Meningkatkan Taraf Hidup Masyarakat Luar Bandar

Diterbitkan: Selasa, 26 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

(Bahagian akhir daripada dua siri rencana mengenai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)

USAHA yang lebih gigih perlu dilakukan untuk menghapus persepsi negatif mengenai keadaan luar bandar yang lazimnya dilabel sebagai mundur, dibelenggu pengangguran dan kemiskinan serta tiada peluang pekerjaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dalam hal ini negara perlu mencontohi bagaimana negara-negara maju yang berjaya mengubah imej kawasan luar bandar.

Sebagai contoh, di Jepun, kawasan luar bandar bukan hanya menjadi destinasi pelancongan, malahan menjadi pilihan petempatan bagi golongan elit dan penduduk berpendapatan tinggi.

Kawasan luar bandar yang berimej mundur, tidak maju dan tidak mempunyai nilai kekayaan, ditukar menjadi tempat membina kehidupan yang lebih baik dan selesa, disertai dengan peluang dalam bidang ekonomi dan industri.

Justeru itu, kerajaan memikul tanggungjawab besar untuk memastikan masyarakat luar bandar setaraf dengan masyarakat luar bandar di negara maju dari aspek kesihatan, pendidikan, sikap dan cara hidup.

MEMBANTERAS KEMISKINAN

Mohd Shafie menekankan bahawa membanteras kemiskinan ialah tugas utama kementerian ini.

Mengambil contoh keadaan di Vietnam, selepas hampir menjadi padang jarak padang tekukur akibat perang, negara itu berjaya mencatat kadar pertumbuhan ekonomi purata tahunan sebanyak 7.6 peratus.

Selain mencatatkan kadar purata pertumbuhan yang tertinggi di dunia, ia turut membebaskan seramai 20 juta penduduk Vietnam daripada kemiskinan dalam tempoh hanya 10 tahun.

China pula, dalam tempoh 20 tahun, iaitu dari tahun 1981 hingga 2001, dengan berasaskan kepada ukuran garis kemiskinan oleh Bank Dunia iaitu pendapatan US$1 sehari, berjaya membebaskan seramai hampir 400 juta penduduk termiskin dari belenggu kemiskinan.

Banyak faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini, antaranya termasuk peningkatan kadar produktiviti, dasar terbuka berhubung perdagangan dan pelaburan langsung asing.

"Andaikata negara lain mampu memecahkan lingkaran kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan berjuta penduduk, mengapa kita tidak boleh melakukannya?" soal beliau.

MEMACU SEMUA AGENSI TERLIBAT

Mohd Shafie berkata berasaskan kepada keperluan yang mendesak ini, beliau ingin memastikan agar setiap agensi di bawah kementeian MARA, KEMAS, INFRA, RISDA, FELCRA, KEJORA, KEDA, KETENGAH, KESEDAR, JHEOA menjadi pemacu dan peneraju pembangunan modal insan luar bandar.

Program Pelan Tindakan Desa yang dilaksanakan INFRA ialah antara program yang baik dalam meningkatkan keupayaan komuniti luar bandar.

Program ini, katanya, wajar diteruskan, namun usaha untuk penambahbaikan perlu difikirkan bagi memastikan masyarakat luar bandar mendapat manfaat yang maksimum dan seterusnya membantu meningkatkan daya saing masyarakat kampung.

Selain itu pembangunan masyarakat Orang Asli juga turut diberi perhatian.

Memandangkan Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli diluluskan pada tahun lepas, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) perlu segera menyediakan pelan penyelesaian bagi memastikan pelaksanaan dasar itu oleh kerajaan negeri yang berkaitan.

Seterusnya, fokus perlu diberikan kepada pindaan Akta Orang Asli 134 (1954) supaya dapat disesuaikan dengan keadaan semasa.

Selain itu, kementerian ini juga menubuhkan kumpulan fokus bagi pembangunan Orang Asli. Ia berperanan untuk melonjakkan pembangunan Orang Asli dalam pelbagai bidang terutama ekonomi, pendidikan, keusahawanan, infrastruktur dan kesihatan.

PRESTASI SEPANJANG 2009

Sementara itu, tahun lepas buat pertama kali dalam sejarah, peruntukan yang sangat besar iaitu RM3.581 bilion disediakan kepada kementerian. Sehingga 31 Disember 2009 sejumlah RM3.51 bilion atau 97.97 peratus dibelanjakan untuk pembangunan luar bandar dan wilayah.

Antaranya pembinaan jalan sepanjang 228.91km untuk Jalan Luar Bandar dan 1,095.95km untuk Jalan Kampung, pembinaan 12,105 buah rumah di bawah Program Bantuan Rumah Pakej Rangsangan Ekonomi 1 dan 8,995 projek pembasmian kemiskinan bagi membantu seramai 63,379 keluarga miskin tegar.

Selain itu, peruntukan berkenaan turut digunakan untuk membiayai projek perniagaan di bawah MARA dan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) sejumlah RM267 juta kepada 5,648 usahawan.

Sehingga kini 37,889 usahawan telah mendapat pembiayaan berjumlah RM1.73 bilion. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan