Penguatkuasaan Akta Sisa Pepejal Perlu Disegerakan?

Diterbitkan: Selasa, 29 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jurutera awam, Mohd Fatimi berkata sebuah insinerator bernilai RM1.5 bilion hanya boleh membakar sehingga 1,200 tan sampah sehari, tapi kawasan pelupusan sampah sanitari bernilai RM120 juta seperti di kawasan itu mampu melupuskan lebih 3,000 tan sampah sehari.
Jurutera awam, Mohd Fatimi berkata sebuah insinerator bernilai RM1.5 bilion hanya boleh membakar sehingga 1,200 tan sampah sehari, tapi kawasan pelupusan sampah sanitari bernilai RM120 juta seperti di kawasan itu mampu melupuskan lebih 3,000 tan sampah sehari.

FAKTOR cuaca dan komposisi sisa yang mempunyai kandungan air yang tinggi dilihat sebagai faktor tapak pelupusan sampah menjadi satu-satunya kaedah pelupusan efektif di negara ini.

Kaedah lain seperti loji pembakaran sisa (insinerator) di Langkawi dikatakan tidak efektif kerana tidak dapat menampung jumlah penjanaan sampah domestik yang tinggi iaitu lebih 19,000 tan sampah sehari selain penggunaan tenaga yang banyak.

Kos pembinaan insinerator juga dikatakan berkali ganda lebih mahal daripada kos pembinaan tapak pelupusan selain hanya mampu membakar sisa dalam kuantiti kecil jika dibandingkan dengan tapak pelupusan.

"Sebuah insinerator bernilai RM1.5 bilion hanya boleh membakar sehingga 1,200 tan sampah sehari, tapi kawasan pelupusan sanitari bernilai RM120 juta seperti di Bukit Tagar mampu melupuskan lebih 3,000 tan sampah sehari," kata jurutera awam Mohd Fatimi Said.

Menurut sumber, kerajaan akan menaiktaraf 30 daripada 175 tapak pelupusan sampah sedia ada kepada tapak pelupusan sanitari pada akhir 2010.

Ini tidak termasuk sembilan tapak pelupusan sanitari baru yang akan dibina antaranya di Sungai Udang, Melaka, Lahat di Ipoh, Perak, Bukit Jembalang, Kemaman (Terengganu) dan Ladang Tanah Merah (Negeri Sembilan).

Dengan kewujudan tujuh tapak pelupusan sanitari yang sedia ada, bermakna akan terdapat 46 tapak pelupusan sanitari pada akhir Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9), kata sumber itu.

STRATEGI PENGURUSAN

Bagi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), beberapa langkah telah diambil bagi mengatasi masalah kekurangan tapak pelupusan sampah dan kewujudan tapak pelupusan sampah haram di negara ini. Antaranya, pelaksanaan strategi pengurusan sisa pepejal berdasarkan waste hierachy bagi mengurangkan jumlah sisa dihantar ke kawasan pelupusan sepertimana diamalkan di kebanyakan negara maju. Antara langkah yang diambil di bawah strategi ini ialah pengurangan sisa di sumber di semua jenis premis, menggalakkan penggunaan semula barangan dan meningkatkan kuantiti bahan yang boleh dikitar semula.

Difahamkan pendekatan itu diambil kerana ia tidak melibatkan peruntukan Akta 672 iaitu Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Kerajaan sebelum ini turut menggalakkan pihak swasta melabur dalam bidang teknologi hijau dalam usaha meningkatkan keberkesanan guna tenaga yang lebih mesra alam dalam menangani perubahan iklim global.

Malah pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim di Copenhagen, Denmark (COP 15) berakhir 18 Disember lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan komitmen Malaysia untuk memotong sehingga 40 peratus emisi pelepasan Karbon Dioksida (CO2) menjelang 2020 berbanding pengeluaran CO2 Malaysia pada 2005 dengan bantuan negara-negara maju.

KITAR SEMULA

Media sebelum ini melaporkan kerajaan telah menjalankan program perintis pengasingan sisa di peringkat sumber di Putrajaya yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kitar semula sekaligus mengurangkan jumlah sisa yang terpaksa dilupuskan.

Projek kerjasama antara Perbadanan dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Perbadanan Putrajaya, Alam Flora dan Konsortium SSI-Schaefer itu bertujuan mengurangkan sehingga 40 peratus jumlah sampah dibawa ke tapak pelupusan.

"Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam memberi fokus pada kitar semula dan mempunyai peruntukan khas bagi pengasingan sisa di peringkat sumber," Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha dipetik berkata dalam laporan media.

Projek perintis yang bermula 29 Ogos lepas itu melibatkan 170 apartmen di Presint 8,276 rumah di presint 9 dan 105 rumah di presint 10, di mana setiap rumah akan dibekalkan dengan dua jenis tong sampah untuk mengasingkan sisa organik dan bukan organik, yang boleh dikitar semula.

Dengan cara ini, responden akan mengitar semula dan mengurangkan jumlah sampah yang akan dilupuskan di tapak pelupusan dan pada masa sama sisa-sisa buangan organik itu boleh dikomposkan dan diguna semula untuk tujuan lain.

Dengan kata lain, program pengasingan sampah di peringkat sumber ini akan membantu memanjangkan hayat tapak pelupusan dengan mengurangkan sampah dijana.

PERBADANAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL

Diminta mengulas mengenai pengurusan tapak pelupusan sampah, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Datuk Zaini Md Nor berkata perbadanan melihat isu itu dalam konteks menyeluruh dan tidak terhad kepada mengurus kutipan sisa dan membina tapak pelupusan sahaja.

Beliau berkata perbadanan, yang ditubuhkan di bawah Akta 673 iaitu Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 beroperasi pada 1 Jun 2008, bertanggungjawab untuk memantau, mengawalselia dan menguatkuasakan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negara ini.

Antara peranan perbadanan itu di bawah perenggan 17 Akta 673 ialah; menguatkuasakan Akta 672 dan mencadangkan penambahbaikan mana-mana yang perlu.

Peruntukan itu juga menyebut Perbadanan berfungsi untuk memupuk kesedaran awam serta menggalakkan penglibatan orang ramai bagi menyumbang kepada pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang mampan seperti mengurangkan sisa dan melaporkan pembuangan sampah haram.

Perbadanan juga bertanggungjawab membuat penyelidikan untuk teknologi baru berkaitan antaranya, teknologi kitar semula, teknologi "waste to energy" dan teknologi memudahkan rawatan sisa.

Bagaimanapun dalam menambah baik pengurusan sisa pepejal negara, Zaini berkata untuk jangka pendek, perbadanan akan menguruskan pelaksanaan projek menutup tapak pelupusan tidak beroperasi, naik taraf dan membina tapak pelupusan baru sepertimana dirancang Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dalam RMK9.

"Perbadanan adalah pelaksana kepada polisi ditetapkan jabatan," katanya.

Selain dari itu, perbadanan juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat konsesi untuk menambahbaik jadual kutipan sampah iaitu isu yang sering mendapat perhatian daripada masyarakat serta memberi maklumbalas kutipan sisa oleh pihak kontraktor kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Masalah kutipan sampah perlu ditangani segera sebelum kerajaan mengubah mentaliti masyarakat untuk mengitar semula, menurut pandangan yang diterima dari orang ramai.

MALAYSIA YANG BERSIH

Dengan tenaga 900 petugas beroperasi di 52 pejabat di cawangan daerah dan negeri, Perbadanan optimis untuk melaksanakan tanggungjawabnya bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih dan sejahtera, sepertimana visi perbadanan itu.

"Untuk menjayakannya visi ini kita perlukan sokongan masyarakat," kata Zaini sambil menambah perbadanan sedang menjalankan kajian mengenai kesedaran masyarakat mengenai kitar semula melibatkan lebih 45,000 responden di seluruh negara sejak Ogos lepas.

"Kajian ini dijangka siap akhir bulan ini. Melaluinya kita akan tahu tahap kesedaran orang ramai, permasalahan dan cadangan mereka dalam isu ini," kata Zaini. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan