Halal Bukan Isu Remeh

Diterbitkan: Isnin, 8 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

(Rencana ini mengupas beberapa aspek berhubung isu halal termasuk pengertian halal, sijil halal dan kewajaran pengguna Islam khususnya di negara ini menangani isu halal. Ini ialah bahagian satu daripada lima bahagian.)

SESEKALI masyarakat Islam di negara ini digemparkan dengan dakwaan sesuatu produk itu diragui status halalnya, dan mereka akan menjadi begitu cemas serta menjadi berhati-hati dalam membuat pembelian makanan atau produk berkaitan.

Tidak kurang juga yang menjadi jaguh debat, pantas menuding jari kepada pelbagai pihak yang dipertanggungjawabkan dengan penguatkuasaan halal.

Pihak ini bagaimanapun gagal menuding jari kepada diri sendiri, gagal melihat kepada kelemahan dalam membuat penilaian dan pemilihan sebelum membuat transaksi pembelian.

Daripada roti kepada sosej, ubat gigi dan pinggan mangkuk, itu ialah antara produk yang dikaitkan dengan isu halal beberapa ketika dulu.

Terdapat juga laporan mengenai beberapa produk kesihatan yang diuji dan didapati tidak halal kerana mengunakan kapsul gelatin daripada babi.

Cuma apabila 'ribut' berakhir, sesetengah pengguna Islam kembali ke takuk lama. Soal keliru atau terpedaya tidak lagi menjadi polemik menghiasai ruangan berita atau surat pembaca. Keprihatinan mereka tentang halal tidak ubah seperti 'ribut di dalam cangkir'!

TIDAK PERSOAL

Mereka tidak lagi memberatkan status halal haram dan kembali makan apa sahaja yang sedap pada tekak meskipun di premis yang tidak memaparkan logo atau sijil halal.

Mereka juga membeli apa yang menarik perhatian tanpa ada rasa tanggung jawab untuk meluangkan masa, membaca label produk, meneliti kandungan ramuan mahu pun memeriksa nama atau identiti pengilang!

"Masa belajar di luar negara, saya memang teliti kalau nak membeli barang makanan. Balik ke Malaysia, saya beli apa sahaja, lagi pun produk buatan Malaysia tak mungkin tak halal," Nor, seorang pekerja swasta memberitahu penulis apabila ditanya pandangannya tentang isu halal.

"Ada tulis halal, mesti halalkan?" soal seorang makcik peniaga yang rata-rata barang yang dijualnya makanan ringan dan pembelinya kebanyakan kanak-kanak sekolah.

Satu daripada produk yang begitu laris dijual ialah serbuk pelbagai warna perasa yoghurt yang diisi di dalam sampul plastik panjang. Produk dari Filipina ini mempunyai perkataan 'halal'.

Sikap Nor dan peniaga ini mungkin juga dikongsi sebahagian besar masyarakat pengguna Muslim di negara ini. Antara tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu, ramai yang akhirnya dikhuatiri terpedaya dan tertipu!

PANDANG REMEH

Menurut Saimah Mukhtar, Pengarah Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), meskipun perkataan halal itu sendiri tidak wajar dipandang remeh tetapi keadaan itulah yang banyak berlaku sekarang.

"Di premis makanan bukan Islam, letak sahaja perkataan halal atau lihat juruwang atau pelayan bertudung, ramai orang Islam yang masuk makan.

"Begitu juga jika penjual itu pakai kopiah putih, terus buat andaian orang Muslim dan beli apa yang dijualnya.

"Inilah sikap sesetengah orang Islam kita yang pandang ringan soal halal," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

Beliau turut menarik perhatian kepada sesetengah pengguna Islam yang sanggup berkunjung ke sesebuah premis makanan bukan Islam hanya kerana ia mempamerkan perkataan "bebas babi" atau "bebas alkohol".

"Ini amat mengelirukan. Tak ada babi atau tak ada alkohol tak bermakna halal," tegas Saimah.

Beliau menegaskan sesetengah pengguna Islam juga tidak memberatkan aspek 'thoyiban' yang boleh dikaitkan dengan semua aspek positif seperti berzat, bersih, berkualiti, selamat dan tidak membawa kemudaratan kepada manusia.

Dalam sesetengah kes, ada juga orang Islam yang sanggup berkunjung ke premis makanan bukan Islam meskipun tiada jaminan halal hanya kerana makanan yang dijual sedap.

Amri Abdullah, Penolong Pengarah, Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan, Bahagian Hub Halal Jakim memberitahu Bernama, beliau pernah mengajukan soalan kepada pelanggan Islam ketika membuat operasi di sebuah premis makanan.

Pelanggan berkenaan, katanya dengan wajah yang selamba menjawab "makanan sedap ustaz" meskipun beliau maklum pengusaha restoran tersebut bukan orang Islam.

DALIL HALAL

Di samping gaya hidup yang sihat, makanan sering dikaitkan sebagai faktor penting yang menentukan tahap kesihatan dan kesejahteraan minda serta tubuh badan seseorang individu.

