Tentang Dua Budaya Dan Satu Perasaan

Diterbitkan: Rabu, 20 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAGI peminat filem Melayu, terutama dalam kalangan generasi yang sudah berumur, mungkin masih segar dalam ingatan mereka tentang sebuah filem yang berjudul 'Gerimis' terbitan Merdeka Filem Setudio di Hulu Kelang, Selangor pada tahun 1968.

Filem arahan bintang legenda negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, membawa penonton berfikir tentang isu kahwin campur, sesuatu yang dianggap janggal dalam tahun-tahun selepas Merdeka.

Dalam filem itu, Kamal (P. Ramlee) seorang pelukis, jatuh hati terhadap penari kelab malam bernama Leela (Chandra Shamugam). Ini ditentang keras oleh keluarga kedua-dua belah pihak dan memaksa Kamal dan Leela lari dan kemudian berkahwin setelah Leela memeluk agama Islam.

Pensyarah serta aktivis sosial Rashid Ismail menganggap P.Ramlee mahu menekankan kepada faktor bahawa cinta tidak mengenal sempadan.

"Ia tentang dua budaya dan satu perasaan," katanya.

DUA BUDAYA, SATU HATI

Memang kahwin campur meletakkan satu tekanan besar terhadap pasangan serta keluarga masing-masing dan memerlukan sikap toleransi semua pihak yang terlibat, bukan hanya suami dan isteri berkenaan sahaja.

"Aspek agama mestilah mengatasi segala perkara. Bagi budaya, ia satu elemen yang mewarnakan kehidupan pasangan kahwin campur," kata beliau.

Menurut Rashid, perbezaan dari segi budaya, tradisi dan amalan keluarga pihak suami dan isteri sebenarnya akan menceriakan kehidupan dan mengeratkan ikatan hubungan pasangan berkenaan serta anak-anak mereka.

"Walaupun terdapat beberapa halangan serta tentangan terhadap kahwin campur, tetap ada satu 'keistimewaan' bagi situasi itu," katanya.

Beliau berkata pendedahan terhadap budaya dan amalan kaum lain akan membuatkan individu terbabit dapat memahami dengan lebih baik kebudayaan dan tradisi orang lain.

"Anak mereka akan mendapat kebaikan daripada ini, mereka boleh mahir dalam sekurang-kurang tiga atau empat bahasa termasuk bahasa ibunda ibu bapa serta juga Bahasa Inggeris dan boleh menikmati pelbagai masakan kaum masing-masing."

MENERIMA BUDAYA LAIN

Bagi jururawat Siti Suriani Khoo Abdullah, kahwin campur memberikan satu sinar dan keceriaan kerana beliau dan suami yang sentiasa cuba mempelajari dan mengenali amalan serta tabiat keluarga pasangan masing-masing.

"Pemikiran kami jadi lebih terbuka dan positif selain dapat menerima buday masing-masing. Saya, suami dan anak-anak boleh bertutur dalam bahasa Kantonis, Melayu, Inggeris dan juga Bajau," kata Siti Suriani yang dulunya dikenali sebagai Khoo Siew Peng.

Suami beliau ialah seorang jurutera keturunan Bajau di Sabah.

Menurut Siti Suriani, beliau dan anak-anak tidak mempunyai masalah berkomunikasi bila mengunjungi keluarga sebelah suami di Kota Kinabalu. begitu juga bagi suaminya bila mereka berkunjung ke rumah keluarga si isteri di Gopeng, Perak.

Bagi Siti Suriani, agama mengatasi segalanya.

"Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa. Dan agama boleh menyatukan kita. Janganlah prejudis dan mengamalkan syak wasangka terhadap kaum lain," katanya.

KENAPA RASA JANGGAL TERHADAP KAHWIN CAMPUR?

Pesara kerajaan Ahamad Yaheya Othman mempunyai pandangan sebegini:

"Pada tahun-tahun sebelum dan selepas Merdeka, masyarakat Melayu memandang janggal terhadap kahwin campur kerana beberapa faktor. Ketika itu, bagi masyarakat ini, kepercayaan kepada agama anak-anak mereka akan luntur dan beransur pudar jika mengahwini orang dari kaum lain yang berlainan budaya".

Ahamad, yang merupakan bekas pegawai daerah berkata masyarakat Melayu pada zaman itu juga takut jika anak-anak mereka mengikuti budaya dan amalan pasangan mereka dari kaum lain.

"Ketika itu juga, bagi sesetengah orang, bertutur dalam Bahasa Inggeris dan memakai tali leher ialah satu perkara yang pantang," kata beliau sambil menambah komuniti lain memandang orang Melayu sebagai mengamalkan kehidupan yang agak konservatif.

"Pada masa itu, budaya Melayu dilihat sebagi terlalu ketat dan mengongkong," kata Ahamad Yaheya.

Tetapi kini semuanya sudah berubah. Ramai yang menerima hakikat bahawa kahwin campur memperkaya masyarakat dan mengukuhkan hubungan antara kaum. Kahwin campur bukanlah lagi satu masalah seperti yang dianggap dulu. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan