suria

Bukan Naik Harga, Tapi Kurangkan Gula

MINUMAN ringan biasa atau bergas sering dikaitkan dengan kandungan gula yang tinggi. Apa jua perisa yang dicampurkan, rasanya yang manis, memang sedap diminum sebagai penghilang dahaga.

Fraser and Neave Holdings Berhad atau F&N Malaysia sudah sinonim dengan minuman ringan daripada yang bergas, isotonik hinggalah kepada perisa buah-buahan sejak beroperasi selama 13 dekad di Malaysia. Yang menariknya bila harga gula meningkat, syarikat ini tidak menaikkan harga minuman keluarannya, tetapi mengurangkan kandungan gula.

"Langkah ini sebagai memenuhi kehendak pengguna yang kini lebih prihatin dan mengambil berat tentang penjagaan kesihatan diri," kata Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Fraser & Neave Holdings Bhd, Tan Ang Meng.

"Setakat ini penggunaan gula untuk minuman keluaran syarikat kami semakin menurun, pada satu jumlah yang boleh dianggap besar, iaitu sebanyak 7.5 peratus pengurangannya, sejak lima tahun lepas.

"Minuman isotonik 100 Plus ialah antara versi kurang manis yang kami keluarkan. Ini sesuatu yang amat dialu-alukan pengguna," kata Tan.

TIDAK NAIK HARGA

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri tersenyum mendengar initiatif mengurangkan gula yang diamalkan pengeluar minuman ringan itu yang sudah dikenali pengguna sejak 1883 lagi.

"Ini berita baik. Walaupun harga gula dinaikkan 20 sen baru-baru ini, pihak F&N tidak menaikkan harga minuman ringan keluaran mereka, sebaliknya mengawal penggunaan gula di dalamnya," katanya pada pelancaran imej baru F&N baru-baru ini.

(Berkuatkuasa 1 Jan tahun ini, harga gula tempatan naik dari RM1.45 kepada RM1.65 sekilogram)

F&N menjenamakan semula imej korporatnya supaya apabila kontrak F&N dengan The Coca Cola Company tamat pada bulan September tahun 2011, ia akan dikenali sebagai F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan F&N Beverages Manufacturing Sdn Bhd.

Tan menjelaskan bahawa imej baru F&N yang dibahagi dua itu amat sesuai dengan fungsi masing-masing yang berbeza.

"Penjenamaan ini akan memberikan satu semangat baru yang lebih bertenaga kepada F&N untuk menjadi pembekal produk yang pelbagai, yang boleh dipercayai secara berterusan setiap generasi pengguna.

"Ia turut dianggap satu kepulangan atau 'homecoming' kerana identiti ini akan memberikan F&N satu eksklusiviti di dalam industri minuman ringan. Selain menghasilkannya, F&N turut memasarkannya secara serentak," katanya.

Tan berkata F&N tidak pernah leka apabila produk minumannya menjadi pilihan pengguna, tetapi terus membuat penyelidikan dan kajian untuk melakukan inovasi dan menambah variasi terhadap minuman ringan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

TUKAR RAMUAN

Bermula awal tahun ini, ramuan yang bakal dipersembah dan dipasarkan kepada warga Malaysia akan lebih mengikut cita rasa masyarakat yang memilih untuk meminumnya, dan sekaligus untuk merancakkan lagi pasaran eksportnya.

Produk minuman ringan bernafas baru ini dijangka akan membekalkan kenikmatan 'seronok dan bagus' secara tulen kepada pengguna yang menggemarinya.

Perancangan F&N, ialah 50 produk baru dihasilkan dalam jangka masa 24 bulan, di bawah jenama minuman ringannya yang pelbagai iaitu F&N sendiri, 100Plus, Seasons dan Fruit Tree.

Minuman bergas 'Ice Cream Soda' yang sememangnya popular sejak sekian lama di Malaysia kini menjadi asas untuk dicampurkan menjadi minuman perisa lain seperti sirap bandung soda, iaitu campuran sirap, susu, ice cream soda dan ais.

Pada majlis pelancaran itu F&N turut memperkenal minuman campuran baru, jus nenas dengan Ice Cream Soda kepada tetamu. Imej baru yang diketengahkan kini bertujuan memaksimumkan cita rasa pengguna ke arah pilihan produk lebih sihat untuk memberikan pengguna kepuasan yang diingini di samping meluaskan portfolio produk halalnya ke seluruh dunia.

Minuman dengan asas kacang soya berperasa ros bandung di bawah jenama Seasons, yang sememangnya diminati masyarakat tempatan, kini ditambah kacang merah dan biji selasih.

VARIASI MINUMAN

"Saya tak pernah rasa minuman yang diisi dengan biji selasih di dalam tin dan saya suka rasanya. Lagipun, biji selasih menyejukkan badan, kata oranglah, selain itu rasanya pun tak memuakkan, tak terlalu manis dan bes soyanya taklah berlemak sangat," kata seorang tetamu yang merasai minuman itu.

Apabila dituang ke dalam gelas, warna bandung soya yang dihasilkan F& Nlembut dan menggamit selera mereka yang melihatnya. Syarikat pengeluar minuman ringan ini yakin perasa baru yang dikeluarkan 27 Januari lepas akan melonjakkan jualan F&N terutama kepada pengguna tempatan dalam kalangan generasi muda.

Setakat penghujung 2009, unit minuman ringan syarikat ini menyumbang 35 peratus atau RM1.3 bilion kepada pendapatan keseluruhan kumpulan F&N.

Empat buah kilang pengeluarannya kini mengisi ruang di seluruh negara, dengan kemudahan ibu pejabat yang serba canggih di Shah Alam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Halal Bukan Isu Remeh

Artikel Berikut

Artikel Lain