Bagi masyarakat Islam, pemilihan makanan sewajarnya bukan sahaja mengutamakan kandungan khasiat atau zat.

Ini kerana Islam mempunyai piawaian atau standard tersendiri iaitu 'halalan thoyiban' (halal, baik dan selamat) dalam soal makanan dan pemakanan.

Perkara ini banyak ditekankan melalui firman-firman Allah SWT serta hadis Rasulullah SAW.

Antara firman Allah SWT ialah dalam surah Al Baqarah ayat 168 yang bermaksud "Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu."

Di dalam surah al-Nahl ayat 114-115 pula Allah berfirman, antaranya bermaksud "Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal dan bersyukurlah akan nikmat Allah jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah. Maka sesiapa yang di dalam keadaan yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja di dalam mencarinya, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang."

PENGARUH HALAL KEPADA PERIBADI

Kehalalan makanan mengikut syariat agama mempunyai pengaruh besar kepada pembentukan serta perkembangan peribadi seseorang Muslim.

Seperti yang disabdakan Rasulullah (Hadis riwayat at-Tarmizi) yang bermaksud "Setiap daging yang tumbuh daripada benda atau makanan yang haram maka nerakalah yang lebih utama baginya."

Ini bermakna setiap makanan yang tidak halal yang dimakan oleh seseorang Muslim akan menjadi menjadi darah daging dan akan memberi kesan kepada pembentukan serta perkembangan peribadinya.

Justeru, mulia atau buruknya peribadi serta pekerti seseorang Muslim itu ternyata bersandar kuat kepada halal atau haram makanan yang masuk ke dalam perutnya. Jika haram makanan yang dimakan, ia bukan sahaja akan menjejaskan ketakwaan dan nilai ibadat seseorang individu Muslim itu tetapi juga akan mengakibatkannya dicampak ke dalam api neraka sebagaimana sabda Rasululullah di atas.

Rasululullah juga bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya perkara yang halal itu terang dan jelas dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga terang dan jelas dan antara kedua-duanya ada perkara-perkara syubhat (sesuatu yang hukumnya tidak diketahui dengan jelas hukum halal haramnya). "Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesunggunya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya."

MAKSUD HALAL

Halal berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna 'dibenarkan' atau 'dibolehkan' oleh Hukum Syarak. Jakim menggariskan 'Hukum Syarak' bermakna undang-undang Islam dalam Mazhab Syafie atau dalam mana-mana Mazhab Maliki, Hambali atau Hanafi yang telah mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Undang-undang itu juga telah dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan atau oleh Raja bagi mana-mana Negeri dikuatkuasakan di dalam Negeri berkenaan.

Konsep Halalan Thoyiban juga bukan hanya terbatas kepada bersih dan suci daripada babi atau najis tetapi juga mengambil kira aspek yang lebih meluas untuk apa sahaja yang hendak dimakan, diminum atau digunakan.

Antaranya halal dalam cara memperolehnya yang tidak melalui cara haram seperti mencuri, merompak atau rasuah dan piawaian ketat Islam ini juga mencakupi cara pemprosesan serta penyimpanan. Bermula dari ladang sampai ke meja.

TAKRIF DI BAWAH AKTA PERIHAL DAGANGAN

Di samping itu, takrif 'Halal' juga diperjelas di dalam Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan "Halal") 1975, takrif 'Halal' bukan terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang orang Islam dilarang oleh Hukum Syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak.

Ia juga bermaksud tidak mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak.

Ia juga tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengkut Hukum Syarak.

IMPAK PERBAHASAAN

Perintah tersebut juga menggariskan peraturan membabitkan penyediaan pemprosesan serta penyimpanan yang tidak bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak di atas atau apa-apa benda yang dihukum najis mengikut Hukum Syarak. Takrif 'Halal' di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan) mempunyai implikasi yang mungkin tidak disedari pengguna lebih-lebih lagi pengilang. Menurut Saimah, ia mempunyai kesan yang cukup besar meskipun tidak ada akta setakat ini yang mewajibkan produk atau industri menggunakan perkataan halal sama ada dalam bentuk logo atau perkataan.

Beliau memberi contoh 'perbahasaan' termasuk perkataan halal (Rumi atau Jawi), ayat Quran, perkataan Allah, Muhammad atau Bismillah, gambar Kaabah, perempuan bertudung, lelaki bersongkok yang boleh ditafsirkan sebagai halal.

"Apabila pihak industri atau premis atau apa mana-mana pihak menggunakan perbahasaan itu, terbukti tidak halal, atau sebaliknya, tindakan boleh di ambil di mana denda sehingga RM250,000 boleh dikenakan.

"Peranan Jakim ialah sebagai badan pensijilan yang memberi pengesahan halal melalui sijil logo, sementara tindakan boleh diambil sama ada oleh KPDNKK atau Kementerian Dalam Negeri," jelas Saimah. - BERNAMA

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan