Tumbuhan Herba Khazanah Berharga

Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GOLONGAN tua dalam kalangan Orang Asli termasuk "Tok Batin" dan "Tok Halaq" ialah orang paling arif dengan sumber hutan.

Mereka antara orang yang paling banyak mewarisi ilmu penggunaan sumber tumbuhtumbuhan dalam hutan sebagai ubatubatan untuk pelbagai jenis penyakit, itu pandangan Ketua Pengarah Muzium Datuk Ibrahim Ismail.

Pendapat beliau berdasarkan bahawa masyarakat Orang Asli mempunyai hubungan yang begitu akrab dengan hutan kerana mempercayai setiap hidupan alam mempunyai semangat dan rohnya yang tersendiri.

"Oleh sebab itu tidak hairanlah walaupun setelah beratus tahun mendiami hutan belantara, masyarakat Orang Asli terus memastikan sumber alam, khususnya herba yang tidak ternilai, dapat diwarisi oleh generasi yang akan datang," katanya.

Dalam masa yang sama mereka juga memastikan sistem ekologi tumbuhan herba akan terus kekal untuk kegunaan anak cucu mereka.

Ibrahim mengulas mengenai Pameran Magis Belantara Herba Orang Asli di Muzium Negara yang berlangsung sepanjang musim cuti sekolah yang lalu.

Pameran yang berakhir 31 Disember itu bertujuan mendedahkan kepada generasi muda tentang keistimewaan herba yang berkait rapat dengan budaya dan adat resam.

"Kita dapat lihat di sini bagaimana pantang larang, amalan dan petua yang Orang Asli gunakan ketika mengambil tumbuhan hutan yang menunjukkan adanya kepercayaan berkaitan roh dan semangat hutan," katanya.

Menurutnya segala pengalaman yang diwarisi sejak bergenerasi membolehkan mereka memahami setiap rahsia tumbuh-tumbuhan yang mampu dijadikan herba untuk mengubati penyakit, maka tidak hairanlah apabila melihatkan mereka mengenal pasti setiap spesies tumbuhan bagi fungsi dan kegunaannya.

RAHSIA HERBA

Ibrahim berkata walaupun tiada pendidikan formal, Orang Asli ialah pakar kepada segala jenis tumbuhan serta memahami kitaran dan perubahan kepada tumbuhan di dalam hutan.

Sehubungan itu, katanya, Pameran Magis Belantara Herba Orang Asli itu memperlihat kaitan herba dari aspek sumber, sosio-budaya dan proses penghasilannya di samping penggunaan dan kepekaan untuk terus memastikan pengekalan bio kepelbagaian sumber hutan.

"Herba bukan sahaja dapat mendedahkan pengetahuan kepelbagaian tradisi kesihatan Malaysia tetapi juga menjelaskan pemahaman saintifik dan kaitannya dengan latar belakang budaya dan sejarah masyarakat Orang Asli sendiri.

"Lebih jauh dari itu, keistimewaan herba menjalinkan kaitannya dengan lain-lain bidang seperti bioteknologi, kesihatan, pertanian, perniagaan, perubatan dan sosial sains," katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Kamaruddin Siaraf semasa merasmikan pameran itu berkata masyarakat Orang Asli memelihara dan menghormati khazanah rimba ini kerana menganggap herba menyimpan seribu satu keajaiban.

Beliau berharap anak-anak muda menghargai kebolehan istimewa, ketajaman minda dan sumbangan Orang Asli dalam pengeluaran herba ini.

"Sayangnya, anak-anak muda hari ini hanya mengenali tumbuhan herba berbentuk kapsul dan jus minuman tanpa mengetahui rupa asal tanaman tersebut.

"Mereka patut tahu rupa asal tumbuhan herba. Suatu hari nanti bila mereka jumpa pokok herba, mereka akan menjaga dan memeliharanya supaya dapat menjadi khazanah negara yang berharga," katanya.

Selain itu katanya penghasilan produk berasaskan herba juga menjadi pilihan bagi kaedah rawatan alternatif kepada mereka yang inginkan rawatan bebas kimia.

"Dengan adanya pameran sebegini, orang ramai berpeluang melihat herba dengan lebih dekat di samping menambahkan pengetahuan dan memahami akan kegunaannya untuk dimanfaatkan," kata Kamaruddin.

PERANAN ORANG ASLI

Kurator Muzium Negara Mohd Jamil Haron berkata masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia ialah antara kaum minorti di negara ini yang terdiri daripada 18 suku kaum berdasarkan tiga kumpulan utama iaitu Senoi, Negerito dan Proto Melayu.

Beliau berkata keadaan persekitaran kediaman mereka yang dikelilingi tumbuhan tropika membolehkan masyarakat ini mengenali dan memahami tumbuh-tumbuhan semula jadi untuk dijadikan keperluan rutin mereka.

"Mereka dapat mengetahui rahsia sebahagian daripada 6,000 spesies tumbuhan tropika dalam negara untuk dimanfaatkan sebagai makanan termasuk herba," katanya.

Mohd Jamil berkata setiap kaum dari kalangan Orang Asli mempunyai pengetahuan masingmasing tentang herba tetapi hanya mereka dalam kumpulan Senoi seperti Semai dan Temiar yang banyak berkongsi pengetahuan dalam membantu aktiviti penyelidikan.

Kesan daripada itu, pelbagai penyelidikan dan inovasi sains dapat dilakukan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat umum, katanya.

"Kini, ia bukan sahaja diiktiraf oleh pakar kesihatan, malah menjadi satu industri yang dikomersilkan di peringkat antarabangsa.

"Berdasarkan kajian, hanya sebahagian kecil herba telah dilakukan ekstrak piawai melalui ujian klinikal namun penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengannya kian meningkat saban tahun," katanya.

Menurutnya herba yang sering dikaitkan sebagai ubat tradisional sangat kaya dengan khasiat serta mampu dijadikan alternatif kepada perubatan moden untuk menyembuhkan penyakit di samping menguatkan sistem imunisasi badan.

"Mengikut definisi, herba ialah tumbuhan yang boleh digunakan sebagai bahan makanan, perubatan dan bahan aroma.

"Ini bermaksud, tidak hanya tumbuhan renek, bahkan pokok berkayu juga boleh ditakrif sebagai herba jika ada potensi," katanya.

Beliau berkata selain untuk perubatan dan penjagaan kesihatan seperti memberi tenaga, awet muda atau penawar selepas bersalin, herba juga digunakan dalam ritual bagi menghindar gangguan makhluk halus.

PROSES PENYEDIAAN HERBA SECARA TRADISIONAL

Mohd Jamil berkata di Malaysia, sumber ubat-ubatan tradisi ini telah lama diperoleh daripada bahagian tumbuhan seperti akar, batang, daun, buah mahupun kulit kayu.

"Terdapat sekurang-kurangnya 1,158 spesies tumbuhan tinggi di Malaysia direkodkan mempunyai nilai perubatan.

"Daripada jumlah tersebut, 1,075 ialah tumbuhan berbunga, 76 spesies paku-pakis dan tujuh spesies lagi daripada keluarga gimnosperma," katanya.

Menurut Mohd Jamil selain mujarab merawat penyakit biasa seperti sakit kepala, batuk dan demam, ada juga sesetengah spesies yang boeh mengubati penyakit tropika seperti malaria dan kolera.

Beliau berkata masyarakat Orang Asli hanya menggunakan peralatan asas yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka untuk menyediakan sesuatu herba.

"Prosesnya bermula dari memilih pokok herba dalam hutan oleh Tok Batin, Tok Halaq atau orangorang tua yang berpengalaman luas hinggalah ke peringkat menentukan herba yang sesuai.

"Penentuan sesuatu herba untuk mengubati sesuatu penyakit dibuat berdasarkan kepercayaan yang kuat kepada petua dan pantan larang yang diwarisi," katanya.

Beliau berkata hanya bahagian-bahagian tertentu pada pokok boleh dijadikan herba, iaitu sama ada akar, daun, kulit pokok atau buahnya sahaja kecuali pokok layang-layang yang keseluruhan bahagiannya boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

Katanya kebiasaannya bagi penggunaan perubatan kaedah air rebusan akan digunakan untuk diminum, sebagai mandian atau dilayur supaya dapat dijadikan bengkong mahupun barut bagi mengubati luka luaran atau penyakit kulit.

"Seelok-eloknya herba diproses dengan kadar segera tanpa perlu dijemur atau disimpan bagi mengelakkan getah atau air pada herba tersebut kering lalu mengurangkan khasiat dan keberkesannya," katanya.

Meskipun begitu, Mohd Jamil berkata kini permintaan terhadap herba semakin meningkat dan keperluan menyimpan stok yang banyak menyebabkan menyebabkan herba perlu diproses kering bagi menjamin bekalan yang mencukupi.

"Bagaimanapun, proses mengering yang dilakukan adalah dengan cara yang betul agar khasiat herba dapat dikekalkan," katanya.

PENGKOMERSILAN MEMBANTU PEMELIHARAAN HERBA

Mohd Jamil berkata kekayaan hasil alam perlu diberi perhatian agar ia boleh dieksploitasi dalam bentuk sumber baru, sama ada dalam pertanian, perubatan, industri, farmaseutikal dan nutraseutikal.

Katanya pada masa kini, tumbuhan herba dikomersilkan dan digunakan dalam memenuhi pelbagai keperluan seperti masakan atau ubatubatan, pewangi, bahan komestik dan landskap.

"Antara faktor yang menyebabkan produk herba mendapat sambutan ialah keberkesanannya sebagai ubatubatan sampingan atau bahan alternatif," katanya.

Ini dapat dilihat dengan jelas melalui peningkatan dalam jualan produk herba serta kewujudan banyak pusat kesihatan dan spa yang menyediakan rawatan tradisional seperti aromaterapi dan ayurveda. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan