NKRA, pihaknya juga akan menghubungkan rakyat luar bandar dengan pusat-pusat sosial dan ekonomi dengan membina lebih 7,000 km jalan baru dan yang akan dinaik taraf, menyediakan 50,000 rumah baru dan yang dibaikpulih untuk golongan miskin dan miskin tegar dan lebih 30,000 rumah akan menerima air bersih atau yang dirawat.

KESUNGGUHAN WARGA KKLW

Mengakui sasaran yang telah ditetapkan adalah tinggi iaitu membina sebanyak 11 kali ganda panjang jalan raya, 2.5 kali ganda bilangan rumah, menyediakan 5 kali ganda bilangan rumah dengan bekalan elelktrik, serta menghubungkan 7 kali ganda bilangan rumah dengan bekalan air bersih. Ia akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun yang akan datang berbanding dengan apa yang telah dicapai sepanjang tempoh 2006-08.

Mohd Shafie menganggap cabaran yang bakal dihadapi ialah untuk mencapai sasaran tersebut kerana ia memerlukan usaha yang besar dan skala yang luas.

Namun beliau yakin dengan keupayaan warga KKLW kerana terdapat tanda-tanda bahawa keupayaan mereka untuk melaksanakan penyampaian ini akan tercapai. Sebagai contoh, pada 2009, pihaknya telah menyiapkan lebih 17,000 rumah untuk golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar, lebih 240 km jalan raya berturap di Malaysia Timur.

Beliau melihat agensi-agensi yang bertanggungjawab untuk menyampaikan infrastruktur ini telah mula bertindak dan tidak menunggu sehingga 2010 untuk bermula.

"Sepanjang 50 tahun ini telah banyak yang dilaksanakan oleh kementerian ini. Dan sejak setahun memegang kementerian ini, saya melihat kejayaan beberapa projek contohnya projek rangsangan yang kita rancang tahun lepas telah mencapai hampir seratus peratus.

"Bermakna, agensi di bawah KKLW telah mengenali dan memahami sasaran kementerian. Cuma yang perlu ialah lonjakan semangat dan dorongan. Selain memperkenalkan pendekatan pembaharuan sistem seperti yang ada di peringkat kementerian supaya sesuai dengan keadaan semasa. Dengan adanya sistem itu, saya yakin ia mampu membantu dan mematangkan tenaga kerja KKLW untuk menjayakan sasarannya," ulas Mohd Shafie.

"Saya bertanggungjawab dan bertekad untuk mencapai sasaran-sasaran ini menjelang akhir 2012 dan memohon bantuan semua pihak untuk bekerja bersama saya dan pasukan saya demi menyampaikan keberhasilan ini".

PEMANGKIN NEGARA

Mohd Shafie turut berharap masyarakat luar bandar akan terus menjadi pemangkin memajukan negara dan keluar dari senario kepompong kemiskinan di samping melahirkan individu yang bukan sahaja cemerlang dalam kehidupan tetapi boleh menyumbang kepada negara.

Dengan adanya institusi seperti MARA yang merupakan agensi terbesar di bawah KKLW, sektor pendidikan dan kemahiran luar bandar akan terus dipertingkat. Malah MARA akan terus ke hadapan sebagai sebuah agensi kerajaan yang berjaya melahirkan usahawan dan perniagaan dalam pelbagai bidang.

Beliau turut berharap 50 tahun akan datang, KKLW akan terus memberi sumbangan yang besar dalam usaha memajukan masyarakat luar bandar di negara ini. Kampung bukan hanya kekal dengan tradisi tetapi tidak lagi statik dan daif dari segi prasarana tetapi menjadi kawasan yang memberikan kekayaan bukan hanya untuk masyarakat dalam negara malah luar negara. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan