suria

Sorotan 2009 : Antara Kejayaan, Tragedi Dan Kontroversi

KUALA LUMPUR: Tahun 2009 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi dengan meninggalkan pelbagai catatan peristiwa dalam arena politik, sama ada bersejarah, catatan kejayaan, tragedi dan tidak kurang juga sensasi dan kontroversi.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia yang keenam pada 3 April dalam peralihan kuasa yang licin merupakan titik kemuncak bagi negara yang memasuki usia 52 tahun.

Najib juga menjadi individu kedua di dalam keluarganya bergelar Perdana Menteri selepas ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein Al-Haj yang merupakan perdana menteri kedua Malaysia dan menerajui negara antara 1970 hingga 1976.

Selepas mengambil alih tampuk kepimpinan, Najib mengumumkan Kabinet baru pada 9 April dengan 28 menteri dan 25 kementerian berbanding 32 menteri dan 27 kementerian sebelum itu.

Beliau juga memperkenalkan gagasan "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara pelbagai kaum dan mengajak rakyat bersamasama melaksanakan transformasi besar untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman, stabil dan maju.

Berikut antara peristiwa yang mewarnai perjalanan Malaysia sepanjang 2009: *Tarikh 16 September ditetapkan sebagai Hari Malaysia dan cuti umum mulai tahun depan bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia yang menyaksikan Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 1963.

* Pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diumumkan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam lebih berkualiti. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dibantu bekas pengarah urusan Malaysia Airlines Datuk Seri Idris Jala yang dilantik sebagai Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri untuk turut menerajui pelaksanaan KPI.

*Kerajaan mengumumkan pakej rangsangan kedua bernilai RM60 bilion pada bulan Mac sebagai tambahan kepada pakej pertama bernilai RM7 bilion yang diperkenalkan pada November 2008 bagi mengimbangi kesan kelembapan ekonomi dunia.

*Bajet 2010 bertemakan '1Malaysia. Kemakmuran Bersama' untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, dan mengutamakan kesejahteraan rakyat dibentangkan pada 23 Oktober.

*Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2010 yang dibahaskan di Dewan Rakyat selama kira-kira sebulan itu hanya diluluskan dengan majoriti tiga undi sahaja pada 14 Disember dan mengundang reaksi Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin yang menegur ketidakhadiran anggota Parlimen kerana implikasinya cukup besar kepada kerajaan.

*Barisan Nasional (BN)kembali memerintah Perak dalam bulan Februari dengan pelantikan Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar selepas tiga wakil Pakatan Rakyat mengisytiharkan mereka keluar parti dan menjadi anggota Bebas menyokong BN. Kemelut politik itu turut diheret ke mahkamah.

*Umno, parti komponen terbesar BN, mengadakan dua kali persidangan, untuk transaksi kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib dalam bulan Mac dan perhimpunan agung dalam bulan Oktober meluluskan tujuh pindaan perlembagaan Umno termasuk pemansuhan sistem kuota bagi pencalonan dan cadangan menambah jumlah anggota perwakilan yang layak mengundi bagi jawatan tertinggi parti yang membolehkan lebih 400,000 anggota layak memilih pemimpin mereka berbanding hanya 2,500 sebelum ini.

*Kemelut dalaman parti MCA yang menyaksikan presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berbaik kembali dengan timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tetapi masih menghadapi tentangan daripada kumpulan menyokong naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mendesak pemilihan semula parti diadakan.

*Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMBI).

*Dasar 10 mata pelajaran untuk SPM diumumkan oleh Kementerian Pelajaran, namun calon diberi kelonggaran bagi dua mata pelajaran tambahan. Bagaimanapun keputusan peperiksaan hanya akan mengambil kira 10 mata pelajaran teras.

*Teoh Beng Hock, pegawai khas kepada Exco kerajaan negeri Selangor, yang dijumpai mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor, pada 16 Julai susulan beliau disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri di bangunan yang sama. Makamah Koroner kini menyiasat punca kematian beliau dan kerajaan mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyemak kaedah SPRM menyoal saksi dan suspek.

*Empat termasuk bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang Datin Paduka O C Phang didakwa di mahkamah berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

*Tan Sri Kasitah Gaddam, bekas menteri kemajuan tanah dan pembangunan koperasi, dibebaskan daripada dakwaan rasuah dan penipuan selepas kes mahkamah yang berlanjutan lima tahun berhubung Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah

*Tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar, mengorbankan tiga murid perempuan dalam Sungai Kampar pada bulan Oktober dan keluarga mangsa menyaman kerajaan dan beberapa pihak lain untuk RM105 juta.

*Negara sekali lagi dikejutkan dengan tragedi bot karam di Kudat, Sabah, yang meragut 16 nyawa, kebanyakannya dalam perjalanan pulang untuk merayakan Hari Raya Aidiladha serta beberapa penumpang lain dalam bulan November.

*Pada 26 Disember, 10 maut dalam nahas bas ekspres dua tingkat yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUs) arah utara dekat Plaza Tol Ipoh Selatan.

* Malaysia mengambil langkah terperinci berikutan penularan pandemik influenza A (H1N1) melanda seluruh dunia. Angka kematian tempatan ialah 77 orang.

*Malaysia menyambut kepulangan kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman bersama 35 anak kapal perintis pada 3 September yang berlayar dari Perancis ke pangkalannya di Teluk Sepanggar di Sabah.

*Dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia terbunuh apabila sebuah pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas ketika cuba mendarat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 11 September.

*Persoalan mengenai keselamatan aset negara timbul berikutan laporan kehilangan dua enjin jet pejuang F5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam bulan Disember.

*Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David terus terpahat sebagai pemain nombor satu dunia selepas menjuarai Kejohanan Skuasy Wanita Dunia buat kali keempat dan mengekalkan ranking tertinggi dunia sejak Ogos 2006. Gelanggang utama Pusat Skuasy Nasional di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil diberi nama Arena Nicol David pada 20 Oktober sebagai penghargaan atas kecemerlangan beliau.

*Malaysia mengumumkan kemunculan pasukan Formula One negara, Lotus Racing Team dengan Jarno Trulli yang berasal dari Itali dan Heikki Kovalainen dari Finland sebagai dua pemandu utama mereka pada musim akan datang.

*Kontinjen Malaysia pulang dari Temasya Sukan SEA di Laos dengan kecemerlangan luar jangka dengan 40 emas, 40 perak dan 59 gangsa. Pasukan bola sepak lelaki meraihkan pingat emas mengakhiri penantian 20 tahun manakala jaguh renang Daniel Bego yang menang pingat emas dipilih atlet terbaik lelaki temasya sukan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain