Kota Kinabalu Bandar Raya Pesat Membangun

Diterbitkan: Selasa, 2 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU, ibu negeri Sabah, telah banyak berubah daripada sebuah perkampungan nelayan yang dikenali sebagai Api-Api di mana British North Borneo Company (BNBC) mengasaskan petempatan kolonialnya pada 1897.

Nama tempat ini ditukar kepada Jesselton mengikut nama Sir Charles Jessel, naib pengerusi BNBC, dan dalam tempoh yang singkat pekan ini muncul sebagai pusat perdagangan utama di Borneo Utara menjual getah, rotan, madu dan lilin.

Pekan ini menyaksikan pelbagai detik bersejarah termasuk pendudukan Jepun semasa Perang Dunia II apabila namanya ditukar semula kepada Api-api.

Pekan ini mendapat nama semasanya pada 30 Sept 1968, dan sejak itu ia dikenali mesra dengan singkatan KK.

Dan tanggal 2 Feb, 2000 merupakan satu lagi pencapaian penting bagi KK apabila ia disytihar sebagai sebuah bandar raya.

Sempena sambutan ulang tahun ke 10 bergelar sebuah bandar raya, Datuk Bandar Datuk Iliyas Ibrahim berkongsi pandangan mengenai pencapaian dan wawasan bandar raya ini bersama wartawan Bernama Nur Adika Bujang.

Berikut ialah petikan daripada temu bual itu.

Bernama: Apakah halangan dalam menjadikan KK sebuah bandar raya moden yang berkembang pesat? Apa pengorbanan yang terpaksa dilakukan pihak Dewan Bandar Raya untuk memenuh aspirasi dan harapan orang ramai?

Datuk Bandar: Dalam proses menjadikan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang moden dan membangun, cabaran terbesar yang dihadapi Dewan Bandar Raya ialah kurangnya sumber pembiayaan dan terpaksa bergantung pada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Memandangkan sumber pembiayaan terhad, maka projek-projek Dewan Bandar Raya dilaksanakan berdasarkan kepada keutamaan dan keperluan semasa, bergantung kepada peruntukan yang disediakan dan sumber yang ada pada Dewan Bandar Raya.

Bernama: Dari segi pelancongan, bagaimana kedudukan KK berbanding bandar-bandar raya lain dunia?

Datuk Bandar: KK mempunyai kelebihan Laut Cina Selatan sebagai pesisirnya dan Gunung Kinabalu sebagai latar belakangnya. Promosi agresif yang dijalankan kerajaan negeri dan penggiat industri ini menunjukkan hasil dengan bilangan pelancong ke sini terus meningkat. Pembangunan pesat yang disaksikan bandar raya ini sejak beberapa tahun lepas, yang termasuk pembinaan hotel-hotel baru serta resort antarabangsa bertaraf dunia, menampung pelancong yang mahu berjimat dan yang mahu kemewahan. Gedung membeli belah baru seperti 1Borneo Hypermall, yang terbesar di Borneo, Suria Sabah, Asia City, KK Times Square, Karamunsing Complex dan yang lain menawarkan kepada pelawat pilihan yang luas dalam membeli belah. Mereka boleh berseronok dan relaks di resort lima bintang kami, berjemur di bawah matahari dan menyelam di taman marin Tunku Abdul Rahman, yang terletak 15 minit perjalanan dengan bot, dan bermain golf di padang-padang golf bertaraf dunia yang terdapat di sini, selain menikmati makanan laut yang enak dan keramahan penduduknya.

Bernama: Adakah kemudahan awam mesra orang ramai, khasnya bagi golongan kurang upaya (OKU)? Adakah KK satu persekitaran mesra penduduk?

Datuk Bandar: Kami mengusahakan banyak penambah baikan pada siar kaki, kerja-kerja landskap dalam bandar selain menyediakan taman-taman rekreasi seperti Lintasan Deasoka berhampiran ibu pejabat Dewan Bandar Raya di Jalan Gaya, Segama Waterfront, Taman Awam Teluk Likas, yang mengambil kira aksesibiliti dan kemudahan bagi OKU. Masih terdapat banyak kemudahan awam yang perlu dinaik taraf tetapi oleh kerana kekangan kewangan, kami melakukan kerja-kerja ini secara berperingkat. Buat permulaan, tumpuan kami ialah menaik taraf dan menyediakan kemudahan akses yang mesra orang ramai, khasnya bagi OKU di pusat bandar.

Sasaran kami ialah untuk mencapai Persekitaran Bebas Halangan khasnya di pusat bandar menjelang penghujung Rancangan Malaysia ke-10. Apabila Akta Orang Kurang Upaya 2007 berkuatkuasa pada Julai 2008, kami menjadikan mandatori bagi semua bangunan baru di bandar untuk mempunyai reka bentuk mesra OKU selaras dengan MS Kod Amalan 1133, 1183 dan 1184 khususnya dari segi akses di luar dan di dalam bangunan.

Bernama: Bagaimana pula dengan sistem pengangkutan? Adakah sistem pengangkutan pergi balik dari bandar memadai? Dan bagaimana jarak sesuai antara perhentian bas dikenal pasti supaya penumpang bas boleh berjalan ke destinasi mereka selepas turun dalam tempoh paling singkat?

Datuk Bandar: Sejak bertahun-tahun, Dewan Bandar Raya telah berusaha gigih untuk menambah baik pengangkutan awam. Satu contoh baik ialah khidmat baru bas bandar; bukan sahaja khidmat baru ini menghubungkan laluan utama di dalam bandar tetapi juga menawarkan keselesaan lebih baik dengan menyediakan bas baru serta kemudahan terkini demi manfaat penumpang.

Selain itu, terdapat banyak teksi di bandar. Pengangkutan air juga boleh didapati untuk sampai ke pulau-pulau Taman Marin Tunku Abdul Rahman, selain khidmat feri ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Buat masa ini, kami sangat memerlukan sebuah terminal bas dan kami banyak berusaha untuk mendapatkan peruntukan. Kerajaan persekutuan melalui "Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam" baru-baru ini memperuntuk kepada kami sejumlah RM63 juta bagi membina terminal bas Wawasan, terminal persimpangan dan perhentian bas di sekitar bandar. Apabila terminal bas Wawasan siap, kami perlu membina Terminal Bas Selatan. Kerajaan negeri memperuntuk Dewan Bandar Raya sebanyak RM2 juta untuk menyiapkan tapak dan kami berharap untuk mendapatkan tanah seluas 4.4 hektar yang kami kenal pasti di Kepayan secepat mungkin. Saya difahamkan Malaysia Airports Berhad juga mahukan tanah itu untuk memperluas lapangan terbang. Tetapi tanah yang terbabit ialah seluas 13 hektar dan kami hanya mahukan 4.4 hektar.

Sementara itu mengenai kedudukan perhentian bas, ia bergantung kepada permintaan, yang bermakna tempat dengan kadar pembangunan tinggi atau berpenduduk padat akan diberi keutamaan. Jarak antara perhentian bas ialah dari 100m hingga 2km bergantung kepada kepadatan. Lokasi itu penting; sebagai contoh, stesen-stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dipisahkan jarak sekurang-kurangya, 1km tetapi pengguna masih anggap LRT sebagai kaedah pengangkutan cekap kerana stesennya terletak di tempat-tempat strategik, iaitu kawasan kadar pembangunanya pesat atau mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Bernama: Bagaimana dengan keadaan trafik di sini?

Datuk Bandar: Kesesakan lalu lintas merupakan masalah besar dan bertambah buruk dari hari ke hari kerana lebih banyak kereta yang masuk sedangkan infrastruktur jalan masih sama. Saya sedar yang masalah trafik ini memerlukan perhatian segera. Kita memerlukan jalan-jalan baru, jejambat baru dan LRT di bandar.

Bernama: Datuk memperjuang kempen Anti-Kutu Sampah, bagaimana pula hasilnya dalam memastikan KK kekal sebagai bandar raya bersih?

Datuk Bandar: Tahap kebersihan amnya telah meningkat dan Dewan Bandar Raya menerima maklumat balas positif daripada pelbagai kumpulan - orang ramai, media, pelancong dan kerajaan negeri. Sejak melancarkan kempen Anti Kutu Sampah dua tahun yang lepas, kami mengesahkan 13 premis bebas sampah dan lebih banyak lagi premis dan kawasan dalam proses mendapatkan pengesahan ini. Kompaun segera yang dikeluarkan terhadap kutu sampah juga berkurangan berbanding hari-hari awal kempen itu dilancarkan. Ini menunjukkan kesedaran umum terhadap kebersihan di tempat awam terus meningkat. Kami juga menerima respons positif daripada orang ramai bagi kempen "lapor kutu sampah" yang meminta mereka bertindak sebagai "mata kami" di mana mereka boleh melaporkan kepada kami menerusi "sms" jika terlihat sampah dibuang daripada kenderaan bergerak, bukti kerjasama antara orang ramai dan Dewan Bandar Raya.

Kompaun yang dikeluarkan pada 2009 di bawah undang-undang kecil Anti Sampah berkurang dengan ketara dengan hanya 1,532 kompaun berbanding 9,832 pada 2008. Jumlah kompaun yang dikutip ialah RM44,290 berbanding RM184,424 pada 2008, menunjukkan orang ramai semakin sedar yang tugas menjaga kebersihan bandar bukan semata-mata bergantung pada Dewan Bandar Raya sahaja.

Bernama: Memandangkan pembangunan yang begitu memberangsangkan dalam tempoh sedekad, apa lagi yang perlu dilakukan? Apakah isu yang perlu ditangani khasnya dalam memastikan keselamatan di bandar?

Datuk Bandar: Dari segi keselamatan, situasi di Kota Kinabalu terkawal. Bagaimanapun, sudah tiba masanya lokasi dengan jenayah indeks yang tinggi dilengkapkan dengan televisyen litar tertutup (CCTV). Sementara itu, kami telah memperkukuh pasukan penguatkuasa kami dengan merekrut 30 lagi anggota pada 2008 dan sehingga hari ini kami mempunyai 200 pegawai penguatkuasa.

Selain daripada pemantauan berjadual oleh pasukan penguatkuasa kami, kami sehingga ini memasang dua unit CCTV di pusat bandar dan masih menunggu peruntukan untuk memasang 14 lagi di lokasi-lokasi yang kami kenal pasti bersama polis. Dalam hal ini, saya berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Persekutuan di peringkat persekutuan akan mempercepat pembiayaan yang dijanjikan untuk memasang CCTV ini.

Dewan Bandar Raya juga sedang berusaha dengan agensi-agensi lain dan bertindak sebagai sekretariat bagi jawatankuasa menjaga keselamatan di bandar, dengan anggota-anggotanya terdiri daripada kesemua agensi penguatkuasa dan keselamatan, dan juga anggota Dewan Undangan Negeri bagi kawasan di bawah bidang kuasa Dewan Bandar Raya.

Mengenai penduduk setinggan, kami telah merobohkan sejumlah 1,520 struktur haram tahun lepas dengan 1,493 daripadanya ialah rumah setinggan. Secara purata kami merobohkan lebih kurang lapan rumah pada setiap hari bekerja dan ini bermakna 150 rumah dirobohkan sebulan. Kutipan kompuan kami bagi tahun 2009 berjumlah RM1,220,152 berbanding RM723,674 pada 2008. Saya berpendapat peningkatan ini ialah kerana pertambahan dalam bilangan penyiasat yang sentiasa bersedia untuk bekerja lebih masa. Pada 2009, sejumlah 4,365 kes dibuka berbanding hanya 992 kes pada 2008. Dewan Bandar Raya Kota Kinabalu mengutip denda berjumlah RM602,561 pada 2009.

Dengan pelbagai program yang diatur bagi kebersihan, kecantikan dan keselamatan, saya percaya Kota Kinabalu kini menuju arah yang betul untuk mewujudkan persekitaran yang lebih baik dan mesra bagi penduduknya.

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan