suria

Kedatangan 2010 Dinanti Rakyat

KUALA LUMPUR: Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober lepas membuktikan kerajaan komited kepada kebajikan rakyat dengan menyediakan peruntukan besar bagi bidang pendidikan, pertanian, infrastruktur dan kesihatan.

Justeru, rakyat pasti ternanti-nanti akan kedatangan tahun baru 2010 untuk menikmati habuan yang telah dijanjikan oleh kerajaan kepada mereka.

Antara yang menarik perhatian ialah pelepasan diri kepada pembayar cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 mulai tahun taksiran 2010 bagi membolehkan pembayar cukai menikmati peningkatan pendapatan boleh guna sebanyak RM1,000 manakala kadar cukai pendapatan maksimum pula dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus mulai tahun depan.

Skim subsidi minyak pula akan disusun semula bagi memastikan hanya kumpulan sasar menikmati subsidi tersebut. Kerajaan akan melaksanakan satu sistem pengurusan subsidi minyak pada awal 2010 yang akan mengguna pakai MyKad dan infrastruktur sedia ada.

Dalam memantapkan bidang teknologi maklumat (ICT), kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan jumlah kos RM11.3 bilion, dengan RM2.4 bilion daripadanya adalah menerusi peruntukan kerajaan dan RM8.9 bilion daripada Telekom Malaysia.

Kerajaan juga akan melonggarkan syarat kepada penjawat awam membuat pinjaman untuk membeli komputer daripada setiap lima tahun kepada tiga tahun sekali, dengan maksimum RM5,000.

Berita baik bagi pelajar ialah diskaun tambang 50 peratus diberikan kepada mereka bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) jarak jauh manakala bagi pelajar yang cemerlang dalam pendidikan pula, kerajaan menawarkan pakej 'netbook' termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma kepada pelajar universiti dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun.

Sebagai permulaan, pakej itu akan ditawar oleh Telekom Malaysia kepada 100,000 pelajar di semua universiti tempatan bermula 1 Jan 2010.

Selain itu, kerajaan akan menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik berasaskan merit sepenuhnya dan penyandang biasiswa itu akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di luar negara.

Kerajaan akan menukar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf, bermula tahun depan.

Dengan matlamat untuk membangunkan modal insan yang berkualiti, kerajaan memperuntukkan lebih RM30 bilion kepada pendidikan rendah dan menengah, yang akan memberi manfaat kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara.

Selaras dengan objektif untuk menggalakkan pemilikan rumah dan bagi rakyat menikmati taraf hidup lebih selesa, satu skim yang membolehkan pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan sedia ada dan mengambil kira simpanan masa depan dalam Akaun 2, akan dilancarkan Januari tahun depan.

Pelbagai program akan dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemiskinan di seluruh negara kepada 2.8 peratus pada 2010 berbanding 3.6 peratus pada 2007.

Antaranya, hampir 50,000 isi rumah miskin tegar yang berdaftar di bawah program eKasih dan 4,000 isi rumah Orang Asli yang telah dikenal pasti akan dibantu bagi mencapat matlamat tersebut dengan pengagihan bantuan kebajikan persekutuan pada hari pertama setiap bulan.

Perkhidmatan kesihatan klinik komuniti yang akan dinamakan Klinik 1Malaysia pula akan diperkenalkan di kawasan bandar seperti mana klinik desa di luar bandar yang akan ditempatkan di kawasan perumahan dengan menyewa rumah kedai untuk memudahkan masyarakat setempat mendapat rawatan sakit biasa seperti demam, batuk dan selesema.

Klinik itu akan dikendalikan oleh pembantu pegawai perubatan dan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam. Sebagai permulaan, 50 klinik akan dibuka di kawasan terpilih dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Kadar elaun kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di sekolah pendidikan khas kelolaan badan bukan kerajaan (NGO) akan dinaikkan daripada RM50 kepada RM150 sebulan bagi setiap seorang mulai 1 Januari 2010.

Peruntukan RM3.3 juta yang disediakan itu diharap akan memberi manfaat kepada hampir 4,000 kanak-kanak OKU di seluruh negara.

Kerajaan juga akan menyediakan subsidi, insentif dan bantuan berjumlah hampir RM2 bilion untuk membela nasib golongan petani dan nelayan.

Antara subsidi dan insentif yang akan disediakan ialah subsidi harga padi berjumlah RM400 juta dan subsidi baja padi sebanyak RM300 juta.

Insentif untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi dan subsidi beras pula membabitkan hampir RM220 juta manakala RM170 juta adalah untuk menyediakan elaun sara hidup nelayan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain