suria

Aspek 1Malaysia Yang Dibanggai Penduduk Sarawak

HUBUNGAN harmoni dalam kalangan lebih 20 kumpulan etnik di Sarawak merupakan sesuatu yang semula jadi dan bukannya luar biasa.

"Ini merupakan aspek 1Malaysia yang kami di Sarawak sangat banggakan... kami telah mengamalkan konsep 1Malaysia sejak dulu lagi, cuma kini ia menjadi dasarn rasmi," kata bekas setiausaha negeri Sarawak Tan Sri Bujang Mohd Nor, 74.

Bujang berkata demikian sebagai anggota panel pada majlis dialog bertemakan "Bicara Tokoh: Menyingkap Sejarah Perjuangan Ke Arah Pembangunan Belia di Sarawak" anjuran Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) di Kuching, baru-baru ini.

Bujang bersama seorang lagi anggota panel, ahli politik veteran Bidayuh Datuk Seri Dominic Dagok Randan, 75, merupakan antara tiga penduduk Sarawak yang menerima penghargaan semasa sambutan Hari Malaysia di Kuching tahun lepas kerana sumbangan mereka kepada negara.

Penerima ketiga ialah anggota wanita pertama Majlis Negeri Sarawak, Datuk Seri Philomena Tra Zehnder. Bujang dan Dagok meluahkan pendapat masing-masing mengenai bagaimana kumpulan-kumpulan etnik di Sarawak telah bersatu dalam mengatasi tentangan terhadap gagasan Malaysia dan bagaimana mereka maju bersama sejak mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia.

KONFRONTASI: SATU DUGAAN

Terbabit dalam politik sejak pembentukan Malaysia, Dagok menyatakan rasa puas hatinya terhadap pembangunan yang dikecapi masyarakat Dayak Sarawak, khasnya masyarakat Bidayuh sejak 46 tahun yang lepas.

Dagok berkata hakikat ini menangkis dakwaan yang penyertaan Sarawak ke dalam Malaysia merupakan satu pengkhianatan oleh pihak British yang mengetahui negeri itu masih belum bersedia untuk mencapai kemerdekaan.

"Kami melalui saluran yang betul dan mengadakan rundingan, perbincangan dan mesyuarat. Kami akur dengan hasrat majoriti," katanya, dan menambah kata berdasarkan kepada penemuan daripada pungutan suara yang diketuai oleh Lord Cobbold, 70 peratus penduduk negeri ini bersetuju dengan gagasan Malaysia.

Sarawak menyertai Malaysia bersama dengan Sabah (kedua-duanya pada masa itu dikenali sebagai British North Borneo) dan Singapura hasil cadangan Ketua Menteri Malaya Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Bagaimanapun, Singapura meninggalkan persekutuan itu dua tahun kemudian.

Ketika Malaysia terbentuk pada 16 September 1963 atas sokongan penduduk Sabah dan Sarawak, Indonesia di bawah pimpinan Presiden Sukarno menentang dengan sekeras-kerasnya gagasan itu dan melancarkan Konfrontasi.

Terdapat banyak teori di sebalik konfrontasi itu termasuk Indonesia mempunyai gagasan tersendiri iaitu Indonesia Raya yang turut meliputi Malaysia tetapi Dagok berkata: "Mengapa perlu bimbang mengenai kami, kami boleh menentukan haluan kami sendiri."

Dagok berkata satu ketika pada kemuncak konfrontasi iaitu antara 1963-1966, beliau membantu penduduk kampung di sempadan Sarawak-Kalimantan untuk menggali lubang bagi dijadikan tempat bersembunyi apabila tentera Indonesia menceroboh masuk.

Pada masa itu Dagok merupakan anggota Parlimen Serian dan juga anggota Majlis Negeri bagi Tebakang dan diberi tugas menyelaraskan operasi keselamatan bersama pasukan tentera dan polis di kawasan sempadan.

SARAWAK TURUT SERTA SECARA SUKARELA

Pada awalnya majoriti penduduk Sarawak was-was dengan gagasan ini kerana mereka berpendapat ia mungkin satu lagi bentuk penjajahan dan ini mencetuskan demonstrasi di bandar-bandar besar seperti Kuching, Sibu, Miri, malah Simanggang, yang kini dikenali sebagai Sri Aman.

Bagaimanapun, Sarawak akhirnya bersetuju untuk menyertai gagasan itu tetapi dengan syarat tertentu yang kekal sehingga hari ini.

Sarawak mengekalkan hak terhadap kawalan imigresen walaupun ia merupakan bidang kuasa persekutuan dan juga pelaksanaan dasar yang berkaitan dengan tanah dan hutan sementara perkhidmatan awam negeri juga berfungsi dengan bebas, kata Bujang, yang juga merupakan warga korporat.

PENDUDUK SARAWAK TIDAK KESAL

Berbanding zaman sebelum kemerdekaan menerusi Malaysia, katanya, penyertaan di dalam Malaysia telah mengubah nasib penduduk Sarawak dengan ramai anggota masyarakat Dayak kini berkhidmat sebagai profesional dalam perkhidmatan awam dan sektor swasta di dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Dagok, seorang daripada perintis Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) menggulung debat itu dengan kenyataan ini: "Saya gembira melihat kaum Dayak kini berdiri sama tinggi setaraf dengan mereka yang lain... inilah konsep 1Malaysia". - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain