suria

Sebuah Bandar Impian Semua

Gambaran flat yang kotor
Gambaran flat yang kotor
Gambaran flat yang kotor

Malaysia setiap tahun menyertai negara-negara di seluruh dunia menyambut Hari Perancangan Bandar pada November. Fokus yang diberi ialah terhadap kemampanan dan keselamatan. Bernama cuba mengupas ciri-ciri itu melalui tiga siri rencana. Ini ialah bahagian pertama daripada tiga siri rencana.

FLAT hodoh dan kemudahan awam banyak rosak ialah antara yang didedahkan di dalam laporan bergambar sebuah akhbar baru-baru ini mengenai keadaan di ibu negara ini.

Sedangkan sebaik kaki melangkah ke sesebuah bandar, sudah pastinya seseorang itu mahu melihat bandarnya cantik, bersih, infrastrukturnya lengkap dan strukturnya teratur.

Di sebalik laporan dengan gambar-gambar yang disiarkan itu, beberapa flat tinggi awam berwarna lembut dan masih kelihatan baru, membantu menghiasi sebahagian daripada pinggiran ibu kota.

Dalam konteks ini pembangunan yang seimbang dan mampan akan secara semula jadi menjadi harapan penduduk dan pengunjung sesebuah bandar itu bagi mengubati mata daripada keadaan yang menyakitkan pandangan ini.

Dalam kalangan profesional, pembangunan mampan membawa maksud pembangunan yang memenuhi keperluan masyarakat dengan keseimbangan aspek fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosio-budaya.

Pada pemahaman rakyat pula pembangunan mampan disamakan dengan persekitaran kehidupan yang sejahtera di mana pelbagai keperluan bagi kehidupan seharian mereka disediakan pada tahap terbaik.

Harapan mereka ialah bandar yang didiami mereka memberi peluang pekerjaan yang pelbagai, perkhidmatan perbandaran dan keselamatan yang cekap serta penyediaan kemudahan yang mencukupi seperti kawasan rekreasi, perkhidmatan kesihatan ataupun tempat beribadat yang bersesuaian.

Prinsip-prinsip utama pembangunan mampan ini telah dibincangkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Kong Cho Ha dan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Fadzil Mohd Khir dalam rancangan Helo Malaysia, Bernama TV sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2009, pada 9 November lepas.

UKURAN MAMPAN

Bagaimana kemampanan sesebuah bandar itu dipantau dan diukur?

Malaysia sebenarnya mempunyai MURNInet, singkatan kepada Malaysian Urban Indicators Network atau Jaringan Petunjuk-Petunjuk Bandar Malaysia diwujudkan sejak tujuh tahun lepas bagi mengukur tahap kemampanan ini melalui 56 indikator.

Indikator itu meliputi 11 sektor utama yang dikenal pasti sebagai penyumbang utama ke arah kesejahteraan masyarakat, iaitu sektor demografi, perumahan, ekonomi bandar, utiliti dan infrastruktur, kemudahan awam, alam sekitar, sosiologi dan impak sosial, penggunaan tanah, pelancongan dan warisan, pengangkutan dan kadar kemudahan, pengurusan dan kewangan.

Penambahbaikkan untuk meningkatkan kualiti hidup di bandar kemudian akan dilaksanakan berasaskan indikator ini oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Namun projek perintis MURNInet tidak dilaksanakan di Kuala Lumpur, tetapi enam bandar lain - Kuching, Georgetown, Batu Pahat, Pasir Mas, Kuantan dan Johor Baharu. Pemantauan itu ditambah kepada lapan lagi bandar, pada 2004.

Sehingga Jun tahun ini program itu dilaksanakan di 75 PBT dan pemantauan pelaksanaannya dibuat enam bulan sekali dengan pemakluman bandar paling mampan dibuat setiap tahun.

Tahun lepas bandar yang dikenal pasti paling mampan ialah Bandaraya Shah Alam daripada 46 buah bandar yang diukur, diikuti dengan Melaka serta Jelebu.

Tahun ini, bandar terbaik di bawah pemantauan MURNInet itu menerima anugerah "MURNInet Excellent Award" sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia.

UTAMAKAN RAKYAT

Menurut Mohd Fadzil, konsep "Rakyat Didahulukan" mahu dijadikan pendekatan yang meletakkan keperluan dan aspirasi masyarakat setempat sebagai keutamaan dalam proses membuat perancangan di bandar-bandar kini dan keputusan untuk rancangan pembangunannya, selaras dengan konsep "one for all" (untuk semua) di bawah gagasan 1Malaysia.

Prinsip kebersamaan dan kekitaan ini, katanya, boleh dilihat melalui konsep perancangan bandar masa kini yang lebih kepada bersama penduduk dalam penyediaan rancangan pemajuan dan proses kelulusan permohonan perancangan.

Penglibatan penduduk tempatan diakui penting dalam membantu pihak berkuasa tempatan mengenal pasti masalah dan peluang di dalam kawasan mereka memandangkan masyarakat setempat lebih mengetahui kawasan masing-masing dan akan menerima kesan langsung daripada pelaksanaan itu kelak.

Fokus perancangan bukan sahaja kepada aspek fizikal tetapi diseimbangkan dengan aspek sosial serta ekonomi dan kesemua dasar dan program perbandaran ini digariskan ke arah persekitaran kehidupan yang berkualiti, selesa, mampan, selamat dan sejahtera.

Untuk meningkatkan kesedaran masyarakat sendiri, tanggungjawab dan hak mereka dalam perancangan yang dibuat, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung memilih untuk memberi perhatian kepada peranan belia dan remaja dengan menarik minat mereka melalui blog yang baru diwujudkan - MyJPBD.

Golongan ini dianggap penentu trend dan bersesuaian dengan nama blog ini, ia membawa maksud perancangan bandar yang dipunyai setiap rakyat Malaysia. Dan blog ini boleh diakses oleh sesiapa sahaja yang berminat mendapatkan maklumat dan maklum balas mengenai perancangan bandar dan desa.

HARI HABITAT SEDUNIA

Hari Habitat Sedunia yang disambut pada setiap Isnin pertama Oktober setiap tahun, (5 Oktober tahun ini) kali ini membawa tema "Merancang Masa Depan Bandar" bertujuan mengingatkan masyarakat dunia mengenai perubahan yang berlaku di bandar-bandar utama yang melibatkan gejala sosial, perubahan iklim, ekonomi dan politik yang memberi kesan kepada masyarakat.

Ia tidak lari daripada tujuan sambutan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keadaan petempatan manusia semasa, hak setiap individu untuk memiliki tempat tinggal yang selesa dan mengingatkan masyarakat dunia mengenai tanggungjawab masing-masing terhadap masa depan petempatan manusia.

Antara aktiviti utama sambutan Hari Habitat Sedunia di Malaysia ialah projek Membina Rumah yang menyaksikan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, badan bukan kerajaan (Habitat For Humanity Malaysia) dan Pihak Berkuasa Tempatan melakukan kerja membaik pulih rumah golongan miskin tegar yang mengalami kerosakan di beberapa negeri.

Sebagai permulaan projek itu dilaksanakan di Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Mohd Fadzil berkata, ia juga bersesuaian dengan tema sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia tahun ini, "Pembangunan Mampan - Rakyat Didahulukan" bertujuan memberi penekanan kepada pembangunan yang memperlihat kerajaan memberi keutamaan kepada isu seperti penyediaan kemudahan pengangkutan bertaraf dunia dan kemudahan awam serta utiliti kepada segenap lapisan masyarakat.

Katanya, jika tema ini dirasakan bertepatan dengan langkah kerajaan untuk mendahulukan keperluan dan kepentingan rakyat dalam setiap rancangan pembanguan negara, ia juga seiring dengan saranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mahu masyarakat turut terlibat dalam perancangan yang dilaksanakan dalam usaha memelihara kemampanan bandar di negara ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pahit Manis Subsidi Gula

Artikel Lain