Jom Tanam Koko, Pulangannya Masih Lumayan

Diterbitkan: Sabtu, 6 Mac 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Ketika pekebun kecil lain sibuk menebang pokok koko dan menanam kelapa sawit pada 1990-an apabila harga kelapa sawit melonjak, Hamdan Buang sebaliknya pula sibuk mentut pokok koko tuanya dengan baka koko baru bermutu tinggi.

Ketika itu, pokok koko baka lamanya yang berusia antara 13 dan 15 tahun di atas kawasan seluas kira-kira 4.4 hektar di Kampung Ranggu di sini ditanam oleh keluarga mentuanya.

Mentuanya pada masa itu tidak terikut-ikut dengan pekebun lain kerana pokok koko tua itu masih mengeluarkan hasil dan banyak menyumbang rezeki kepada keluarga.

"Sehingga hari ini, alasan itu masih dipegang ibu bapa mentuanya," kata beliau.

Disebabkan faktor nostalgia itu, Hamdan, 51, tekad mengusahakan kebun koko berkenaan meskipun ketika itu terpaksa berhadapan dengan harga koko yang rendah di samping pokok koko yang diserang penyakit.

Usaha yang diambil Hamdan ini berhasil kerana walaupun selepas lebih 10 tahun pokok koko tuanya itu ditutkan, ia terus mengeluarkan buah yang banyak dan memberi pulangan lumayan kepada keluarga.

HARGA LEBIH DARIPADA SAWIT

Hamdan yang pernah berkhidmat sebagai anggota tentera selama 18 tahun sanggup bersara awal kerana melihat potensi pada tanaman koko sebagai sumber pendapatan lumayan.

Kini Hamdan boleh dianggap sebagai antara pekebun kecil contoh yang berjaya di Tawau sehingga kebunnya dipilih untuk dilawati oleh Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor baru-baru ini.

"Bagi saya, koko amat sesuai diusahakan bagi mereka yang memiliki tanah yang kecil. Kalau kebun koko dijaga dengan baik, ia mampu memberi pulangan lumayan kepada pekebun kecil.

"Saya boleh kata pulangan daripada satu ekar tanaman koko lebih lumayan daripada satu ekar kelapa sawit," kata Hamdan kepada Bernama ketika ditemui di kebunnya.

Menurut Hamdan kebiasannya 0.44 hektar (1 ekar) kebunnya boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 420 kilogram biji koko basah sebulan dengan harga biji koko basah semasa sebanyak RM2.50 sekilogram.

PENJAGAAN TIDAK CEREWET

Walaupun tanaman koko memerlukan lebih tumpuan namun pada masa yang sama tugas menjaganya boleh dianggap santai kerana tidak memerlukan banyak tenaga dan pekebun bekerja di bawah teduhan pokok koko yang rendang.

Setiap hari, pekebun koko cuma perlu memperuntukkan masa sekurangnya-kurangnya dua jam untuk memeriksa pokok dan daun bagi memastikan ia bebas daripada makhluk perosak dan penyakit. Pokok koko perlu disembur racun makhluk tiga kali setahun dan dahan-dahan tidak perlu boleh dicantas.

Beliau sendiri telah memperoleh bantuan yang dianggapnya lebih daripada mencukupi sama ada daripada segi nasihat, insentif penanaman, bekalan bahan seperti baja dan racun dan peralatan serta maklumat tentang pasaran dan harga koko.

BANTUAN TANAMAN

Beliau menolak andaian kononnya tanaman koko berisiko tinggi kerana penanam boleh mengalami kerugian akibat pokok koko yang kurang mengeluarkan hasil termasuk masalah penyakit.

"Bagi saya jika anda memiliki tanah 2.2 hektar (lima ekar) ke bawah, elok tanam koko. Saya fikir agensi kerajaan berkaitan boleh memainkan peranan aktif membantu petani menanam koko berkenaan. Saya yakin cara ini mampu mengeluarkan banyak isi rumah daripada belenggu kemiskinan tegar," katanya.

KOMODITI KOMERSIL YANG BAIK

Abi Musa ketika melawat pusat pengeringan biji koko bagi pekebun kecil di Kampung Andrassy di sini baru-baru ini berkata pekebun kecil perlu yakin dan terima kaedah baru dalam penanaman koko.

Jika dahulu memang ada kewajarannya petani bimbang akan kerugian, sebagai contoh kerana penyakit dan harga koko yang rendah, kini mereka boleh harapkan bantuan melalui pelbagai agensi termasuk bantuan penanaman sebanyak RM6,500 setiap hektar untuk tempoh lima tahun.

Harga koko di pasaran juga kini cukup tinggi iaitu RM2.50 sekilogram untuk biji koko basah manakala koko kering boleh mencecah antara RM8,000 dan RM10,000 setiap tan metrik.

Menurut Abi Musa lagi pada masa ini bekalan biji koko tempatan bagi kegunaan industri tidak mencukupi sehingga Malaysia terpaksa mengimport biji koko termasuk dari Indonesia.

Berdasarkan statistik LKM, pada 1989 keluasan tanaman koko di Sabah mencecah 205,260 hektar tetapi sejak 1990-an keluasan tanaman koko mula berkurang selepas koko digantikan dengan kelapa sawit. Pada tahun 2009, keluasan tanaman koko di Sabah cuma mewakili 7,913 hektar.

Keluasan tanaman koko di negara ini pernah pernah mencapai 414,236 hektar tetapi pada tahun 2009 keluasannya hanya tinggal 20,561 hektar. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan