suria

Istimewanya Bunga Telur Pengantin

Bunga telur bertangkai, jika dikumpul, boleh menjadi jambangan bunga berwarna-warni, menghiasi meja. Namun, dalam perkahwinan masyarakat Melayu pada abad ini, pemberian bunga telur sebagai hadiah kepada tetamu tidak lagi diamalkan. Bunga telur akan dihias menjadi bunga pahar yang diletakkan di pelamin, yang setiap tangkai akan diberikan kepada tetamu atau kaum keluarga yang menepung tawar pengantin, selain pemberian kepada saudara terdekat. -Foto BERNAMA
Bunga telur bertangkai, jika dikumpul, boleh menjadi jambangan bunga berwarna-warni, menghiasi meja. Namun, dalam perkahwinan masyarakat Melayu pada abad ini, pemberian bunga telur sebagai hadiah kepada tetamu tidak lagi diamalkan. Bunga telur akan dihias menjadi bunga pahar yang diletakkan di pelamin, yang setiap tangkai akan diberikan kepada tetamu atau kaum keluarga yang menepung tawar pengantin, selain pemberian kepada saudara terdekat. -Foto BERNAMA
Bunga telur bertangkai, jika dikumpul, boleh menjadi jambangan bunga berwarna-warni, menghiasi meja. Namun, dalam perkahwinan masyarakat Melayu pada abad ini, pemberian bunga telur sebagai hadiah kepada tetamu tidak lagi diamalkan. Bunga telur akan dihias menjadi bunga pahar yang diletakkan di pelamin, yang setiap tangkai akan diberikan kepada tetamu atau kaum keluarga yang menepung tawar pengantin, selain pemberian kepada saudara terdekat. -Foto BERNAMA

“SAYA ni sentimental sikit...,” seorang kenalan berbisik kepada penulis sebelum bergegas mendapatkan tuan rumah majlis perkahwinan yang kami hadiri.

Dia kembali dengan tersenyum lebar sambil memegang setangkai bunga telur cantik.

“Awak boleh anggap saya konservatif, tapi saya tidak puas hati kalau ke majlis kenduri kahwin tak ada bunga telur,” katanya sambil mengeluh banyak majlis perkahwinan sekarang tidak memberikan bunga telur sebagai cendera hati atau hadiah kepada tetamu.

Bunga telur yang dimintanya daripada tuan rumah itu pun ialah daripada bunga pahar di pelamin.

Memang benar, dalam 10 majlis perkahwinan yang penulis hadiri sepanjang musim cuti penghujung tahun lepas, hanya dua rumah yang menyediakan bunga telur kepada tetamu.

Kenalan ini bercerita lagi, semasa dia kanak-kanak, dia suka menunggu ibunya pulang daripada menghadiri kenduri kahwin kerana dia akan menyambut bunga telur yang dibawa ibunya dan akan dikupas untuk dibelah empat dan dikongsi bersama tiga adiknya.

“Rasa telur daripada rumah pengantin lebih sedap daripada telur rebus biasa,” katanya sambil ketawa.

Seorang tetamu yang turut mendengar perbualan itu berkata beliau sendiri menjadikan hobi mengumpul bekas-bekas bunga telur daripada anyaman mengkuang, bekas sabun, kotak berhias cantik, gelas dan seramik dan pelbagai lagi, sehinggakan penuh satu almari.

Bunga telur bertangkai pula dimasukkan ke dalam pasu bunga, menjadi jambangan bunga warna warni, menghiasi meja.

AMALAN LAMA

Pemberian bunga telur pada majlis perkahwinan orang Melayu dikatakan sebagai simbol kesuburan. Tetamu yang menerima, diharapkan akan bersama-sama mendoakan pasangan pengantin dikurniakan zuriat, memandangkan kehidupan manusia bermula daripada persenyawaan benih telur.

Kira-kira sedekad yang lalu, majlis kenduri kahwin masih mengutamakan tradisi membeli beratus-ratus telur ayam untuk direbus di dalam periuk besar dan kemudian dimasukkan ke dalam bekas untuk diagihkan kepada tetamu.

Acara merebus telur ini juga ditetapkan sekurang-kurangnya dua hari sebelum majlis kenduri kahwin. Anggota keluarga, jiran dan kawan-kawan bakal pengantin akan duduk beramai-ramai bergotong-royong mengisi telur ke dalam bekas.

Sebanyak 90 hingga 150 biji telur rebus biasanya akan diasingkan untuk dipasang pada bunga telur bertangkai yang disusun menjadi bunga pahar yang, diletakkan di sebelah kiri dan kanan pelamin. Sepohon bunga pahar lagi akan mengiringi barang hantaran untuk pasangan mempelai pada hari bertandang.

Bunga telur bertangkai ini dicucuk pada pulut kuning sebagai lambang kesyukuran dan tradisi menyediakan bunga pahar pada pelamin masih diteruskan sekarang.

Itulah saja bunga telur yang disediakan pada majlis perkahwinan kini, yang setiap tangkai akan diberikan kepada tetamu atau kaum keluarga yang menepung tawar pengantin, selain pemberian kepada saudara terdekat.

TRADISI "MENANAM"

Acara wajib merebus telur ini menyebabkan menjadi amalan suatu ketika dulu, jiran dan penduduk kampung menyumbang berpuluh-puluh biji telur untuk direbus tuan rumah, sebagai ganti hadiah kepada pasangan pengantin atau ganti sumbangan wang tunai untuk tuan rumah.

Sumbangan itu dinamakan ”menanam” selain gula, kopi dan bahan-bahan kenduri yang lain. Tuan rumah biasanya akan menyediakan buku rekod yang mencatatkan sumbangan jiran dan saudara mara itu.

Jika 100 biji telur yang disumbang, ia akan “dibayar” tuan rumah sebanyak itu juga bila tiba hari penyumbang mengadakan majlis kenduri kahwin anaknya pula.

Kalau tuan rumah memilih untuk menyediakan telur pindang pula, masa merebus lagi lama dan prosesnya sedikit rumit.

Telur akan diisi padat di dalam bekas tetapi diselang seli dengan pelbagai daun seperti daun serai, daun pandan, daun jambu,,daun kunyit dan dicampur jintan, untuk direbus sekurang-kurangnya dua hari.

TELUR DIGANTI DENGAN YANG LAIN

Kini keindahan bertukar-tukar sumbangan telur itu sudah terhapus kerana majlis perkahwinan hari ini banyak yang menggantikan telur dengan cendera hati lain untuk hadiah kepada tetamu.

Pada mulanya kek atau mufin menjadi pilihan popular tuan rumah, ataupun buah-buahan seperti epal dan limau. Kanak-kanak pula diberikan gula-gula dan coklat di dalam kotak atau bekas menarik.

Antara alasannya ialah -- telur dan bekas telur mahal, membazir kalau merebus banyak yang pecah, telur rebus tidak tahan lama, dan tiada tempat atau orang yang sanggup tolong merebusnya.

Pada hal jika dikira kos sebiji cupcake atau mufin, 80 sen hingga RM1 sudah jauh melebihi harga sebiji telur 30 atau 35 sen.

Jika dikira harga bekas pun begitu. Harga sebuah bekas telur seramik, masih ada yang di bawah harga RM3 atau dalam bentuk kotak comel, harganya di bawah RM2. Untuk bekas mufin atau kek pun lebih kurang sama modalnya, atau lebih mahal.

Jika sukar merebus telur itu sendiri, ada pemilik katering yang sanggup memasukkan sekali penyediaan bunga telur ke dalam kos penyediaan makanan, jika tuan rumah setuju.

Kini mufin dan gula-gula dirasakan tidak memadai dan tuan rumah mempelbagaikan hadiah tetamu pada majlis perkahwinan dalam bentuk manisan (coklat, kismis, gula-gula, halwa, dodol), makanan ringan (cupcake, mufin, kek buah, kerepek, kuih manis), buah-buahan (epal, oren, pear) makanan berat (nasi dan lauk pauk atau dipanggil "berkat" dalam masyarakat Jawa).

Yang lain ialah dalam bentuk wangian (potpourri, lilin wangi, sabun wangi, bunga rampai), barang kegunaan (kipas tangan, sapu tangan, tuala kecil, mug, kotak barang kemas) dan hadiah kenangan (CD pengantin, album dan bingkai gambar).

MUDAH MEMBELI

Kedai-kedai menjual peralatan atau kelengkapan majlis perkahwinan mengambil kesempatan daripada trend pemberian pelbagai rupa barang kepada tetamu ini dengan menawarkan bermacam-macam jenis cendera hati, lengkap dengan bekas yang cantik dan istimewa.

Ada pengusaha aktif mempromosi cendera hati hasil kreativiti syarikatnya menerusi lawan web atau blog di Internet.

Pada satu majlis perkahwinan baru-baru ini, seorang ibu yang berpengalaman menganjurkan kenduri kahwin anaknya, Siti Zabedah Sidek, berkata cendera hati sebagai hadiah kepada tetamu sekarang sudah jauh lebih mahal daripada bunga telur.

Tidak cukup satu, kini tuan rumah menyediakan pula dua hingga tiga barang yang dimasukkan ke dalam beg khas, katanya.

Harga beg kertas bimbit bersaiz sederhana kecil dalam pelbagai corak, dijual paling murah, 80 sen, di kedai-kedai kelengkapan pengantin.

Tetapi banyak beg cendera hati kini ditempah khas lengkap dengan gambar pasangan pengantin. Di dalamnya diisi manisan seperti dodol, buah, bahulu, gula-gula, cupcake, bunga rampai dan sejenis barang kecil seperti tuala muka.

“Bukan saja majlis hari lahir yang ada party pack, majlis kenduri kahwin pun sudah mengikut trend itu,” katanya berjenaka.

Kalau bernasib baik, masih ada tuan rumah yang tidak lupa untuk turut mengisi beg cendera hati itu dengan bunga telur di dalam bekas cantik. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Hijrah Membangun Minda

Artikel Lain