suria

Usaha Hijau Yang Sebenar

SEJAK kebelakangan ini, usaha ke arah 'penghijauan' menjadi lebih kepada satu ikutan dan bukan kepada usaha padu untuk mencari penyelesaian dalam isu alam sekitar.

Dunia korporat memulakan sesuatu yang mereka sebut "inisiatif hijau", tetapi mungkin sesetengah tertanya-tanya sama ada ia lebih merupakan kepada usaha mendapatkan pengecualian cukai.

Namun tidak bagi Ruth Yeoh, anak perempuan sulung kepada Tan Sri Francis Yeoh, Pengarah Urusan Kumpulan YTL, yang melihat isu alam sekitar secara terus terang dan terbuka.

Bagi yang masih tidak mengetahui, kumpulan YTL ialah satu daripada konglomerat infrastruktur terbesar di Malaysia dengan syarikat-syarikat di seluruh dunia.

Ruth pula bukan sahaja Pengarah Pelaburan malah mengetuai sendiri bahagian alam sekitar di YTL.

Namun demikian, pendekatan Ruth menangani isu hijau tidak seperti seorang yang memegang jawatan penting dalam konglomerat bertaraf dunia.

Beliau menolak label seperti "tanggungjawab sosial korporat" (CSR) dan menegaskan isu alam sekitar seperti perubahan iklim ialah sesuatu yang perlu diberi perhatian serius, sama ada di peringkat korporat mahupun peribadi.

"Misi korporat saya di sini ialah membantu syarikat kami menjadi "hijau" dengan penuh tanggungjawab. Tugas saya ialah untuk 'membersihkan' semua perniagaan kami.

"Ini bukan sahaja CSR. Ia juga merupakan tadbir urus korporat, kerana kami bukan sahaja memberi laporan tahunan kepada pemegang saham tetapi untuk ketelusan, laporan itu boleh didapati secara on-line agar orang ramai dapat melihatnya pada bila-bila masa.

"Mereka boleh memberi respons terus kepada saya sekiranya ada pandangan atau soalan," kata Ruth dalam temu bual dengan Bernama.

MISI PERIBADI

Latar belakang dalam bidang seni bina dengan pengkhususan dalam reka bentuk organik dan lestari banyak membantu beliau menerapkan usaha ke arah kemapanan planet menerusi kerja yang dilakukannya.

"Saya amat seronok dengan apa yang saya lakukan dan juga menjadikannya misi peribadi saya. Saya seorang yang amat percaya kepada kuasa kemahuan individu. Anda boleh menjadi ejen perubahan sendiri," kata Ruth, yang juga Pengarah Karbon YTL-SV, perunding karbon kredit dan Mekanisme Pembangunan Bersih (CDM) YTL.

Menjelaskan kuasa individu, Ruth mengaitkannya dengan pengalaman beliau menjelajah ke kampung-kampung pedalaman Yunan di China bagi membantu usaha pemuliharaan dan kelestarian.

"Apa yang China sedang lakukan ialah mengimbangi pemuliharaan dan pembangunan. Saya sendiri pergi melawat kampung-kampung kawasan pedalaman di Yunan, di mana mereka tidak mempunyai kemudahan asas dan elektrik.

"Jadi dilemanya ialah menerangkan kepada mereka mengenai perubahan iklim dalam cara yang tidak mengelirukan mereka," katanya.

Ruth berkata beliau secara peribadi menderma AS$2,000 untuk memulakan projek hijaunya dengan membantu mereka membina rumah tanpa mengorbankan banyak pokok.

"Adakah anda tahu bahawa penduduk kampung-kampung di Tibet terpaksa menebang banyak pokok hanya untuk mendirikan sebuah rumah yang gelap, tanpa penebat haba dan perlu dibina semula selepas dua tahun akibat proses pengembangan dan penguncupan kayu?

"Itu bukanlah sesuatu yang bijak, jadi kami memperkenalkan bahan yang lebih mesra alam, bersama-sama pelan dan lakaran dan mencadangkan kepada mereka agar membinanya secara demikian," katanya lagi.

Ruth berkata matlamatnya ialah untuk mengurangkan kadar penebangan pokok sebanyak 20 peratus dan ia boleh dicapai sekiranya mesej disebarkan secara betul.

Menerusi bahagian alam sekitar YTL, beliau menerbitkan laporan mengenai aktiviti alam sekitar pertubuhan berkenaan setiap tahun.

Ruth juga mempelopori usaha tahunan YTL iaitu "Minggu Perubahan Iklim" yang beliau anggap sebagai "hadiah kepada orang ramai".

"Bagi Minggu Perubahan Iklim, kami mengadakan tayangan percuma eko-dokumentari dan filem, ceramah, seminar, mesyuarat dan persidangan. Kami juga mengadakan bengkel untuk remaja dan kanak-kanak agar mereka boleh mengambil bahagian dan menyuarakan pendapat," katanya.

Beliau berkata bahagiannya juga menganjurkan aktiviti Earth Hour dan sambutannya amat menggalakkan hinggakan peserta meminta agar ia diadakan lagi pada masa akan datang.

"Apabila anda meminta satu kempen seumpama ini, saya yakin ia memberi banyak kebaikan," katanya.

ISU GLOBAL, NAMUN SUMBANGAN INDIVIDU DIAMBIL KIRA

Apabila ditanya pendapat beliau tentang kesukaran pemimpin dunia untuk mencapai kata sepakat pada Persidangan Iklim Copenhagen akhir tahun lepas, Ruth berkata:

"Masalahnya dengan perubahan iklim ialah ia masalah sejagat yang memerlukan tindakan sejagat juga. Ia mengambil masa untuk menghasilkan satu penyelesaian tepat yang menyeluruh.

"Bukan sahaja kita perlu bimbang dengan negara-negara maju malahan keseimbangan di negara-negara membangun," katanya.

Ruth berkata negara seperti China yang mengalami pertumbuhan pesat mungkin mempersoal kenapa mereka tidak diberi peluang berkembang seperti yang dinikmati Amerika Syarikat pada satu ketika dahulu.

"Mereka mungkin beranggapan: negara mereka sedang mengalami pertumbuhan penduduk yang tinggi, dan mereka tentu tidak mahu sebarang dasar perubahan iklim yang boleh menggugat pertumbuhan itu.

"Itulah dilemanya sekarang. Tetapi saya positif kerana mereka yang menghadiri persidangan itu, antaranya ialah Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Presiden China dan Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak, jelas memaparkan penyertaan bersungguh-sungguh di peringkat pembuat dasar," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata masyarakat tidak sepatutnya meletakkan tanggungjawab mengenai perubahan iklim di atas bahu pihak kerajaan dan korporat sahaja.

"Kita perlu bersama-sama dalam perkara ini."

USAHA PEMULIHARAAN LAIN

Dalam sibuk dengan kerja-kerja pemuliharaan alam sekitar, Ruth sempat menerbitkan buku berkaitan dengan alam sekitar.

Pada 2007, beliau menerbitkan buku berjudul Cut Carbon, Grow Profits: Business Strategies for Managing Climate Change and Sustainability bersama Kenny Tang.

Tang mengetuai lembaga Penasihat Alam Sekitar bagi IPWG - sebuah kumpulan syarikat tenaga boleh diperbaharui dan sisa ke tenaga.

Buku berkenaan menerangkan cara yang boleh diambil oleh syarikat dalam mengendalikan sisa karbon dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat, bandar raya, individu dan perniagaan hari ini dalam melestarikan alam sekitar.

Selain itu, Ruth juga ialah ahli lembaga "Reef Check Malaysia", yang bertindak bagi melindungi terumbu dan batu karang di Malaysia serta rantau Asia Tenggara.

Diasaskan pada tahun 1996, Reef Check ialah sebuah pertubuhan bertaraf dunia yang mengawasi batu karang.

Pertubuhan tidak bermotifkan keuntungan itu melatih sukarelawan saintis laut dan penyelam melakukan kajian dan mengutip data mengenai batu karang bagi membantu menilai tahap kesihatan terumbu karang.

Reef Check aktif hampir di 82 negara dan sempadan di seluruh dunia.

Pada bulan lepas, Ruth menambah satu lagi penghargaan ke atas dirinya apabila terpilih sebagai seorang daripada Asia 21 Fellow dalam Persatuan Asia.

Seramai 21 pemimpin generasi akan datang dari 16 negara di rantau Asia Pasifik dianugerahkan penghargaan itu, yang diberi kepada pemimpin menyerlah bawah umur 40 tahun.

Mewakili pelbagai sektor, penerima anugerah itu akan berkunjung sebanyak tiga kali semasa tahun Fellowship ke bandar raya yang berbeza di rantau Asia Pasifik untuk mengetengahkan topik berhubung dengan alam sekitar, pembangunan ekonomi, pembasmian kemiskinan, pendidikan universal, penyelesaian konflik, krisis HIV/AIDS dan kesihatan awam, hak asasi manusia dan isu lain.

Penglibatan aktif beliau dalam usaha pemuliharaan alam sekitar memaparkan ketabahan beliau memperjuang isu itu sebagai individu dan warga korporat. Seseorang mungkin tertanya-tanya apakah yang membolehkan kempen hijau beliau terus bergerak, namun Ruth merumuskannya ringkas:

"Saya hanya melakukan apa yang patut saya lakukan untuk melindungi bumi dan alam sekitar. Anda juga boleh lakukan yang sama. Sekurang-kurangnya kita dapat lakukan sesuatu untuk diri sendiri dan generasi akan datang". - BERNAMA

Artikel Lain