suria

Nanas N36 Akan Masuki Pasaran Negara Arab Dan Iran

PENDUDUK Kampung Tanjung Gahai di Kuala Lipis kini boleh tersenyum lebar apabila Projek Agropolitan Gahai berjaya mengubah kampung berkenaan menjadi kota pertanian bersepadu yang berkembang positif.

Bukan itu sahaja, tahap kehidupan penduduk setempat turut bertambah baik dengan mampu menambah pendapatan antara RM$400RM$700 sebulan jika bekerja di ladang komersial nanas selain pendapatan sebagai penoreh getah (RM$1,000RM$2,500).

Ini membolehkan projek yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri sejak Ogos 2008 mencapai sasarannya untuk mengurangkan kemiskinan tegar kepada 2.9 peratus di kalangan pekebun kecil menjelang 2010.

Program pembangunan bersepadu di kawasan seluas 223 hektar ini merangkumi 203 hektar ditanam getah, 14 hektar penanaman nanas dan baki 6 hektar kawasan penempatan yang menempatkan 50 unit rumah peserta.

Seramai 80 ketua isi rumah miskin tegar bakal menerima faedah projek yang melibatkan kos sejumlah RM13.62 juta. Projek ini dijangka bakal menjadi pemangkin kepada lonjakan pembangunan di kawasan Gahai dan sekitarnya.

Kampung Tanjung Gahai terletak dalam daerah Lipis, dan sejauh 148 km dari Kuala Lumpur.

KEJAYAAN TANAMAN NANAS

Antara kejayaan yang boleh dibanggakan di bawah Projek Agropolitan Gahai ialah tanaman nanas yang mencatat jualan berjumlah RM40,000 setakat bulan Oktober 2009. Malahan produk nanas Hibrid N36 iaitu kacukan Gandul dan Sarawak yang dihasilkan di kampung ini dijangka dieksport ke negaranegara Arab pada tahun hadapan.

"Pihak FAMA pula dalam perbincangan dengan Iran untuk memasarkan nanas keluaran negara dan sampel juga telah dihantar bagi pemasaran," kata Pengarah RISDA Negeri Pahang, Datuk Mujahid Muhamad kepada BERNAMA semasa lawatan Kembara Media ke kawasan projek baru-baru ini.

Katanya lagi nanas yang ditanam ialah jenis Hibrid N36 iaitu benih terbaik yang istimewa dan mempunyai nilai eksport yang tinggi selain rasanya yang manis.

Sebanyak RM265,494 diperuntukkan bagi projek tanaman nanas agropolitan Gahai melibatkan 420,000 pokok nanas.

"Kejayaan ini adalah kerana usaha gigih petani menerusi perubahan sikap melaksanakan sesuatu projek pertanian kerana kerajaan telah menyediakan bantuan baja, racun dan kepakaran," kata Mujahid.

INFRASTRUKTUR

Di samping pembangunan ladang, kompleks penempatan serba moden turut disediakan dengan mengandungi 50 lot rumah, medan info desa, dewan serbaguna, masjid, bangunan kedai, industri kecil dan sederhana, setor, padang permainan dan tabika. Selain memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, pelaksanaan projek agropolitan turut disertai dengan penyediaan infrastruktur asas, utiliti dan kemudahan sosial untuk dinikmati oleh penduduk luar bandar.

Beberapa penduduk yang ditemui menyatakan rasa selesa dengan infrastruktur yang disediakan di samping berpeluang menambah pendapatan daripada hasil ladang.

Selain pertanian, penduduk turut menghasilkan pelbagai kraftangan yang menarik daripada bahan terbuang seperti suratkhabar untuk dijadikan pasu dan bakul.

Usaha untuk memajukan industri tempatan sentiasa mendapat perhatian pihak kementerian yang mana ia mampu membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada anak kampung itu sendiri.

KONSEP DAN PELAKSANAAN PEMBANGUNAN

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Zukri Valenteno yang turut bersama Kembara Media 2009 barubaru ini berkata, pembangunan Projek Agropolitan Gahai adalah lambang kesungguhan kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar.

Konsep agropolitan yang dilaksanakan kementerian bagi membangunkan kawasan mundur telah membuahkan hasil bagi peserta agropolitan Gahai.

"Ini menunjukkan satu petanda baik kepada projek desa bagi melangkah lebih maju ke hadapan khususnya dalam meneroka peluang perniagaan dalam dan luar negara," Zukri berkata.

Melalui pendekatan serampang dua mata yang bersepadu ini, sosioekonomi peserta program dapat dipertingkatkan sekali gus merangsang pertumbuhan kawasan sekitarnya melalui lonjakan pembangunan yang dijanakan melalui pembangunan infrastruktur, kemudahan dan aktiviti ekonomi yang disediakan.

Pelaksanaan yang turut meningkatkan modal insan yang memfokuskan kepada program pembangunan minda, kecemerlangan pendidikan serta latihan kemahiran dan keusahawanan desa telah membuahkan hasil bagi peserta.

Pembangunan modal insan merupakan satu pendekatan yang sangat penting dalam pembangunan pekebun kecil.

Kementerian juga mengenal pasti beberapa lokasi baru untuk pelaksanaan projek agropolitan di Batang Sadong, Batang Lupar, Pulau Bruit, Bukit Sadok, LinggaStumbin di Sarawak, Telang Usan (Miri), masingmasing sebuah di Kg Gana (Sabah) dan Sedili (Johor). - BERNAMA

Artikel Lain