suria

UPM Teruji Inovasi Biochar Negara Tangani Perubahan Iklim

Dr Mohamad Amran berkata karbonator itu merupakan inovasi daripada teknologi Jepun dan menggunakan 100 peratus komponen tempatan. - Foto BERNAMA
Dr Mohamad Amran berkata karbonator itu merupakan inovasi daripada teknologi Jepun dan menggunakan 100 peratus komponen tempatan. - Foto BERNAMA
Dr Mohamad Amran berkata karbonator itu merupakan inovasi daripada teknologi Jepun dan menggunakan 100 peratus komponen tempatan. - Foto BERNAMA

CABARAN perubahan iklim menyebabkan negara membangun seperti Malaysia beralih kepada teknologi hijau dalam usaha mengurangkan emisi karbon dioksida (CO2) ke udara bagi memastikan survival sejagat.

Ketika kerajaan komited mengurangkan emisi CO2, saintis dan penyelidik tempatan berpusu-pusu mencari kaedah terbaik untuk menyokong hasrat murni itu antaranya biochar yang dikatakan mampu menjadi agen mitigasi perubahan iklim.

Biochar atau arang yang dihasilkan melalui proses pirolisis bio-masa, antaranya tandan kelapa sawit kosong (EFB) dikatakan mampu menyimpan karbon di dalam tanah bagi tujuan mitigasi itu.

Dalam konteks ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Nasmech Technology Sdn Bhd mengorak langkah dengan membina loji pengeluaran biochar daripada tandan kelapa sawit kosong di Dengkil, Selangor.

Dengan dana Technofund Kementerian Teknologi dan Inovasi berjumlah RM3.98 juta, sekumpulan saintis dan penyelidik universiti itu, yang diketuai Prof Dr Azni Idris membina loji pandu karbonator untuk menghasilkan biochar daripada sebarang jenis sisa termasuk EFB.

"HOMEMADE" CARBONATOR BIOCHAR

Penyelidik utama projek, Dr Mohamad Amran Mohd Salleh berkata karbonator itu merupakan inovasi daripada teknologi Jepun dan menggunakan 100 peratus komponen tempatan, selain merupakan loji pengeluaran biochar berskala besar pertama di rantau ini.

"Karbonator ini mampu memproses sehingga 20 tan EFB sehari," katanya kepada Bernama di universiti itu di Serdang baru-baru ini.

Loji pandu karbonator di Kilang Minyak Kelapa Sawit Seri Ulu Langat, Dengkil, Selangor itu siap sepenuhnya pada Ogos tahun lepas, kira-kira 10 bulan selepas pembinaannya.

Inovasi UPM dengan kerjasama Nasmech ini dilihat akan menyelesaikan masalah pelupusan sisa bio-masa khususnya EFB yang ketika ini dihasilkan kira-kira 188 juta tan setahun di negara ini.

Kebiasaannya EFB dilupuskan melalui kaedah kompos, dibakar atau menjadi bahan bakar.

BIOCHAR SUMBER TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI

Namun melalui inovasi biochar, tandan kelapa sawit kosong itu akan ditukarkan menjadi arang (biochar) melalui proses pirolisis di mana ia dipanaskan di bawah suhu antara 300-450 darjah selsius tanpa kehadiran oksigen.

Apa yang menarik, selain 20 peratus daripada EFB itu menjadi biochar, proses itu turut menghasilkan "volatile" atau bio-fuel dan gas sintetik (syngas) yang juga sumber tenaga boleh diperbaharui.

Dalam konteks loji pandu karbonator itu, Dr Mohamad Amran berkata tenaga itu digunakan semula sebagai sumber tenaga untuk proses pemanasan EFB pada pusingan seterusnya.

"Biochar juga akan menjadi alternatif kepada arang yang semakin mahal dan sukar digali untuk menjana kuasa elektrik," katanya.

Saintis tanah dari Fakulti Pertanian UPM Prof Madya Dr Rosenani Abu Bakar berkata biochar juga mampu bertindak sebagai agen mitigasi perubahan iklim.

AGEN MITIGASI

Mengulas lanjut, Rosenani berkata mengikut kitaran alam, tumbuh-tumbuhan melalui proses fotosintesis menyerap CO2 dan cahaya untuk menghasilkan oksigen sebelum mereput dalam tanah apabila tamat hayatnya dan membebaskan CO2 kembali ke udara.

Dengan kata lain, pokok atau tumbuh-tumbuhan yang mati, seperti mana sisa bio-masa ini akan mengeluarkan CO2 ke udara namun keadaan ialah sebaliknya jika sisa bio-masa ini ditukar kepada biochar (karbon stabil) dan disimpan dalam tanah.

"Proses ini menyebabkan senario karbon negatif, di mana secara akumulatif karbon akan dikurangkan (di udara). Ia proses jangka panjang untuk mengurangkan CO2 di udara," kata pensyarah Jabatan Pengurusan Tanah UPM itu.

Biochar sebenarnya bukannya suatu penemuan baru tetapi ia diguna pakai masyarakat di Terra Preta, Amazon Tengah, sejak beribu-ribu tahun lalu di mana arang digunakan untuk menyuburkan tanah di kawasan terbabit.

Rosenani berkata kajian sebelum ini menunjukkan biochar mampu meningkatkan kesuburan tanah dengan keupayaan menampung air, menyerap baja dan meningkatkan aktiviti mikrob, dipercayai ada kaitan dengan komposisi karbon yang stabil itu.

SUMBANGAN UPM BANTU TANGANI PERUBAHAN IKLIM

"Dalam hal ini, biochar bertindak sebagai perapi tanah meningkatkan kesuburan tanah terbabit," katanya.

Fakulti Pertanian UPM sedang mengkaji kesesuaian tanah di negara ini untuk menggunakan biochar yang dihasilkan daripada EFB bagi meningkatkan produktiviti tanaman, menjadikannya universiti perintis dalam pembangunan dan penyelidikan biochar di negara ini.

"Biochar ialah sumbangan UPM untuk membantu negara dalam mendepani perubahan iklim global," kata Naib Canselor universiti itu, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R.Abdullah pada Bengkel Biochar Malaysia di ibu negara Disember lepas.

Sebelum ini, rang undang-undang Amerika Syarikat turut memuatkan biochar sebagai agen mitigasi perubahan iklim, seperti mana kaedah itu turut dikedepankan pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (COP15) di Copenhagen, Denmark, akhir tahun lepas sebagai antara kaedah mengatasi pemanasan global berikutan pembebasan gas rumah hijau (GHG).

Inovasi biochar ini sekiranya dikomersilkan mampu mengurangkan sehingga 3.4 juta tan daripada 70 juta tan karbon dioksida yang dikeluarkan sektor pembuatan negara setiap tahun sumbangan yang amat signifikan dalam pengurangan emisi GHG negara.

Kini terpulang kepada UPM dan sekutunya untuk menjayakan pengkomersilan teknologi hijau itu sebagai alternatif kepada industri tempatan untuk menggerakkan ekonomi karbon-rendah negara, demi masa depan yang lebih lestari. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain