suria

Bila 'Si Kudung' Disuruh Beratur

KUALA LUMPUR: Banyak telah diperkatakan tentang kemudahan serta hak bagi golongan Orang Kurang Upaya.

Di Malaysia, Akta Orang Kurang Upaya diluluskan di Parlimen pada 24 Disember 2007 dan diwartakan pada 24 Januari 2008.

Ia dikuatkuasakan pada 7 Julai 2008. Akta ini memberikan pengiktirafan pada hak istimewa Orang Kurang Upaya dan menukar konsep mereka yang kurang upaya daripada konsep kebajikan kepada konsep berasaskan hak.

Akta ini juga membolehkan Orang Kurang Upaya mempunyai hak dan peluang yang sama serta penyertaan penuh dalam masyarakat setara dengan orang yang lain. Akta ini memperuntuk perihal berkaitan pendaftaran, perlindungan, pemulihan, pembangunan dan kesejahteraan Orang Kurang Upaya.

DISURUH BERATUR

Baru-baru ini, ketika penulis cuba membayar makanan di kaunter kafeteria sebuah institusi kesihatan awam di sini, beliau terperanjat bila ditegur oleh seorang juruwang wanita. "Kenapa tidak beratur macam orang lain!" Ketika itu terdapat lima atau enam orang yang sedang beratur di kaunter untuk membayar makanan. Penulis yang tidak boleh berdiri lama telah memotong barisan dan terus ke kaunter, mengharapkan diberi laluan seperti biasa. (Penulis merupakan orang kurang upaya fizikal dan memakai kaki palsu kanan serta terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan. Dari gerak gaya penulis, memang amat mudah untuk mengenali beliau sebagai Orang Kurang Upaya). "Orang cacat kena beratur ke? Kalau saya tidak cacat sudah tentu saya beratur," jawab penulis sambil berfikir mungkinkah si juruwang tidak perasan keadaan beliau atau tidak sensitif langsung terhadap Orang Kurang Upaya seperti dirinya. "Saya Orang Kurang Upaya!" Tambah penulis dengan rasa agak terhina dengan kata-kata si juruwang seolah-olah penulis memang dari jenis yang tidak mengenal tatasusila serta disiplin. Juruwang itu kemudian memohon maaf.

LALUAN HIJAU

Sejak penguatkuasaan Akta Orang Kurang Upaya, banyak institusi awam serta swasta menyediakan konsep laluan hijau bagi mereka yang kurang upaya untuk berurusan.

Antara institusi ini ialah Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tenaga Nasional dan beberapa institusi kewangan. "Encik tidak perlu ambil nombor, boleh terus ke kaunter ini," kata seorang petugas kaunter Tenaga Nasional di Petaling Jaya bila penulis mahu berurusan di situ.

Situasi yang sama berlaku ketika penulis berurusan di KWSP Petaling Jaya dan LHDN di Shah Alam. Tidak perlu bagi beliau memperkenalkan diri sebagai 'orang cacat'. Apa itu 'laluan hijau'?

Menurut pegawai perubatan Dr David Chan yang juga merupakan aktivis sosial, laluan hijau merupakan satu kaedah untuk menyegerakan satu tindakan, proses atau pergerakan. "Laluan hijau konsepnya sama dengan lampu hijau di persimpangan lampu isyarat. Hijau maknanya boleh jalan dan tidak perlu berhenti. Konsep ini digunakan bagi Orang Kurang Upaya serta warga emas untuk memudahkan mereka berurusan", kata beliau.

Menurut Dr Chan, laluan hijau mungkin tidak wujud secara fizikal tetapi konsepnya memang diamalkan di kaunter-kaunter agensi kerajaan dan swasta seperti farmasi hospital, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen serta yang lain. "Terpulang kepada pihak pengurusan. Ada yang tidak menyediakan laluan khas tetapi menggunakan budi bicara mereka bila berurusan dengan Orang Kurang Upaya.

Mereka yang kurang upaya memerlukan perhatian orang ramai jadi apa salahnya kalau mereka diberi keutamaan. Sudah tentu meringankan sedikit beban mereka",kata Dr Chan.

PERUNTUKAN

Bagaimana pula dengan peruntukan terhadap mereka yang tidak komplian kepada hak serta keistimewaan bagi golongan kurang upaya? Adakah Akta itu menyatakan penalti terhadap mereka yang enggan atau gagal menyediakan kemudahan serta keistimewaan kepada Orang Kurang Upaya dan juga bagi mereka yang melakukan diskriminasi bagi golongan ini? Apa pula yang ditakrifkan sebagai 'diskriminasi' terhadap Orang Kurang Upaya?

Bagi peguam Benny Lim, Akta Orang Kurang Upaya tiada menyatakan penalti atau hukuman kepada 'tidak komplian atau ketidakpatuhan' pihak tertentu terhadap peruntukan Akta. Lim mengutarakan satu soalan. "Katakan pihak pengurusan sebuah tempat awam memindahkan beberapa tempat duduk yang biasanya digunakan Orang Kurang Upaya ke bahagian lain. Jadi, Orang Kurang Upaya tidak dapat lagi menggunakan kemudahan itu dan ini telah secara langsung adalah ketidakpatuhan terhadap pemberian hak serta keistimewaan Orang Kurang Upaya. "Apakah pihak pengurusan itu boleh dikenakan penalti atau hukuman? Jawapannya sudah tentu tidak kerana tiada peruntukan untuk keadaan itu dalam Akta Orang Kurang Upaya".

Begitu juga kalau Orang Kurang Upaya disuruh beratur atau mengambil nombor giliran sebelum berurusan. tiada penalti dapat diambil terhadap mereka yang mengeluarkan arahan berkenaan. "Orang Kurang Upaya hanya mengharapkan keprihatinan, itu sahaja. Tidak salah dari segi undang-undang jika mereka terpaksa menjalani proses sama seperti orang lain untuk berurusan. Cuma dari segi moral kita 'sepatutnya' tidak membiarkan mereka berada dalam kesusahan dan memberikan kelonggaran,"kata beliau.

BERSIFAT 'ADMINISTRATIF'

Bagi Lim, Akta Orang Kurang Upaya lebih bersifat 'administratif' dan bertujuan mendidik masyarakat terhadap keperluan serta hak dan keistimewaan orang kurang upaya. "Akta tersebut juga menyentuh tentang pembangunan serta kemudahan bagi orang yang kurang upaya,"kata beliau.

Kata Lim lagi, berbanding negara lain kerajaan Malaysia menunjukkan komitmen yang tinggi untuk membangunkan mereka yang kurang upaya. "Akta tersebut merupakan dokumen utama dan langkah penting yang memperuntukkan hak kepada Orang Kurang Upaya".

Menurut statistik, terdapat 220,250 Orang Kurang Upaya yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kerajaan, melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menetapkan Tahun 2012 sebagai matlamat menghapuskan jurang terhadap Orang Kurang Upaya.

Tahun itu dijadikan tarikh yang membebaskan Orang Kurang Upaya daripada segala jurang dan diskriminasi.

Diharapkan juga terdapat peningkatan bagi kesedaran awam tentang hak keistimewaan serta diskriminasi yang dihadapi golongan kurang upaya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain