Buli Di Tempat Kerja, Kesan Buruk Bagi Produktiviti?

Diterbitkan: Selasa, 9 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEJADIAN buli di sekolah, sama ada melibatkan pelajar lelaki atau perempuan, sudah acap kali dilaporkan media. Umum juga kerap diberitahu tentang tindakan dispilin yang diambil terhadap pelajar dalam kes buli, termasuk dibuang sekolah.

Bagaimana pula dengan kejadian buli di tempat kerja?

Berikut ialah satu situasi yang diceritakan seorang petugas pentadbiran di sebuah syarikat swasta, Azman Bahar (bukan nama sebenar) yang berusia lewat dua puluhan.

"Saya selalu dibebankan dengan kerja-kerja rumit dan berat oleh pegawai atasan saya. Walaupun ada rakan lain di pejabat lain yang mempunyai tanggungjawab sama, sayalah yang selalu dijadikan 'mangsa'.

"Saya jarang dapat pulang tepat selepas tamat waktu kerja seperti petugas lain iaitu pukul 6 petang. Biasanya saya hanya boleh balik kira-kira 8 malam. Bila sudah siap sesuatu kerja, dengan sengaja saya dilongokkan fail-fail lain walaupun ada orang lain yang semasa itu tiada tugasan," katanya kepada penulis.

Azman juga mengadu beliau sukar mendapat kebenaran cuti. "Bila saya tunjuk sijil cuti sakit pun, banyak soalan yang ditanya seolah-olah saya buat-buat sakit", kata beliau lagi.

Kenapa tidak bekerja di syarikat lain saja atau laporkan kepada majikan? Penulis melontarkan soalan ini kepada graduan perakaunan sebuah IPTA itu.

"Pernah saya laporkan kepada majikan tetapi saya diberitahu itu sebahagian daripada cara hidup kerja. Kalau kerja di tempat lain pun, tidak tentu perkara sebegini tidak akan berulang," kata Azman.

TIDAK KENAL TEMPAT

Buli di tempat kerja tidak mengenal tempat. Bagi Norlina Samad (juga bukan nama sebenar), beliau selalu dibuli oleh rakan setugas yang lebih senior bila mula-mula bertugas dulu.

"Buli di tempat kerja bukanlah satu rahsia lagi. Petugas yang baru biasanya akan disuruh menjalankan tugas yang lebih berat bila mula-mula bertugas. Alasannya ialah petugas junior mesti belajar, tetapi sebenarnya 'buli' yang berselindung di sebalik tugasan," kata beliau.

Bagi pensyarah serta juga aktivis sosial Abdul Rashid Ismail, buli di tempat kerja tidak dapat dielak.

"Buli ialah satu penyakit sosial dan ia boleh berlaku dimana-mana sahaja".

APA ITU 'BULI' DI TEMPAT KERJA?

Menurut Abdul Rashid, tiada definisi tentang buli secara 'universal'. Kata beliau, masyarakat memahami tabiat buli di tempat kerja sebagai satu 'tindakan berulang yang tidak munasabah ditujukan kepada pekerja yang menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan atau keselamatan'.

"Terdapat beberapa jenis buli. Antaranya kata-kata pedas atau kesat, tindakan meminggirkan pekerja, menyuruh pekerja berbuat kerja yang tidak bersangkut-paut dengan bidang tugas serta gangguan psikologi.

"Tindakan buli yang lain ialah memberikan tugas yang memang tidak boleh dilaksanakan, sengaja menukar jadual kerja tanpa sebab selain untuk menyusahkan petugas dan sengaja menyembunyikan maklumat bagi menghalang atau menyusahkan petugas melaksanakan tugasan," kata beliau.

Katanya tiada undang-undang yang spesifik bagi melindungi mangsa buli di tempat kerja, melainkan jika ada kekerasan fizikal serta ancaman berlaku barulah boleh digunakan kanun jenayah.

JANTINA SERTA KETURUNAN

Menurut Abdul Rashid, ada beberapa kes buli disebabkan jantina serta keturunan dan juga personaliti.

"Mangsa buli akan mengalami stres. Begitu juga bagi saksi yang melihat insiden buli, mereka akan mengalami ketakutan serta gangguan emosi," kata beliau.

Menurut Abdul Rashid, bagi yang melakukan buli mereka mungkin berasa seronok melakukannya dan tiada rasa penyesalan akan timbul. Malangnya mangsa buli mungkin akan melakukan perkara sedemikian sebagai 'membalas dendam' terhadap orang lain pula.

Buli juga tidak mengenal jantina.

"Buli tidak terhad hanya pada kaum lelaki, wanita juga ada kebolehan membuli. Biasanya lelaki hanya akan membuli lelaki juga tetapi ada insiden wanita membuli kaum sejenis dan juga lelaki," kata beliau.

TIDAK BAIK BAGI PRODUKTIVITI

Pakar psikologi Dr Anne Ng berkata buli akan membuat mangsa mengalami masalah kesihatan berpunca daripada stres dan ketegangan.

"Terdapat beberapa indikasi klinikal yang dialami mangsa buli antaranya seperti keresahan, naik berat badan (tanpa makan berlebihan), sakit kepala, sakit belakang, rasa mual, ulser di mulut, insomnia (tidak boleh tidur), mimpi buruk, radang kulit, diarhea serta iritasi perut, tekanan darah tinggi, murung, serta kurang keyakinan diri," kata beliau.

Dr Ng menjelaskan bahawa buli di tempat kerja bukan sahaja berkenaan masalah kerja tetapi boleh juga dalam bentuk kata-kata kurang manis menyentuh hal peribadi seperti keluarga, gaya hidup, bentuk dan berat badan, pakaian serta penampilan.

Buli juga meliputi diskriminasi terhadap kurang keupayaan atau masalah perubatan, kata beliau.

Buli di tempat kerja akan mengakibatkan penurunan produktiviti.

"Mangsa akan sakit dan akan kerap mengambil cuti sakit. Ataupun mangsa akan kerap mengambil cuti untuk mengelak daripada dibuli dan ini secara langsung akan merendahkan produktiviti kerja beliau serta juga organisasi pada keseluruhannya," kata Dr Ng.

BAGAIMANA HINDARI BULI?

Jadi bagaimana hendak mengelak diri daripada dibuli?

Bagi Dr Ng, senjata utama ialah hanya dengan 'membuat tidak tahu atau tidak kisah'.

"Pembuli akan merasa seronok apabila mangsa memberi respons. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk membuat mangsa tidak selesa. Senjata utama ialah hanya membuat tidak kisah dan ini akan melemahkan semangat si pembuli.

"Bila pembuli mula mengusik anda, reaksi anda yang tidak ambil kisah akan membuatkan dia berasa hampa dan lambat laun dia akan menghentikan perbuatannya", kata Dr Ng.

Satu lagi cara ialah dengan mewujudkan satu perwatakan yang anda bukannya seorang yang senang dibuli. Pembuli di ofis biasanya hanya akan mencari mangsa daripada mereka yang dianggap lemah serta tidak berupaya melawan balik.

"Bina satu tanggapan yang anda bukannya senang dipermain. Tampilkan personaliti penuh berkeyakinan kerana biasanya si pembuli memerhatikan penampilan seseorang dan akan berfikir dua kali sebelum bertindak terhadap individu yang dilihat mempunyai keyakinan tinggi," kata beliau.

Bagaimana dengan pembuli tegar?

Kata Dr Ng, ada juga pembuli tegar yang tidak peduli dengan penampilan atau sikap tidak kisah mangsa.

"Cari beberapa rakan ofis yang pernah jadi mangsa bulinya dan bersemukalah dengan si pembuli. Kalau ini tidak memberikan hasil, anda terpaksa laporkan kepada majikan.

Sudah tentu masalah anda akan didengar kerana tabiat buli akan menurunkan produktiviti di tempat kerja". - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan