suria

Mengharungi Kesesakan Lalu Lintas Di Jakarta

Penulis berada di kawasan jalan kaki. Jalan di bawahnya sesak dengan trafik. -Foto BERNAMA
Penulis berada di kawasan jalan kaki. Jalan di bawahnya sesak dengan trafik. -Foto BERNAMA
Penulis berada di kawasan jalan kaki. Jalan di bawahnya sesak dengan trafik. -Foto BERNAMA

(Penulis Bernama menceritakan pengalaman beliau mengharungi kesesakan lalu lintas di Jakarta.)

LEBIH lima kali ganda saiz Kuala Lumpur dan mempunyai penduduk seramai 8.5 juta orang, Jakarta mempunyai kesemua ciri sebuah bandar raya progresif - pencakar langit, rangkaian jalan raya yang baik dan kemudahan awam.

Ibu negara Indonesia ini dijangka muncul sebagai bandar raya kelima terbesar di dunia menjelang 2015 tetapi lawatan ke kota raya ini baru-baru ini menunjukkan masalah besar yang dihadapinya - kesesakan lalu lintas yang teruk.

KESESAKAN DI JAKARTA

Penulis baru-baru ini ke Jakarta untuk menghadiri sebuah bengkel dan terpaksa mengharungi kesesakan jalan yang teruk sebaik meninggalkan Lapangan Terbang Soekarna-Hatta.

Jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur, kesesakan semasa waktu puncak yang sudah biasa ditempuh dirasakan tidak seteruk berbanding di Jakarta.

Penerbangan dari Sepang hanya mengambil masa dua jam, perjalanan dengan teksi dari lapangan terbang itu ke Grand Melia Jakarta yang meliputi jarak 35 kilometer mengambil masa dua jam empat puluh minit! Dan perjalanan ini begitu meletihkan!

Setelah berlepas pada pukul 6 petang, perjalanan lancar pada 20 minit pertama tetapi semasa memasuki pusat bandar dalam keadaan hujan renyai-renyai, kenderaan mula bergerak perlahan.

Saya pada mulanya beranggapan yang trafik akan lancar selepas jarak tertentu, tetapi apa yang berlaku ialah di sebaliknya.

TERPERANGKAP DI ATAS JALAN

Oleh kerana terperangkap di atas jalan dan masa hanya terbuang begitu saja, saya mula memerhatikan lautan kenderaan yang berasak-asak di Jl. Gatot Subroto menghala ke Jl. H.R. Rasuna Said serta aktiviti yang berlaku di atas jalan.

Melihatkan jumlah kenderaan yang begitu banyak di atas jalan, mereka yang pertama kali ke bandar raya ini pastinya akan rasa terpegun. Kini terdapat lebih dua juta kereta dan enam juta motosikal yang lalu-lalang di Jakarta setiap hari dan bilangan mereka meningkat sebanyak 9 peratus setiap hari.

Terdapat begitu banyak model - SUV, MPV, kereta mewah, bas dan lori - di atas jalan dengan setiap enam daripada 10 kenderaan berusia kurang tiga tahun. Tanda kemakmuran penduduk bandar raya ini?

Kelihatan beratus-ratus buah motosikal dan mereka nampaknya menguasai lorong paling kiri daripada empat lorong. Apabila menoleh ke atas, pemandangan bangunan tinggi dan pencakar langit yang tumbuh bagaikan cendawan di merata-rata begitu mengkagumkan. Juga terdapat bangunan usang di celah-celahnya.

Trafik mula mara sedikit demi sedikit dan terhenti lagi. Dan pemandu-pemandu yang hilang sabar menukar lorong tetapi masih tidak ke mana.

Sikap ini mengingatkan saya akan pemandu di Kuala Lumpur. Terdapat polis trafik di simpang-simpang, tetapi jelas tidak banyak yang mereka boleh lakukan.

DEKAT TAPI JAUH

Semasa kami berasak-asak melalui kesesakan itu, sabar saya menjadi resah dan bertanya kepada pemandu Agus berapa jauh lagi perjalanan.

"Hotel ini tidak jauh tuan, tetapi saya tidak pasti bila kita boleh sampai ke situ," jawab Agus sambil mengurut kaki kirinya yang letih kerana terpaksa menekan dan melepaskan klac.

Saya bertanya lagi kepada Agus sama ada situasi ini berlaku saban hari, dengan keluhan panjang beliau menjawab; "Ya, tetapi hari ini kita bukan sahaja memasuki pusat bandar pada waktu puncak, hujan turun lebat sebelum itu."

Dan saya mendapat tahu yang hujan turun hampir setiap petang seperti di Kuala Lumpur dan waktu puncak trafik ialah antara pukul 5 petang dan 9 malam.

AKTIVITI ATAS JALAN

Saya tertarik bagaimana jalan-jalan yang penuh sesak ini mewujudkan satu 'budaya' baru yang unik di atas jalan. Terdapat penjaja yang bergerak dari kereta ke kereta menjual air mineral, makanan ringan dan buah-buahan, dan yang menariknya ada juga yang membuka gerai-gerai kecil menjual barangan makanan di atas pembahagi jalan.

Kemudian dengan tiba-tiba Agus bertanya 'Jika tuan rasa dahaga atau lapar, saya boleh belikan sesuatu'. Wow, mudahnya! Beribu-ribu pengguna jalan raya yang terperangkap nampaknya bergantung kepada penjaja ini.

Saya diberitahu pada sebelah pagi, beberapa daripada laluan utama termasuk Jl. Jend. Sudirman, Jl. Rasuna Said, Jl. MH Thamrin dan Jl. Gatot Subroto melarang msuk kenderaan persendirian dengan kurang daripada tiga penumpang tetapi Agus berkata pemandu di sini mempunyai helah untuk mengatasi larangan ini - mereka menyewa penumpang.

Kemudian terdapat orang tertentu yang menghentikan trafik untuk membolehkan kereta-kereta memasuki jalan utama dari jalan-jalan kecil dan pemandu membayar tip kepada mereka. Agus berkata khidmat mereka ini sangat diperlukan di sini.

Keadaan tidak banyak berubah dan kami terpaksa berasak-asak sehingga sampai di hotel. Waktu pada jam menunjukkan 8.40 malam.

DI SEBALIK SEMUA KEGILAAN INI

Pada malam berikutnya semasa keluar bersama para peserta bengkel, trafik di luar hotel menggerunkan dan saya rasa bimbang kerana nanti mungkin terpaksa duduk berjam-jam dalam teksi.

Kemudian rakan dari Indonesia Zaimah mencadangkan khidmat bas 'Kopaja' (singkatan bagi Koperasi Angkutan Jakarta).'Kopaja' mirip kepada bas mini yang beroperasi di Kuala Lumpur satu ketika dahulu, bezanya bas ini lebih besar sedikit.

"Tambangnya murah (Rp20000) dan anda akan leka dengan apa yang berlaku di dalamnya," kata Zaimah.

Kami menaiki bas ini dan memang betul kata Zaimah. Selain daripada muka-muka penumpang yang jelas letih, sekali lagi saya menyaksikan satu lagi budaya atas jalan.

Selepas sahaja bas mula bergerak seorang penghibur jalanan naik dengan gitar dan mendendangkan sebuah lagu daripada kumpulan popular di Indonesia, Krispatih.

Selepas menamatkan lagunya pemuda ini mendoakan perjalanan selamat bagi semua dan menghulurkan topi meminta sumbangan ikhlas sebelum turun.

Kemudian satu pasangan duet pula masuk untuk menghiburkan penumpang. Kami dihiburkan sepanjang perjalanan dan ini membantu mengalihkan perhatian saya daripada keadaan trafik di luar yang menyusur pelahan.

Zaimah memberitahu saya yang penghibur jalanan ini dikenali sebagai 'Nyamen' dan mempunyai kawasan masing-masing yang lazimnya meliputi jarak lebih kurang 1km. Vendor-vendor yang menjual makanan ringan dan minuman juga naik dan turun semasa perjalanan.

ALTERNATIF TERHAD

Sayang kerana Jakarta tidak mempunyai sistem transit aliran ringan (LRT). Walaupun perancang bandar di Jakarta telah memulakan usaha untuk menyediakan khidmat LRT, ia terbengkalai kerana isu kewangan.

Jadi satu-satunya kaedah pengangkutan awam yang cekap terdapat di Jakarta sekarang ini ialah pengangkutan cepat bas (BRT), Trans Jakarta, yang menggunakan laluan bas khusus dan meliputi sebahagian besar kawasan Jakarta selatan dan tengah.

Bas berhawa dingin ini mempunyai dua pintu besar dan para penumpang naik/turun melalui perhentian khas di bahagian tengah jalan raya. Penumpang hanya perlu membeli satu tiket sahaja dan boleh ke mana sahaja tetapi mungkin perlu bertukar bas.

Saya mencuba khidmat bas ini ke Jl. Tamrin dari Jl. Rasuna Said dan perjalanan lancar walaupun aliran trafik di kedua-dua belah laluan itu perlahan.

PENDUDUK TEMPATAN SUDAH BIASA

Saya bertanya kepada Zaimah dan beberapa warga tempatan lain bagaimana mereka dapat mengharungi kecelaruan di atas jalan ini setiap hari dan jawapan mereka ialah 'kami sudah biasa'.

"Semasa pejabat saya berada di Jl Jen. Sudirman ia mengambil masa 2-3 jam untuk sampai dari rumah saya di Bekasi tetapi kini saya tinggal di Bogor lebih kurang 20-km perjalanan dan ia mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam untuk sampai.

"Semasa dalam bas saya melihat ke sekeliling atau membaca buku untuk menghabiskan masa. Ini membantu saya mengelakkan stres," kata beliau menunjukkan bagaimana beliau membiasakan diri dengan situasi itu.

Memandangkan kesesakan lalu lintas yang teruk ini, semasa pulang saya dinasihatkan untuk ke lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu 'check-in' atau mendaftar masuk.

Oleh kerana bertolak sebelum waktu puncak, saya sampai di lapangan terbang dalam tempoh satu jam, tetapi trafik di pusat masih sesak.

Masalah trafik di Jakarta merupakan simptom tipikal bandar-bandar raya yang tumbuh pesat dengan infrastruktur mencapai kapasiti maksimum dan perancang bandar menghadapi masalah dalam mencari penyelesaian jangka panjang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain