suria

Mencegah Jenayah Untuk Pastikan Bandar Selamat

SENI sesebuah bandar itu bukan hanya terletak pada susun atur bangunan dan jalan rayanya, tetapi banyak bergantung kepada landskap yang menarik.

Memandu di tengah-tengah jalan bandar yang disulami pokok-pokok hijau, sebenarnya boleh menjadi satu bentuk terapi kepada kepenatan mata pemandu.

Bagaimanapun landskap dan jenis pokok yang ditanam di sepanjang laluan pejalan kaki misalnya perlu dikawal dan diselenggara bukan semata-mata untuk indah mata memandang, tetapi keselamatan pengguna dan orang ramai.

Pernah tak terlintas di fikiran, pokok yang cantik dan rumput hijau ketika awal ditanam akan menjadi ancaman jika tidak dijaga dan diselenggara dengan baik?

Pegawai Perancang Bandar Mohd Rusli Dalim berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) biasanya tidak mengenepikan faktor kawasan hijau itu boleh menjadi tempat persembunyian penjenayah ragut dan samun jika dibiar tumbuh meliar.

Keadaan semak samun tidak memberi ketenteraman dan rasa selamat kepada pejalan kaki dan kawasan itu akan dipastikan dibersih dan ditanam dengan landskap yang sesuai oleh PBT.

Pengawalan tanaman landskap di laluan pejalan kaki ini ialah antara strategi mereka bentuk persekitaran fizikal yang baik di bawah Program Bandar Selamat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung, katanya.

CEGAH KES RAGUT

Urusetia Program Bandar Selamat itu pada tahun lepas menggariskan beberapa langkah pencegahan jenayah yang patut diambil dan menerbitkan buku kecil yang mengandungi ilustrasi 23 langkah pencegahan jenayah sebagai panduan.

Landskap yang cantik, menurut urusetia itu, sebenarnya merupakan satu daripada ciri keselamatan yang baik apabila penanamannya di sepanjang laluan pejalan kaki boleh memisahkan pengguna dengan jalan bermotor dan memungkinkan kes ragut dari motosikal misalnya, berkurangan.

Antara risiko berlakunya kejadian ragut dan jenayah ialah keadaan semak samun yang tidak diselia dengan baik terutama di tempat-tempat laluan orang ramai.

Oleh itu sebagai langkah pencegahan, PBT akan menentukan reka bentuk landskap dan jenis pokok yang akan ditanam di sepanjang laluan pejalan kaki dikawal serta diselenggarakan agar ia tidak menjadi tempat persembunyian penjenayah curi ragut dan samun.

Menurut Mohd Rusli, untuk memudahkan laluan awam diawasi, PBT perlu mengambil langkah meningkatkan pembersihan kawasan yang kotor dan semak, khususnya di tempat awam seperti di sekitar laluan stesen bas, stesen kereta api dan lorong tepi serta belakang sesebuah premis perniagaan utama.

Kegiatan curi ragut juga mudah dilakukan jika tiada rel penghadang antara laluan bermotor dengan laluan pejalan kaki.

Oleh itu PBT yang peka, akan memasang penghadang dan pembinaan laluan pejalan kaki yang sempurna, dengan keadaan longkang dan kawasan sekitarnya sentiasa dibersihkan

LANGKAH KESELAMATAN

Penyediaan bollard di tempat-tempat tertentu bagi mengasingkan laluan pejalan kaki dengan laluan motosikal ialah antara langkah keselamatan yang disyorkan PBT meliputi tempat tumpuan pelancong yang boleh dipasang rantai bagi mengelakkan kenderaan seperti motosikal memasuki kawasan itu.

PBT dalam hal ini bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, berkongsi maklumat pangkalan data GIS (Geographic Information System atau Sistem Maklumat Geografi), dan kejadian jenayah yang boleh membantu meningkatkan keberkesanan operasi pembanterasan jenayah manakala PBT pula boleh membuat audit kemajuan pembanterasan jenayah dan pembaikan kawasan jenayah.

GIS-Based Mapping ini juga mampu membantu pelaksanaan MURNInet (singkatan kepada Malaysian Urban Indicators Network atau Jaringan Petunjuk-Petunjuk Bandar Malaysia) dalam menentukan kemampanan sesebuah bandar melalui data jenayah yang diperoleh.

Di bawah program bandar selamat, PBT membantu PDRM mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk membina pondok polis di kawasan bandar sedia ada atau kawasan baru.

Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama menentukan tempat letak papan tanda peringatan jenayah yang mengandungi nombor telefon untuk orang ramai mendapatkan pertolongan semasa kecemasan.

Jika anda pernah terlihat cermin besar dipasang di hujung lorong atau celah bangunan, fungsi sebenarnya ialah sebagai cermin keselamatan di lokasi yang sering berlaku kejadian curi ragut dan jenayah curi di lorong-lorong yang terlindung.

Cermin itu dapat memberi pendedahan keadaan di celah atau di sebalik lorong yang lazimnya menjadi tempat bermulanya sesuatu aktiviti jenayah curi ragut dan lain-lain.

PBT juga biasanya memasang penggera keselamatan di kawasan tumpuan awam yang boleh digunakan oleh mangsa atau orang awam apabila berlakunya sesuatu kejadian ragut dan jenayah.

Penggera keselamatan itu diaktifkan dengan menekan alat butang yang dipasang di tempat-tempat yang mudah digunakan orang awam dalam keadaan kecemasan

PENGAWASAN GUNA LAMPU

Bagi mengelak motosikal banyak hilang, PBT memasang tempat letak motosikal berkunci di tempat-tempat awam di bandar dan mensyaratkan pemaju perumahan menyediakan kemudahan ini dalam projek masing-masing dan lampu dipasang pada waktu malam bagi maksud pengawasan.

Di bandar-bandar besar juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memantau arahan pelaksanaan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dengan harapan dapat mengurangkan kadar jenayah.

Untuk menerangkan bandar agar sentiasa mudah diawasi dan tidak menjadi tempat kejadian ragut dan jenayah, semua premis perniagaan di bawah PBT, diwajibkan memasang lampu di laluan kaki lima masing-masing pada waktu malam .

Bandar yang bermandi dan dilimpahi cahaya lampu, sebenarnya turut berfungsi mencerahkan suasana, terutama di lokasi yang cenderung berlaku kerosakan akibat vandalisme.

Keadaan persekitaran pasar malam yang suram dan gelap turut boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung atau berlakunya kejadian jenayah curi ragut, pecah kereta atau kecurian kenderaan. Dalam hal ini PBT mensyaratkan pemasangan lampu yang terang di kawasan persekitaran pasar malam.

Di rumah-rumah persendirian, PBT menggalakkan penghuninya memasang lampu di depan, tepi dan belakang rumah, terutama di kawasan kerap berlaku jenayah pecah rumah, bagi memudahkan pengawasan dan menghindar kegiatan itu.

Menurut Mohd Rusli, pengalaman program bandar selamat ini di beberapa tempat menunjukkan pencahayaan dapat mengurangkan kejadian jenayah pecah rumah, contohya di Bangsar, Kuala lumpur.

TIADA HALANGAN

Di bawah bandar selamat juga PBT akan memastikan reka bentuk jejantas di bandar-bandar kini tidak menghalang pandangan awam dan kerana itu jenis intricate ornate design atau bumbung condong hingga menghalang pandangan, tidak dibenarkan sama sekali dibina.

Peletakan iklan di jejantas ini juga perlu diletakkan di paras yang sesuai yang tidak menghalang penglihatan.

Bandar selamat PBT juga mengambil kira meja dan kerusi yang menjadi trend diletakkan di laluan pejalan kaki dan kali lima tidak diletakkan di atas laluan itu, manakala motosikal atau kereta akan disita jika diletak di atas laluan pejalan kaki atau kaki lima premis perniagaan.

Dalam hubungan ini PBT menggalakkan aktiviti perniagaan kecil-kecilan diadakan di beberapa laluan dan lokasi yang sebelum ini sunyi dan gelap agar lokasi itu dapat diberi pengawasan dan memberi keselamatan kepada kaum wanita yang berulang alik di situ dengan syarat aktiviti perniagaan itu tidak menghalang lalu lintas.

Satu lagi tindakan di bawah program bandar selamat ini ialah PBT mendapatkan perkhidmatan pengawal keselamatan swasta untuk mengawasi lokasi yang kerap berlaku jenayah dan vandalisme seperti di taman awam.

Pihak pemaju dalam hal ini disyaratkan menyediakan kawalan keselamatan di kawasan perumahan baru terutama perumahan jenis bertingkat.

Kebelakangan ini banyak kawasan perumahan selain menyertai program Rukun Tetangga, mengambil tindakan berpakat melakukan rondaan bergilir di kawasan masing-masing, dan PBT dalam hal ini memberikan kerjasama menjayakannya terutama di kawasan yang mengalami kadar kes jenayah yang tinggi.

DIDIK ORANG RAMAI

Secara keseluruhannya perancangan bandar selamat PBT ini tidak akan berkesan sepenuhnya jika orang ramai sendiri tidak dididik dengan langkah pencegahan jenayah yang betul.

Maka PBT bekerjsama dengan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan untuk mempergiat program pendidikan termasuk melibatkan kaum wanita dengan mengajar mereka cara betul menyandang beg supaya tidak terdedah pada kedudukan beg mudah diragut.

PBT juga menggalakkan penyertaan komuniti dengan melibatkan mereka dalam menyediakan risalah tentang status jenayah, aktiviti penyertaan awam dan keperluan keselamatan di kawasan masing-masing.

Dengan cara ini orang ramai dapat mengetahui dan terlibat dalam pelbagai program mencegah jenayah yang diadakan dan memastikan bandar yang didiami mereka benar-benar menjadi sebuah bandar selamat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Judi Di Kafe Internet

Artikel Lain