suria

Kawal Kencing Manis, Lindungi Buah Pinggang Anda

HARI Buah Pinggang Sedunia 2010 (WKD) kali kelima yang berlangsung hari ini, 11 Mac akan merangkumi lebih 100 buah negara yang merentasi enam benua termasuk Malaysia.

Kempen WKD merupakan kempen kesedaran global yang memberikan fokus terhadap pripentingnya penjagaan buah pinggang serta bertindak sebagai medan terbaik kepada orang ramai bagi menjalani pemeriksaan buah pinggang.

Pemeriksaan itu bertujuan bagi mengetahui sama ada seseorang individu berisiko untuk menghidap penyakit buah pinggang atau sebaliknya.

Kempen tahun ini juga diharapkan dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang kawalan penyakit kencing manis bagi menghindari daripada serangan penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Penyakit CKD itu akan berlaku apabila seseorang individu mengalami pembuangan albumin yang berlebihan dalam air kencing atau kemerosotan ketara dalam fungsi buah pinggang.

Sehingga kini, lebih daripada 500 juta penduduk dunia menderita akibat beberapa penyakit buah pinggang dan setiap tahun menyaksikan penduduk seluruh dunia mati akibat masalah buah pinggang yang berpunca daripada penyakit kencing manis.

Jika penyakit itu tidak dikawal pada peringkat awal sehingga boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, pesakit perlu menjalani rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang. Ekoran kesukaran untuk mendapatkan buah pinggang baru untuk proses pemindahan, ramai pesakit memilih kaedah rawatan haemodialysis atau peritonel dialysis.

Pihak kerajaan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan kini sedang giat mengenal pasti pesakit yang benar-benar memerlukan rawatan kerana negara kita telah mencatatkan seramai 20,000 pesakit dialisis.

Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF) yang melantik Datuk Chef Wan sebagai dutanya pada tahun ini mempunyai 23 buah pusat dialisis dan bertindak sebagai pembekal perkhidmatan dialisis utama di negara ini. NKF yang bukan sahaja memyediakan pusat dialisis telah maju setapak dengan memberi tumpuan kepada langkah-langkah bagi memupuk kesedaran awal kepada masyarakat tentang pencegahan penyakit buah pinggang.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengurus NKF, Datuk Dr. Zaki Morad Zaher, pendedahan awal dan terperinci mengenai kaedah rawatan yang sedia ada perlu diberikan kepada masyarakat supaya mereka dapat merancang kaedah yang sesuai dengan gaya hidupnya.

Tema sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2010 adalah "Kawal Kencing Manis- Lindungi Buah Pinggang Anda,". Di Malaysia, hampir 55 peratus daripada pesakit dialisis baru adalah penghidap kencing manis.

Penyakit kencing manis 2, yang tidak dapat dikesan sejak bertahun-tahun dahulu akhirnya dapat dikesan akibat pengambilan gula berlebihan tanpa kawalan.

Di Malaysia, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), Persatuan Nephrology Malaysia (MSN), dan Kementerian Kesihatan sekali lagi telah berganding bahu menganjurkan kempen kesedaran penjagaan buah pinggang peringkat kebangsaan pada Mac ini.

Bagi menjayakan kempen ini, NKF, MSN, dan MOH telah melancarkan unit pemeriksaan kesihatan bergerak NKF (NKF Life Check), iaitu dengan sebuah bas yang boleh memuatkan seramai 40 orang penumpang.

Perkhidmatan bas itu juga telah berada di Kota Bharu, Kelantan pada 6 Mac lalu dan bakal berada di Terengganu, Pahang dan Selangor untuk mengendalikan ujian saringan kesihatan secara percuma bagi orang awam.

Forum tersebut yang menyentuh mengenai penyakit buah pinggang dan penyakit kelenjar akan diadakan di negeri Terengganu, manakala pameran kesihatan buah pinggang dan kempen menderma organ pula akan berlangsung di semua lokasi sambuta WKD.

Di Kota Bharu, perasmian program akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, manakala di Kuala Terengganu pula akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar. Manakala di Pahang pula perasmian program akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Hoh Khai Mun.

Acara kemuncak kempen dan pemeriksaan kesihatan itu adalah acara perasmian sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2010 yang akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa, Hal-Ehwal Pekerja Ladang, Pembasmian Kemiskinan dan Masyarakat Penyanyang, Dr. Xavier Jayakumar di pusat Membeli belah One Utama pada 14 Mac ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain