suria

Kerajaan dan PDRM Agresif Capai Penurunan Ancaman Jenayah Jalanan

BERITA jenayah seperti ragut, rompakan bersenjata, peras ugut, pergaduhan, pembunuhan, rogol dan samun jalanan yang kerap tersiar di media cetak dan elektronik negara sepanjang tahun ini amat menggerunkan dan menggusarkan rakyat.

Namun demikian, tumpuan buah mulut orang ramai kini lebih banyak menyentuh langkah dan pendekatan holistik serta agresif yang dijalankan kerajaan dalam usaha membanteras jenayah terutamanya jenayah jalanan daripada terus-menerus menjadi masalah negara.

Ancaman jenayah jalanan dilihat semakin meruncing apabila seorang wanita hamil dua bulan, Jamilah Selamat, 32, maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ketika beg tangan yang disangkut di cermin sisi motosikalnya direntap peragut di Taman Ayer Hitam, dekat Batu Pahat, Johor 5 Mei lalu.

Keesokan harinya di Kampung Padang Raja, Jalan Melor-Ketereh, Kota Bharu pula, kejadian hampir sama berulang apabila seorang lagi ibu mengandung tiga bulan, Saripah Mohd Noor, 33, maut juga disebabkan oleh angkara peragut tidak berperikemanusiaan.

Kedua-dua kejadian tersebut merupakan antara contoh tragedi yang paling mengusik hati nurani masyarakat negara ini hingga menyaksikan kerajaan meletakkan usaha memerangi jenayah jalanan terutama ragut, sebagai antara yang paling utama.

Semuanya bermula pada 27 Julai lepas apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan keutamaan pada usaha pengurangan kadar jenayah sebanyak 20 peratus menjelang penghujung tahun 2010 sebagai satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Perdana Menteri amat serius berhubung usaha membasmi jenayah dan memantau sendiri kadar jenayah di seluruh negara dengan mempunyai bilik operasi memantau jenayah di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Ketika pembentangan Bajet 2010, Najib juga mengumumkan sejumlah RM1bilion akan disediakan untuk meningkatkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan matlamat kerajaan itu tercapai.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk meningkatkan keupayaan PDRM termasuk menambah anggota dan kelengkapan memandangkan peningkatan jenayah jalanan amat menggerunkan rakyat dan pelancong asing di Malaysia.

Pelbagai strategi dan pendekatan telah dan sedang disusun bagi dilaksanakan oleh KDN termasuk mengenal pasti kawasan-kawasan panas di negara ini yang mempunyai kadar jenayah tinggi.

Misi mereka, setiap kawasan panas, iaitu kawasan berisiko tinggi berlakunya jenayah akan ditangani sebaik mungkin sehingga menjadikannya kawasan 'putih' dan fokusnya kemudian akan dialih ke kawasan lain yang menunjukkan peningkatan kadar jenayah.

Setakat ini, sebanyak 50 kawasan panas dikenal pasti meliputi empat negeri yang mempunyai kadar jenayah khususnya jenayah jalanan yang tinggi iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Di Kuala Lumpur, lokasi panas yang dikenal pasti ialah kawasan BukitBintang, Jalan Pudu, Brickfields, Kuchai Park, Taman Midah, Taman Connaught, Taman Alam Damai, Bukit Anggerik, Bandar Sri Permaisuri, Jinjang Utara dan Danau Kota.

Sehubungan itu, Polis Kuala Lumpur melancarkan 'Operasi Utama Perdana' dalam menangani kes jenayah secara agresif terutamanya di 11 kawasan panas yang dikenal pasti dan hasilnya memberi impak positif apabila kes jenayah dilihat semakin berkurangan.

Buktinya kadar kes jenayah jalanan yang sebelum ini menghantui warga kota khususnya di 11 lokasi panas itu menurun sebanyak 13 peratus dalam tempoh 103 hari operasi cegah jenayah yang bermula dari 5 Ogos hingga 15 November lalu.

Sebagai tambahan, Polis Kuala Lumpur juga sedang dalam proses untuk menambah 90 kamera litar tertutup (CCTV) lagi di 11 lokasi panas itu selain memperbanyakkan lagi balai polis bergerak dan bit polis. Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kadar jenayah yang dicatat di 50 kawasan panas di seluruh negara semakin menunjukkan penurunan dan ini membuktikan langkah-langkah yang diambil pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan jenayah di kawasan panas itu berkesan.

Malah, perancangan untuk tahun depan juga telah disusun oleh KDN apabila sebanyak 55 inisiatif bagi membanteras jenayah akan dilaksanakan bermula Januari termasuk menggunakan kaedah kemasyarakatan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

Jenayah boleh diibaratkan seperti bunga api yang sering bermula dengan peristiwa kecil-kecilan tetapi sekiranya tidak diatasi segera maka ia akan menjadi api yang amat sukar dipadamkan dan boleh memusnahkan sesebuah negara. Bukan mudah mewujudkan suasana yang selamat dan pengurangan jenayah jalanan secara sepadu dan holistik. Cabaran buat pihak berkuasa sememangnya berat, segala usaha yang telah dijalankan tidak akan membuahkan hasil jika masyarakat tidak mengubah sikap. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Pahit Manis Subsidi Gula

Artikel Lain