Judi Di Kafe Internet

Diterbitkan: Rabu, 23 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Contoh gambar mesin judi yang digunakan.
Contoh gambar mesin judi yang digunakan.

BAHAGIAN PERTAMA

PAPAN tanda di luar tertulis Kafe Internet, bagaimanapun beberapa premis ini sebenarnya menjalankan perniagaan mesin judi.

Sepuluh premis sedemikian yang merupakan pusat perjudian, tetapi menyamar sebagai kafe siber, sudah beroperasi di kawasan tumpuan ramai ini sejak setahun yang lalu.

Wartawan Bernama yang menyamar sebagai pelanggan dan mengunjungi empat daripada premis perjudian ini sejak lima bulan lepas mendapati pusat ini bebas beroperasi tanpa mengendahkan peraturan undang-undang.

Setiap premis mempunyai identiti dan pelanggan yang berbeza. Kawalan keselamatan yang ketat biasanya dikenakan kepada pelanggan baru.

Sepuluh premis ini terletak di lima blok berlainan dan kawasan syurga judi ini berjiran dengan pelbagai kedai biasa seperti kedai runcit, restoran, dan bengkel kenderaan.

Dari luar rupanya umpama kafet internet, walhal di dalamnya aktiviti perjudian berjalan 24 jam, membawa keuntungan berjuta ringgit sebulan

OPERASI TANPA REHAT

Daripada pemerhatian penulis, kebiasaannya pekerja premis membuat pemeriksaan terhadap semua mesin judi dua kali sehari, setiap 12 jam. Mereka akan meneliti setiap mesin untuk mencatat dan mengemas kini data serta rekod wang masuk dan wang keluar.

Untuk berjudi, caranya begitu mudah. Pelanggan hanya perlu memasuki premis dan duduk di tempat yang mempunyai mesin judi dan membayar minimum RM50 untuk mula bermain. Pelanggan akan diberikan kredit berdasarkan jumlah yang dibayarnya dan ini akan tertera pada skrin komputer.

Terdapat pelbagai jenis permainan yang disediakan untuk pelanggan -- roulette, lumba kuda, kungfu, poker dan pelbagai lagi -- yang jarang memberi peluang pelanggan menang. Kalau menang sesekali, setelah dikira modal yang dilaburkan setiap kali bermain, mereka sebenarnya rugi.

Setiap premis mempunyai tiga hingga empat orang pekerja pada satu-satu masa untuk mengira wang, mengawal pintu masuk, mengajar pelanggan baru berjudi dan membuka permainan atau mesin judi.

Beberapa individu yang dipercayai tonto dilihat berlegar-legar di dalam dan luar premis bagi mengawal keselamatan premis.

MATA-MATA ELEKTRONIK

Selain individu berkenaan, premis ini dipasang dengan mata-mata elektronik atau kamera tersembunyi di dalam dan luar penjuru premis bagi memastikan keselamatan premis termasuk kawasan jiran.

Apa yang difahami wartawan Bernama ialah mata-mata elektronik ini akan membantu menyelamatkan jiran yang lain daripada diserbu jika sebuah daripada premis ini, dihampiri pihak berkuasa.

Kamera ini diawasi pekerja lain yang berada di bilik rahsia untuk memberi amaran akan kehadiran pihak berkuasa atau tetamu tidak diundang.

Untuk memasuki bilik rahsia ini, pekerja restoran yang mahu menghantar makanan akan membuat ketukan isyarat tertentu untuk kebenaran masuk. PELANGGAN TAGIH NASIB DARIPADA TETIKUS

Hampir 90 peratus pelanggan setia premis ini ialah Bumiputera dan selebihnya termasuk warga asing yang membanjiri pusat ini terutama pada hujung bulan, waktu gaji.

Ada di antara mereka menghabiskan wang hingga RM1,000 sehari demi mendapatkan wang segera yang dijanjikan mesin judi itu namun pada akhirnya kerugian yang menimpa mereka.

Seorang lelaki berusia 20-an, berkata beliau mengunjungi premis ini kerana banyak pilihan permainan judi dan kawasannya terjamin selamat.

"Kalau gaji datang sini... kadang-kadang menang, tapi banyak kalah... tengok nasib," katanya yang bekerja di sebuah kilang.

Beliau berkata, faktor suka-suka dan ingin mendapatkan wang dengan mudah walaupun risikonya tinggi dijadikan alasan untuk berjudi dengan mesin yang dikawal tetikus ini.

'Otai' gelaran yang diberikan kepada seorang lelaki lain, berusia 40-an, pula berkata keghairahan beliau bermain mesin judi kini lebih kepada bertaruh dengan pemain lain.

Katanya ini bergantung kepada 'nasib', tidak payah berhempas-pulas macam 'junior' lain yang baru mencuba berjudi.

"Tengok permainan juga sebelum bertaruh... kena pandai dan berhati-hati, biar rugi sedikit tapi untung masuk perlahan-lahan," katanya aktif berjudi sejak 10 tahun lalu.

BEBAS BEROPERASI

Peniaga premis lain ketika ditemui berkata 10 pusat perjudian ini kerap diserbu pihak berkuasa namun selang dua tiga hari kemudian akan beroperasi kembali.

Mereka mendakwa kegiatan ini sukar dibendung dan kadang-kala menakutkan pelanggan kedai mereka jika pihak berkuasa membuat serbuan terhadap "jiran" mereka ini.

Seorang lelaki yang mengetahui aktiviti perjudian ini berkata, pihak berkuasa perlu bertegas dalam mengawal kegiatan ini.

Beliau bimbang premis itu juga didatangi kanak-kanak kerana berhampiran dengan kawasan perumahan. Ada rumah yang hanya kira-kira 50 meter jaraknya.

"Bayangkan kalau anak-anak yang balik sekolah mengunjungi tempat ini dengan tujuan bermain komputer tetapi yang disediakan ialah mesin judi," katanya.

Merancakkan lagi kawasan 10 premis mesin judi ini ialah kehadiran mat rempit dan 'budak jaga kereta' yang mengawal kereta untuk menagih wang segera.

Sesungguhnya kegiatan perjudian ini bagai mendapat kekuatan daripada sokongan jiran dan kumpulan tertentu walaupun acap kali diserbu, tetapi terus hidup seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan