suria

Tanggungjawab, Semangat Setiakawan Dalam Gotong Royong

RAMAI yang masih berpendapat bahawa kebersihan taman perumahan di kawasan bandar merupakan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan.

Walaupun penduduk membayar cukai tanah dan pintu, mereka sebenarnya turut berperanan dalam menentukan tahap kebersihan dan keselesaan hidup di taman perumahan yang mereka pilih untuk menghuninya.

"Kami anjurkan Gotong Royong Perdana 2010 baru-baru ini.

"Saya masih ingin melihat ramai lagi penghuni premis kediaman dan perniagaan terlibat dengan lebih aktif bila aktiviti bersama penduduk sebegini dianjurkan," ujar Datuk Adnan Ikshan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Gotong royong itu disertai entiti kerajaan dan korporat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia dan Alam Flora serta Perkhidmatan Kecemasan Radio Amatur Malaysia.

Mereka bekerjasama dengan MPSJ dan 24 Zon Jawatankuasa Penduduk secara serentak untuk merealisasikan tindakan memastikan keselamatan dan kebersihan setiap kawasan di negeri ini diberi perhatian serius.

Perpaduan Antara Komuniti

Gotong royong menjaga kebersihan berpaksikan satu matlamat, untuk memastikan aspek kesihatan yang menyeluruh, terjamin.

"Nyamuk di tempat bertompokan air bertakung, di atas daun dan di dalam longkang pasti boleh dihapuskan bila usaha komuniti ditumpukan secara bersama. Walaupun sekejap, kita keluarkan keringat dan gerakkan tulang empat kerat untuk bekerjasama," itu pendapat seorang pengunjung dari Miri, Sarawak, K. Laeng.

Laeng yang kebetulan menziarahi saudara, sanggup menghadirkan diri untuk bergotong royong bersama komuniti yang tidak berjiran dengannya.

Beliau memang minat mengusahakan apa saja kerja dengan orang lain termasuk mereka yang tidak dikenalinya.

"Kita kan orang Malaysia. Saling bantu membantu sudah menjadi cara hidup orang kita. Sejak saya kecil lagi, di tanah Orang Ulu saya sudah mengenalinya. Bekerjasama untuk mengusahakan tanah dan tanaman mahupun ternakan menjadi amalan biasa.

"Lama kelamaan, manusia lupa dan menjadi lebih materialistik, wang dijadikan perantara. Saya masih merasakan berbudi bahasa atau konsep menanam budi untuk kesenangan bersama sesuatu yang perlu diwarisi dan diwariskan," jawap Laeng sambil memasukkan potongan ranting kayu daripada pokok-pokok di sekeliling padang ke dalam kereta tolak.

Yang pasti, kerja yang dikongsi bebanannya, pasti kurang memeritkan serta mudah untuk diselesaikan.

Masa yang diambil juga lebih pendek, dan hasilnya memuaskan semua pihak.

Gotong Royong Perdana

Aktiviti Gotong Royong Perdana yang dianjurkan di kawasan MPSJ seluas 160 km persegi baru-baru ini, menyaksikan Yang DiPertuanya sendiri aktif menyumbang tenaga membersihkan kawasan bersama penduduk dan petugas MPSJ.

Ini semua sebagai usaha memangkinkan semangat kesemua 550,000 ribu penduduk di kawasannya bergotong royong untuk beberapa jam di pagi Ahad, di samping beriadah, mereka membersihkan kawasan bersama.

Pokok-pokok tambahan ditanam, kawasan semak dan longkang dibersihkan, sampah dikumpulkan dan iklan-iklan haram diturunkan di sekitar premis perniagaan dan kawasan perumahan.

Aktiviti sebegini akan turut memberi kesedaran kepada penduduk setempat, bahawa peribahasa "Rumahku, Syurgaku" sememangnya benar dan perlu diberikan perhatian yang serius demi masa depan penghuni yang selamat dan sihat.

"Perancangan untuk mengadakan interaksi bergotong royong sebegini dua kali setahun amat mengharapkan sambutan yang positif daripada penduduk," kata Adnan.

MPSJ mempunyai kawasan kawal selia yang luas iaitu 24 zon kediaman di empat lokasi iaitu Subang Jaya, Kinrara, Sri Serdang dan Sri Kembangan. Di kawasan seliaan MPSJ, terdapat lebih daripada 220,000 pemilik hartanah sendiri.

Semangat 'tak kisah' perlu dikikis daripada hati semua yang bergelar penghuni walau di mana sekalipun kediaman dan premis perniagaan mereka.

Gotong royong merupakan satu cara yang baik untuk mengeratkan perhubungan di antara jiran dan tetangga, tanpa mengira saiz komuniti penghuni di kawasan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain