suria

Cat Mesra Alam, Rendah Bau, Baik Untuk Kesihatan

BAGI mereka yang gemar menghidu bau dinding baru disapu cat, mereka tidak menyedari aroma yang agak 'mengasyikkan' ini ialah wap cat yang sebenarnya antara bahan alergi yang biasa didapati di rumah selain hama debu, bulu binatang peliharaan dan kulat.

Walaupun sapuan cat baru cara paling mudah memberikan kesegaran pada suasana bilik, wap atau gas dikeluarkan dari dinding yang baru disapu cat, sebenarnya membawa risiko kepada kesihatan.

Memang ada yang rasa teruja bila berada di dalam bilik yang baru menerima sapuan lapisan cat. Tetapi bagi yang lain termasuk mereka yang melakukan kerja mengecat itu sendiri, boleh mengalami pedih mata, sakit kepala selain semput nafas.

Kajian menunjukkan pendedahan berlebihan terhadap 'wap' yang dihasilkan dari cat boleh menyebabkan iritasi mata dan juga masalah pernafasan.

Ada juga laporan tentang risiko keguguran yang lebih tinggi, peningkatan risiko asma kanak-kanak serta reaksi alergi. Pendedahan pada jangka masa lama juga dikaitkan dengan penyakit hati dan buah pinggang.

Oleh itu, wap dari cat adalah tidak sihat! Sehinggakan Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat dilapor menetapkan bahawa cat ialah antara lima 'bahaya' bagi alam sekitar.

BAHAN ORGANIK MUDAH RUAP

Cat mengandungi banyak wap sebatian organik (VOC) yang boleh memberi reaksi alergi kepada manusia. Bahkan semakin 'lebih seri' warna sesuatu cat bermakna lagi banyak kandungan VOC di dalamnya.

Bagi cat minyak pula, ia mengandungi lebih banyak VOC jika dibandingkan dengan cat berasaskan air atau lateks.

Bila lapisan cat mengering, ia akan menghasilkan evaporasi VOC yang kemudiannya meresapi udara serta bertukar menjadi bahan 'pencemar'.

Vapor atau wap dari cat serta bahan kimia yang lain memberi risiko kesihatan bagi kanak-kanak, orang tua dan juga mereka yang mempunyai ketahanan imun badan yang rendah.

Jadi bagaimana kita lindungi mereka dalam kumpulan ini daripada bau, wap serta gas yang dihasilkan cat bila memberi lapisan cat baru kepada dinding rumah?

Jawapannya ialah cat 'sifar VOC' atau yang mempunyai kandungan VOC rendah yang dikeluarkan sebagai alternatif kepada konsumer yang peka terhadap kesihatan.

CAT VOC RENDAH

Menurut Soo Fee Wah, Pengarah Urusan Mr Paint Man Sdn Bhd, syarikat itu menawarkan cat yang mesra alam serta VOC rendah bagi memastikan bahan kimia yang membahayakan kesihatan bukannya lagi satu masalah.

Sebagai mengukuhkan komitmen terhadap keselamatan serta kepuasan pengguna, syarikat itu menghantar cat keluarannya ke sebuah makmal di negara jiran yang terkemuka dalam bidang penilaian produk bersepadu dan komprehensif, perkhidmatan pemeriksaan dan persijilan.

"Kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa hasil ujian mengesahkan cat keluaran kami adalah rendah VOC, kurang wap, serta rendah bau selain bebas daripada bahan kimia yang berbahaya," kata beliau.

Produk Mr Paint Man juga menepati standard piawaian alam sekitar SIRIM.

Baru-baru ini Soo memperkenal logo mesra alam Mr Paint Man iaitu 'Ecofren'. Logo itu akan tampil bersama maskot Mr Paint Man bagi semua cat berasaskan air keluaran syarikat itu.

JAMINAN KEPADA PENGGUNA

"Ia merupakan satu tanda jaminan bagi pengguna bahawa produk kami telah melepasi ujian yang ditetapkan dan tiada kandungan berbahaya yang ditemui. Pengiktirafan ini memperakui ciri profail pemuliharaan alam sekitar dan keselamatan kami," kata Soo.

Menurut Soo, pengguna harus berwaspada terhadap sesetengah cat yang mengandungi bahan berbahaya terhadap kesihatan seperti formaldehid dan kadmium.

Formaldehid boleh mendatangkan iritasi atau keradangan mata dan selaput mukus, di samping mencetuskan simptom asma, manakala kadmium dikaitkan dengan perapuhan tulang dan kegagalan fungsi buah pinggang.

Kadmium juga merupakan satu daripada enam bahan yang diklasifikasikan sebagai bahan larangan oleh Kesatuan Eropah (EU) untuk Bahan Berbahaya.

Soo melahirkan keyakinan bahawa produk Mr Paint Man, dengan status mesra alam serta kebaikan Teknologi UBAK Jepun, akan menjadikan cat itu pilihan bagi mereka yang mahu memberikan rumah mereka lapisan cat yang baru.

Teknologi itu, hasil kerjasama dengan Kansai Paints dari Jepun iaitu antara syarikat yang terulung dalam bidang industri cat, telah memberi tahap kelegapan atau paras penutupan yang baik, sapuan cat yang lebih halus dan sempurna pada permukaan yang dicat.

"Tahap kelegapan tinggi merujuk kepada keupayaan cat menyembunyikan warna lama dinding tanpa apa-apa bayangan terhadap lapisan lama. Ini penting kerana cat yang rendah legap bermakna lebih banyak lapisan cat terpaksa digunakan dan ini memakan lebih banyak tenaga, masa dan kos," jelas Soo.

Produk Mr Paint Man terdiri daripada cat bagi kegunaan luaran serta dalaman. Disesuaikan dengan keadaan cuaca tropika Malaysia, syarikat itu yakin jenama ini semakin menjadi pilihan bagi mereka dalam industri cat. - BERNAMA

Artikel Berikut

'Jamal', Bahtera Padang Pasir

Artikel Lain