suria

Perlunya Makan Secara Berhemah

KUALA LUMPUR: Bila mengajak anak-anak makan di luar, sering kali anda mungkin terpaksa mengalah kepada pilihan mereka iaitu tidak lain dan tidak bukan, makanan segera.

Siapa yang perlu dipersalah dalam hal ini sedangkan mereka disajikan dengan makanan ini sejak mula pandai memanggil "ibu" atau "ayah" malahan mungkin sebelum mereka mula berjalan lagi!

Di samping kos makan yang kadang kala tinggi juga, sering kali ibu dan bapa terpaksa menelan perasaan bersalah kerana tidak berlaku tegas dan menggalakkan anak-anak mereka makan makanan yang lebih sihat.

"Anak-anak saya lebih gemar makanan segera. Bagilah mereka burger, ayam goreng, kentang goreng, macam pijak semut tak mati, aman satu hari," keluh Yani, ibu kepada tiga orang anak.

Sebagai ibu yang bekerja, Yani mengakui bahawa dia sering membeli makanan segera sebagai jalan mudah kerana kesuntukan masa untuk memasak.

Dia juga kerap menjadikan makanan segera sebagai makanan tengah hari kerana waktu rehat yang pendek, justeru gagal memenuhi azam tahun barunya yang dibuat setiap tahun.

Malahan bila membawa anak-anak keluar membeli belah, Yani sering mengumpan anak-anaknya dengan makanan ringan atau "junk food" dengan membiarkan mereka memilih paket kentang goreng dan snek kegemaran supaya mereka tidak bergaduh sesama sendiri atau membuat bising.

MENANGANI OBESITI

Memandangkan begitu banyak laporan mengenai penyakit kronik seperti obesiti dan diabetes yang melanda rakyat Malaysia akhir-akhir ini, sudah tentu secara logiknya pilihan yang tepat ialah mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Ini bermakna berhemah dalam memilih makanan terutama bila berdepan dengan makanan segera atau makanan ringan.

Malangnya rasa menyesal dengan bidalan "anda adalah apa yang anda makan" hanya akan terngiang-ngiang di telinga apabila kaki memijak alat penimbang berat badan dan melihat tambahan kilo yang sesungguhnya bagai "tetamu yang tidak diundang."

Bagi mereka yang terlebih makan atau "hidup untuk makan" dengan menjadikan makanan segera atau makanan ringan sebagai pilihan utama, amalan ini boleh menjurus kepada obesiti yang akan hanya mendatangkan padah pelbagai komplikasi kesihatan.

Pada hakikatnya, obesiti hari ini bukan sahaja isu melibatkan orang dewasa tetapi juga kanak-kanak yang boleh mengalami masalah berlebihan berat badan jika ibu bapa tidak berhati-hati dalam pemilihan makanan untuk anak-anak mereka.

Ada pihak yang pantas menuding jari kepada iklan atau kempen besar-besaran yang dijalankan oleh sesetengah rangkaian makanan segera.

Namun bukankah kita mempunyai kawalan penuh ke atas dompet kita dan perlu bertanggung jawab atas tindakan kita dan tidak cepat menyalahkan orang lain.

MAKANAN RINGAN, MAKANAN SEGERA

Makanan ringan, makanan segera, bagi sesetengah orang, kedua-dua kategori makanan ini mungkin telah sebati dalam kehidupan mereka dan secara tidak sedar, amalan ini diwarisi anak-anak mereka.

Ensiklopedia percuma, Wikipedia menyebut "junk food" atau makanan ringan sebagai istilah tidak rasmi yang ditujukan kepada sesetengah makanan yang dianggap sebagai mempunyai sedikit atau tiada langsung nilai nutrisi.

Istilah itu juga merujuk kepada produk dengan nilai nutrisi tetapi mengandungi juga ramuan yang dianggap tidak sihat jika kerap dimakan atau yang dianggap tidak sihat langsung untuk dimakan.

Dalam hal makanan segera, menurut Wikipedia, istilah tersebut merujuk kepada makanan yang disedia dan disaji dengan pantas, di mana terhasil juga istilah Restoran Khidmat Pantas atau "Quick Service Restaurant (QSR)".

Restoran makanan segera semakin mendapat tempat di hati pelanggan apabila menyediakan khidmat bungkus atau bawa balik (take-away atau take-out) dan ada juga yang menawarkan khidmat pandu lalu (drive-through).

Menu lazim yang dihidangkan di restoran makanan segera termasuk burger, sandwic, ayam goreng, kentang goreng, hot dog, nuget ayam, kentang lecek, salad dan 'milkshakes' di samping minuman berkabonat.

KUANTITI KECIL

"Makanan yang rendah nilai nutrisi dengan nilai kalori yang agak tinggi," kata Mary Easaw-John, Pengurus Kanan Dietetik dan Khidmat Makanan, Institut Jantung Negara (IJN) apabila ditanya mengenai makanan ringan.

Ramai juga yang cuba mengelak atau mengehadkan makanan ringan dalam diet mereka kerana kebimbangan makanan itu tidak sihat.

Menurut beliau, pakar diet dan penganjur kesihatan yang lain sering berusaha untuk mendidik masyarakat mengenai makanan ringan, menggalakkan mereka mengamalkan diet yang seimbang dengan kandungan makanan sihat yang tinggi.

"Jika anda boleh hidup tanpa makanan ringan, ia memang bagus untuk anda. Sekiranya anda perlu memakannya, nikmatilah ia dalam jumlah yang kecil," katanya.

Beliau menasihatkan pengguna supaya meluangkan masa untuk membaca label bukan sahaja untuk tarikh luput tetapi untuk memahami nilai nutrisi makanan dan mengelakkan daripada membeli makanan ringan yang mengandungi nilai nutrisi yang rendah tetapi tinggi dengan lemak, gula dan garam.

Easaw-John juga dengan pantas berkata makanan ringan pastinya bukan untuk mereka yang mengalami lebihan berat badan atau menghidap penyakit seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung dan diabetes, keadaan di mana seseorang itu mempunyai paras gula (glukos) yang tinggi kerana badan bukan sahaja tidak boleh menghasilkan insulin yang mencukupi atau kerana sel badan tidak bertindak secara betul kepada insulin yang dihasilkan.

Mengenai makanan segera pula, Easaw-John menjelaskan bahawa satu hidangan memberikan nisbah yang tidak seimbang, kadang kala melebihi 100 peratus daripada pengambilan harian lemak, kolesterol, garam dan gula yang disyorkan.

"Jadi bacalah analisis nutrisi makanan segera yang disediakan oleh restoran makanan segera supaya sesuai dengan pelan makanan anda," katanya.

KEBIMBANGAN UTAMA

"Lebih tinggi daripada standard gula, garam dan kolesterol yang boleh diterima," demikian pandangan Datuk Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Sumber dan Penyelidikan Penguna (CRRC) Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengenai makanan segera dan makanan ringan.

Beliau berkata semakin ramai rakyat Malaysia kini dilanda masalah lebihan berat badan dan obesiti.

Menurut statistik yang disediakan Selva Raj, kadar lebihan berat badan dalam kalangan rakyat Malaysia ialah 29.1 peratus pada 2006 berbanding 16.6 peratus pada 1996.

Kenaikan yang tinggi juga dicatat untuk kadar obesiti, dari 4.4 peratus pada 1996 kepada 14.2 peratus pada 2006 (kenaikan 9.8 peratus).

Selva Raj berkata lebihan berat badan serta obesiti boleh mencetuskan masalah lain seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

"Bilangan rakyat Malaysia yang menderita diabetes meningkat dari 6.6 peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006 sementara bilangan mereka yang menderita tekanan darah tinggi melonjak dari 12.7 peratus kepada 42.6 peratus pada 2006," beliau memberitahu Bernama.

KEADAAN SEMAKIN BURUK

Menurut Selva Raj, pemakanan makanan segera atau makanan ringan beserta dengan gaya hidup yang tidak banyak bergerak hanya memburukkan keadaan kesihatan di Malaysia.

Beliau menyebut statistik dari National Health and Morbidity Survey of 2006 yang menunjukkan kira-kira 43.7 peratus daripada penduduk dewasa di Malaysia tidak aktif dari segi fizikal.

Kementerian Kesihatan, katanya, membelanjakan kira-kira 20 peratus atau RM180 juta daripada bajet RM900 million untuk ubat bagi penyakit kronik gaya hidup seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan kolestoral tinggi.

LANGKAH MENGAWAL

Kemementerian Kesihatan pada Disember 2009 membuat pengumuman ia akan mengawal promosi dan pemasaran khidmat makanan segera di negara ini serta mendidik rakyat Malaysia mengenai diet atau pemakanan sihat.

Menteri berkenaan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam membuat pengumuman itu menyifatkan makanan segera sebagai berbahaya kepada kesihatan kerana ia diketahui mengandungi kalori, lemak, garam dan gula yang tinggi.

Beliau dipetik sebagai berkata antara langkah yang akan diambil ialah dengan mengetatkan kawalan terhadap promosi dan iklan makanan segera di stesen televisyen.

Menurut beliau lebih banyak program membabitkan pemakanan sihat di radio, stesen TV, akhbar dan majalah akan juga ditingkatkan.

"Memandangkan pertumbuhan pantas pelbagai rangkaian makanan segera di negara ini, Kementerian Kesihatan perlu bertindak cepat untuk mengawalnya.

"Setakat ini Kementerian berkenaan hanya mengambil langkah mengehadkan pengiklanan TV makanan segera kepada kanak-kanak termasuk mengharamkan sebarang bentuk siaran TV mengenai iklan makanan segera sewaktu program TV kanak-kanak," kata Selva Raj.

Kementerian Kesihatan, katanya perlu juga mengehadkan pemasaran barang permainan kepada kanak-kanak oleh rangkaian makanan segera di panggung wayang dan internet.

"Kebimbangan kita ialah hampir semua kanak-kanak melayari internet dan boleh membuat pembelian apa yang mereka inginkan tanpa bimbingan ibu bapa," katanya.

MUSLIHAT IKLAN

Selva Raj juga menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan perlu juga bertindak ke atas iklan makanan ringan serta makanan tidak sihat yang lain.

Katanya, pemasar dan pengiklan sering menggunakan pelbagai taktik untuk menarik perhatian pelanggan kanak-kanak.

"Pemasaran kepada kanak-kanak dieksploitasi secara meluas di mana-mana di Malaysia. Kerajaan perlu mengadakan kawalan menerusi perundangan, dasar dan progran pendidikan bagi melindungi kepentingan kanak-kanak," tegasnya.

Selva Raj mengulangi bahawa makanan ringan tidak seharusnya dijual di kantin sekolah juga di luar sekolah (dalam jarak tertentu).

Dalam hal ini beliau menyarankan ibu bapa supaya memainkan perana utama dalam mendidik serta membimbing anak-anak mengamalkan pemakanan yang sihat.

"Mereka perlu bekerjasama dengan sekolah dan pihak berkuasa tempatan untuk memantau kantin sekolah serta memastikan makanan ringan bukan sahaja tidak dijual di kantin sekolah tetapi juga di luar pagar sekolah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain