Menteri Guna Falsafah 7P Fokus Bantu Warga Kota

Diterbitkan: Ahad, 31 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tidak sampai setahun memikul tanggungjawab sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menggunakan pengalamannya selama lebih 25 tahun sebagai 'rakyat biasa' untuk membantu memenuhi keperluan penduduk di Wilayah Persekutuan.

Dengan berpegang kepada 'Falsafah 7P', Raja Nong Chik sering dilihat turun padang meninjau sendiri dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi warga kota tanpa perlu adanya majlis formal.

"Saya sudah berkecimpung dalam bidang politik di Wilayah Persekutuan lebih kurang 20 tahun, jadi saya tahu masalah-masalah asas warga kota.

"Oleh itu bila saya masuk kementerian ini, untuk menyenangkan tumpuan kerja saya, maka saya mengeluarkan Falsafah 7P," katanya dalam temu bual eksklusif bersempena Hari Wilayah Persekutuan ke-36 di pejabatnya, di sini.

7P yang dimaksudkan beliau ialah pembangunan, perumahan, penyelenggaraan, penjaja, penguatkuasaan, pengangkutan awam dan prihatin.

Raja Nong Chik yakin jika 7P ini dapat difokuskan, maka prestasi kementerian ini akan meningkat, rakyat berpuas hati dan akhirnya memberi kesan kepada kerajaan terutama sekali semasa pilihan raya.

Katanya bagi masalah perumahan di Kuala Lumpur, kementerian sudahpun mengedarkan 28,000 borang penjualan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan 24,000 permohonan menyatakan berminat untuk membeli dan 15,000 daripada permohonan itu sudah diproses.

"Walaupun Perdana Menteri sudah mengumumkan penjualan 47,000 rumah di dalam bandar, ada rumah-rumah yang belum diserahkan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan...Daripada maklum balas yang kami terima, 85 peratus daripada penyewa PPR kini berminat untuk membeli," katanya.

Masalah setinggan pula, katanya, di Kuala Lumpur sahaja terdapat lebih kurang 5,000 setinggan di tanah kerajaan dan lebih kurang jumlah yang sama setinggan yang ada di tanah swasta.

Setinggan di sekitar Kuala Lumpur masih banyak di sekitar Jinjang, Kepong, Cheras dan Kampung Pandan.

"Saya hendak tekankan di sini bahawa setinggan sifar ialah sebagai satu sasaran tetapi sasaran utama ialah bagi mereka yang duduk di kawasan setinggan itu berpuas hati dan boleh menerima pemindahan mereka," katanya.

Katanya beliau tidak mahu jika paksaan dilakukan, maka ramai penduduk setinggan yang membuat protes sedangkan matlamat sebenar kerajaan ialah memberi keselesaan kepada mereka.

Beliau turut berterima kasih kepada penduduk setinggan yang menyahut seruan kerajaan untuk berpindah ke PPR dan kini mereka duduk dalam keadaan yang lebih selesa dengan mendapat kemudahan seperti dewan dan surau.

Mengenai penjaja, Raja Nong Chik berkata dasar penjaja akan dikeluarkan dengan penguatkuasaan telus dilakukan bagi menjadikan penjaja sebagai profesion yang terhormat.

Beliau berkata penjaja merupakan komuniti yang besar di Kuala Lumpur dengan 50,000 penjaja yang berdaftar dengan kementerian dan berkemungkinan terdapat lebih 50,000 lagi penjaja yang tidak berdaftar sama ada berniaga sepenuh masa atau separuh masa.

"Jika peluang ini diberi kepada penjaja, akhirnya akan memberi peluang kepada mereka ini menjana pendapatan terutama kepada mereka yang tidak ada pekerjaan lain," katanya.

Raja Nong Chik berkata P terakhir yang mewakili prihatin, penting supaya semua semua warga kementerian ingat tentang perkara itu, semasa menjalankan tugas masing-masing.

"Jangan nanti sebab tugas kita tapi akhirnya rakyat tidak berpuas hati. Contohnya ada yang hendak robohkan rumah setinggan dan kita tidak fikirkan tentang mana mereka hendak dipindahkan atau dengan cara mana...Kalau nampak mereka ini perlukan pembelaan, kita kena cari jalan untuk membela mereka," katanya.

Beliau berkata kerana keprihatinan itulah yang menyebabkan beliau membesarkan skop Yayasan Wilayah Persekutuan bagi membantu warga kota.

"Selalunya masa yang lebih panjang perlu diambil jika mengikut prosedur kerajaan dalam membantu mangsa kebakaran, banjir atau orang sakit. Oleh kerana itu kami mencari jalan untuk membantu dengan cepat menerusi yayasan itu dan sekarang dengan hanya dalam masa 12 jam, kami sudah boleh memberikan bantuan terus kepada warga kota yang berada dalam kesusahan," katanya.

Katanya sebelum ini beliau sendiri pernah melalui pengalaman pahit apabila perlu naik turun ke DBKL hampir 50 kali untuk bantu penduduk setinggan di Kampung Pasir Lama yang kini dikenali sebagai Kampung Pasir Permata.

"Itu orang macam saya yang dikira ada jawatan tetapi macam mana pula dengan mereka yang baru berpindah dari kampung ke bandar. Siapa nak bela mereka ini kalau kita tidak prihatin?" soal beliau.

Mengenai pembangunan Kampung Baru pula, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan di Kampung Baru dijangka Februari ini bagi melihat sendiri keadaan di situ.

"Harap perkara ini (pembangunan Kampung Baru) boleh diteruskan kerana lagi lama pemilik tanah di Kampung Baru menunggu, maka lagi lamalah kerugian yang dihadapi mereka.

"Ini kerana nilai harta di Kampung Baru berbanding tanah di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) jauh berbeza. Saya haraplah masa saya jadi Menteri ini, bolehlah satu pendekatan dibuat supaya Kampung Baru dapat dimajukan," katanya.

Tidak cukup dengan Falsafah 7P, Raja Nong Chik yang merupakan seorang menteri yang aktif, menggunakan blog dan laman sosial Facebook sebagai platform dalam mendapatkan maklum balas rakyat.

Beliau berkata penggunaan Facebook sangat berkesan kerana banyak cadangan dan nasihat yang diterima khususnya daripada golongan muda.

"Golongan muda jarang menghadiri program-program yang saya ada dan jika ada mereka tidak berpeluang jumpa terus dengan saya. Menerusi Facebook inilah, mereka dapat berinteraksi dengan saya," katanya yang memperuntukkan 'Facebook Hour' selama sejam setiap Rabu bagi menjawab secara terus pertanyaan yang dikemukakan.

Sementara itu, sempena Hari Wilayah Persekutuan ke-36, Raja Nong Chik berharap sambutan pada kali ini memberi semangat baru kepada warga Wilayah Persekutuan untuk bekerjasama dengan kementerian, memperbaiki dan membangunkan Wilayah Persekutuan sambil mengurangkan isu politik.

"Kita perlu tumpukan bagaimana untuk kita bekerjasama dan menaikkan kemudahan yang kita ada supaya bertaraf dunia, menjaga nilai-nilai kebersihan, tidak membuang sampah merata-rata dan tidak boleh letak kereta ikut suka," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan