Dr Dolittle Malaysia Perjuang Isu Kebajikan Haiwan Ternakan

Diterbitkan: Sabtu, 2 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hidangan ayam yang dimasak apa pun, digoreng, dibuat sup, masak kurma, madu berempah atau masak kari, memang sentiasa membangkitkan selera.

Namun sebagai pengguna, selain isu halal, pernahkan kita terfikir isu kebajikan haiwan ternakan itu sebelum dagingnya dimasak dan sampai ke meja hidangan.

Tayangan video sewaktu syarahan Profesor Dr Zulkifli Idrus dari Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini membuka mata bagaimana ayam-ayam ini dikendalikan sebelum dihantar ke pusat penyembelihan.

Prof Zulkifli bercakap mengenai "Kebajikan Haiwan Ternakan Dalam Pertanian Moden. Peluang atau Ancaman?" di kampus UPM, di Serdang.

Video itu menayangkan bagaimana ayam-ayam ditangkap dengan cara yang kasar dari tempat ternakan dan dicampakkan ke dalam bekas yang tersedia di dalam lori.

Sama ada ayam-ayam itu tersepit, patah sayapnya atau tergolek itu tidak menjadi hal, asalkan matlamat memenuhkan bekas yang disediakan tercapai.

Kemudian bekas itu disusun bertingkat-tingkat oleh pekerja di dalam lori sebelum dibawa ke lokasi tertentu berjam-jam lamanya.

Bagi ayam yang kedudukan bekasnya di bahagian tepi, ia mungkin mendapat udara yang selesa, tetapi bagaimana pula dengan ayam yang berada di tengah-tengah? Sudahlah tersepit, perjalanan yang panjang dalam keadaan yang tidak selesa, sangat-sangat menyeksakan.

Sungguhpun rakaman itu bukanlah senario yang berlaku di negara ini, namun dari segi logiknya, kita juga tentu terfikir bagaimana pula dengan ayam-ayam yang diselenggarakan oleh industri ternakan ayam dan itik di Malaysia.

TIADA KESEDARAN

Menurut Prof Zulkifli yang ditemui Bernama selepas sesi syarahan itu, kesedaran terhadap penjagaan kebajikan ternakan ladang di Malaysia masih berada pada tahap sifar.

Prof Zulkifli yang turut digelar Dr Dolittle Malaysia oleh kalangan rakan sekerja berpendapat kesedaran itu perlu melibatkan semua pihak, orang ramai dan mereka yang terlibat secara langsung di dalam industri ternakan.

"Kesedaran terhadap kebajikan haiwan ternakan itu perlu ada selagi di bawah jagaan kita dan selagi ia hidup.

Begitu jugalah dengan ayam dan itik. Contohnya ayam daging, katakanlah umur ayam itu enam minggu, sebelum disembelih, penternak perlu menjaga kebajikan haiwan ternakan ini semasa hayatnya.

Menurut Prof Zulkifli, persepsi bahawa ayam-ayam itu akhirnya akan disembelih menyebabkan kebajikannya tidak dipeduli.

"Kenapa perlu jaga? Siapa peduli? Pada saya, ini persepsi yang salah. Sehingga ke akhir hayatnya kita perlu jaga kebajikannya.

"Ini yang sering saya tekankan. Jika haiwan tersebut anjing dan kucing peliharaan, kita lihat orang jaga kebajikannya kerana ia menjadi sebahagian daripada keluarga," katanya.

MENUNGGU MASA

Beliau turut memberi senario keadaan ayam yang belum disembelih di tempat memproses ayam.

Ayam-ayam itu dibiarkan menunggu dalam tempoh yang lama dalam keadaan tanpa makanan dan air. Dibiarkan berhimpit-himpit di dalam bekas yang sempit sehingga tidak boleh bergerak. Malah ada yang mati sebelum disembelih.

Perkara itulah yang perlu difikirkan oleh pengusaha mahupun pengguna, katanya.

Beliau turut memberi contoh bagaimana ada negara yang sudah menjadi kebiasaan memasukkan kambing biri-biri yang diikat kaki ke dalam kereta.

"Itulah konsep yang kita nak tukar. Bukan setakat sembelih sahaja cara Islam atau cara betul. Tetapi kita mahu dari awal lagi kita mengikut cara Islam," jelasnya.

MEMAHAMI KEBAJIKAN HAIWAN TERNAKAN

Merujuk kepada laman web Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, ternakan yang diuruskan dengan betul dengan persekitaran yang selesa akan membesar dengan baik dan boleh menghasilkan output ladang yang maksimum.

Ia bermula dari peringkat perolehan anak ayam sehinggalah kepada pasaran. Output yang maksimum memerlukan integrasi sepadu dari segi kualiti anak ayam yang dibeli, kualiti dan pengurusan makanan/minuman, pengurusan kesihatan dan persekitaran pemeliharaan.

Sebarang bentuk tekanan hendaklah dielakkan kerana ia akan menjejaskan produktiviti ayam dan mengurangkan ketahanan melawan penyakit.

Anak ayam yang bermutu akan membesar dengan baik. Makanan dan air minuman yang diberi hendaklah baik mutunya dan mencukupi. Setiap ekor ayam perlu diberikan ruang lantai, ruang makanan dan minuman yang mencukupi mengikut peringkat pembesaran.

Ketinggian bekas makanan dan minuman juga diselaraskan dengan peringkat pertumbuhan. Kesemua ini bukan sahaja dapat mengelakkan stres dan pembaziran, juga memastikan keseragaman pembesaran.

Teknologi yang diperkenal sepatutnya meningkatkan penjagaan kebajikan haiwan ternakan. Misalnya perumahan tertutup dengan ventilasi terkawal akan menyediakan persekitaran yang lebih sejuk dan selesa kepada ayam-ayam yang dipelihara.

PELAKSANAAN PROSEDUR

Jika dilihat kepada peruntukan yang dinyatakan itu, konsep ternakan ladang yang baik akan menghasilkan pulangan yang maksimum. Namun begitu, adakah implementasinya oleh para penternak mengikut kriteria yang dinyatakan Jabatan Haiwan?

Bagi sesiapa yang pernah mengunjungi ladang ternakan ayam sama ada yang tertutup atau pun tidak, berapa ramaikah penternak yang mengikuti kriteria itu?

Ayam juga memerlukan ruang lantai yang lebih besar tetapi masih ramai yang membiarkan ayam ternakan berhimpit-himpit di dalam kandang yang sempit, hendak makan terpaksa pijak-memijak sesama sendiri malah hendak air pun terpaksa berebut-rebut.

Ia turut menyumbang kepada penyakit. Misalnya jangkitan kuman pada tapak kaki ayam yang nampak remeh pada kita, tetapi hakikatnya sangat menyakitkan buat ayam itu.

KESEDARAN DAN KUASA PENGGUNA

Prof Zulkifli berkata isu kebajikan ayam ini tidak begitu ditekankan di negara-negara dunia ketiga dan negara miskin seperti di Asia Tenggara dan Afrika.

Di negara Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom misalnya, isu ini merupakan perkara yang besar.

Ia menjadi perkara kecil bagi negara-negara yang sedang membangun kerana keutamaan mereka ialah untuk menyediakan sumber makanan yang mencukupi bagi rakyat mereka, jadi tiada ruang untuk memikirkan kebajikan haiwan ternakan, katanya.

"Di Malaysia, kesedaran itu perlu ada kerana kita sudah mencapai taraf negara membangun. Kita boleh lihat ada banyak NGO (pertubuhan bukan kerajaan) memperjuang isu haiwan peliharaan dan juga haiwan di dalam zoo, tetapi belum ada lagi NGO yang memperjuang kebajikan haiwan ternakan.

"Kita perlu tahu bahawa tanggungjawab tersebut bukan hanya terletak di bahu penternak. Pengguna juga perlu main peranan. Jika mahu penternak ambil inisiatif, pengguna juga perlu sanggup bersama-sama menanggung kos yang dihadapi oleh penternak," katanya.

Isu ini, kata Prof Zulkifli, bukanlah isu yang mengancam industri, atau isu yang boleh menimbulkan kemarahan orang industri.

"Orang industri mungkin marah kerana seolah-olah menyusahkan dia. Kalau ini tidak boleh, itu tidak boleh dan kena luaskan kandang pula, tentu mereka tidak suka.

"Tetapi dari segi kos, memang tidak adil. Jika sangkar ayam diluaskan, harga telur akan naik. Tetapi pengguna juga tidak boleh biarkan penternak tanggung keseluruhan kos. Pengguna juga perlu bersedia untuk bayar lebih," katanya.

Contoh di negara-negara EU yang meletakkan label pada telur dan daging ayam yang diternak dengan cara yang berbeza. Bagi yang miskin, kebajikan ayam jadi perkara kedua. Tetapi bagi yang mampu, mereka akan membelinya.

"Ia samalah dengan konsep telur Omega 3 di sini, yang mampu akan membelinya. Pilihan sebenarnya di tangan pengguna. Kita mahu mereka yang berkemampuan seperti doktor, peguam dan profesional lain ada pengetahuan dan kesedaran tentang isu ini. Barulah kebajikan haiwan ternakan ini dapat ditingkatkan.

"Mungkin ramai yang ambil mudah. Ayam...apalah sangat. Tapi kita perlu ingat, ayam juga ada perasaan, rasa sakit dan derita. Saya yakin menerusi pendidikan yang berterusan, kesedaran ramai terhadap isu ini akan meningkat," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan