suria

Perjuangan Lindungi "Pak Belang'

PENYAIR Inggeris William Blake yang hidup pada kurun ke-17 begitu teruja dengan kehadiran harimau.

Sehingga beliau menulis sebuah sajak yang dinamakan 'The Tyger' di mana rangkap-rangkap pembukaannya ialah: Tyger! Tyger! burning bright In the forests of the night, (Harimau! Harimau! Matamu berapi Dalam kegelapan di malam hari)

Pada masa masyarakat Cina di Malaysia dan juga seluruh dunia menghitung hari menanti ketibaan Tahun Harimau, pakar pemuliharaan hidupan liar menghitung masa bertungkus lumus untuk menyekat kepupusan harimau belang di negara ini.

Pengarah Konservasi Biodiversiti, Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Mohd Nawayai Yasak berkata jumlah harimau itu di Semenanjung Malaysia kini dianggarkan hanya 500 ekor.

(Menurut sumber, tiada harimau belang atau Malayan tiger yang dijumpai di hutan Sabah dan Sarawak. Harimau belang yang didapati di Pulau Sumatera pula dikenali sebagai Sumatran tiger yang mana saiznya lebih besar daripada harimau belang di Semenanjung Malaysia).

HARIMAU BELANG

Harimau belang, nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni, hanya boleh didapati di Semenanjung dan kebanyakannya di hutan tebal negeri Perak, Kelantan, Pahang dan Terengganu. "Jumlah harimau belang di Semenanjung Malaysia semakin mengecil dan kita perlu melakukan sesuatu sebelum spesies ini mengalami kepupusan," katanya semasa temubual dengan Bernama di pejabat Perhilitan di Jalan Cheras di sini baru-baru ini.

Sepanjang tahun 2008, renjer dan petugas Perhilitan menjalankan 174 operasi dan berjaya memusnahkan 1,000 buah jerat harimau. "Kebanyakan jerat yang dipasang oleh pemburu ialah jenis dawai yang bukan sahaja boleh membahayakan harimau itu sendiri malahan hidupan liar lain yang melalui kawasan itu," katanya.

LIAR DAN PEMBIAKAN

Populasi harimau liar di negara menjunam daripada anggaran 3,000 pada dekad 1950-an kepada hanya antara 350 dan 400 pada tahun-tahun 1990an. "Dari tahun 1989 hingga 2008, pihak kami berjaya membiakkan sebanyak 50 ekor anak harimau belang di Zoo Melaka. "Kami melakukan dua jenis pembiakan iaitu pembiakan ex-situ di mana harimau yang dilahirkan di zoo akan dibiarkan bersama kelompoknya manakala pembiakan in-situ melibatkan harimau yang berkeliaran di hutan akan dibiarkan melakukan pembiakan di hutan dan bebas untuk bergerak di dalam kawasan itu," kata Mohd Nawayai. "Bagaimanapun kos untuk melakukan pembiakan ex-situ agak mahal kerana ia melibatkan pelbagai kos seperti penjagaan anak harimau, makan, minum dan sebagainya kerana harimau memang diketahui makan dalam kuantiti yang banyak," katanya.

Untuk membantu usaha pemuliharaan, kerajaan sedang menyemak semula undang-undang hidupan liar iaitu Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 supaya hukuman lebih berat dapat dikenakan pada pemburu haram dan pengeksport haiwan gelap.

PERANAN NGO DAN KERAJAAN NEGERI

Kerjasama dari semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negeri amat penting, kata Mohd Nawayai. "Kami tidak boleh melakukan perkara ini sendirian. Justeru itu, kami mengharapkan kerjasama daripada NGO seperti WWF, orang ramai dan kerajaan negeri. "Kami mengalu-alukan kerjasama kerajaan negeri untuk mewartakan hutan negeri serta hutan simpan sebagai tempat untuk mengekalkan populasi harimau belang di negara ini," katanya.

Sementara itu, World Wildlife Fund (WWF) Malaysia mewujudkan satu pasukan dinamakan Team Ronda bagi membanteras aktiviti yang boleh menyebabkan kepupusan spesies itu. "Ahli Team Ronda terdiri daripada 10 sukarelawan dari WWF yang melakukan rondaan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan utama pemburu haram," kata pegawai kanan program Ahmad Zafir Abdul Wahab di pejabat WWF Malaysia di Petaling Jaya. "Dari awal Januari 2009 hingga kini, Team Ronda dengan kerjasama Perhilitan berjaya memusnahkan sebanyak 114 buah jerat yang dipasang oleh pemburu haram di sekitar kawasan Tasik Temenggor dan Hutan Simpan Belum," katanya.

SEDARKAN ORANG RAMAI

Sempena kedatangan Tahun Harimau juga, WWF mengadakan program yang dipanggil 'TX2'. Program itu dilaksanakan bagi menggandakan populasi harimau belang di Malaysia. Pegawai komunikasi korporat WWF Malaysia, Sara Sukor berkata program itu diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga populasi harimau di negara ini. "Program ini dianjurkan oleh WWF dan dijalankan di seluruh dunia. Dalam program ini, kita ingin menyampaikan satu mesej sebelum Harimau Malaya berada dalam keadaan bahaya. "Program ini dinamakan TX2 bukan sahaja dengan tujuan ingin menggandakan jumlah harimau tapi ingin memastikan populasi harimau itu sendiri tidak pupus pada masa hadapan," katanya.

Bagi program ini, ikon harimau akan dijadikan sebagai daya tarikan bagi mengutip sumbangan dalam kalangan individu dan juga syarikat korporat. Sumbangan itu akan digunakan bagi menjalankan aktiviti pemuliharaan dan pembiakan harimau.

Di samping itu, program ini juga dijalankan bagi menggalakkan masyarakat menghargai spesies harimau belang yang semakin pupus. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain