suria

Imej 'Trigger Happy' Cemari Kejayaan Polis Pada 2009

TUDUHAN kononnya Polis Diraja Malaysia mempunyai imej sebagai satu pasukan yang trigger happy iaitu sewenang-wenangnya menembak penjenayah, sedikit sebanyak mencemari kejayaan pasukan itu membanteras beberapa jenayah berat sepanjang tahun 2009.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin menolak dakwaan sedemikian dengan menjelaskan bahawa penggunaan senjata api oleh polis bukan untuk membunuh sebaliknya untuk mempertahankan diri serta melindungi orang awam daripada kejadian tidak diingini.

Isu itu berbangkit selepas berlakunya kejadian berbalas tembakan antara polis dan kumpulan penjenayah PCO Boy di Klang pada 8 November lepas.

Dalam kejadian itu polis menembak mati lima penjenayah termasuk ketua kumpulan itu yang terbabit dalam beberapa kes rompakan dan samun sejak setahun lalu.

Seorang wanita yang merupakan kakak kepada seorang daripada anggota kumpulan itu dilaporkan telah membunuh diri kononnya kerana tidak dapat menerima hakikat kematian adiknya itu.

"Pernahkah orang ramai terfikir bahawa anggota polis yang terlibat dalam operasi mencegah jenayah berdepan risiko dicederakan atau dibunuh oleh penjenayah, yang tentunya akan lebih bermaharajalela jika tiada tindakan tegas polis," kata Mohd Bakri.

Yang menyedihkan, katanya, ialah tidak ramai orang yang mengambil kisah apabila anggota polis terbunuh atau cedera parah di tangan penjenayah ketika bertugas.

Penggunaan senjata api membolehkan polis menumpaskan kumpulan penjenayah seperti kejayaan menembak mati lima rakyat Indonesia yang menganggotai Geng Ipol yang dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian samun di Perak dan Selangor di Hutan Simpan Kampung Bahagia, Sungai Buloh, pada 10 Mei lalu.

Dengan penggunaan senjata api juga, polis berjaya menumpaskan Geng Aboi yang bergiat aktif dalam kegiatan samun bersenjata dan pecah rumah di sekitar Lembah Klang pada 8 Februari lepas, dengan menembak mati empat anggota kumpulan itu.

Polis turut berjaya menumpaskan Geng Jack yang terbabit dalam samun kereta mewah dengan menembak mati dua penjenayah pada 17 Februari lalu di Petaling Jaya serta menembak mati ketua kumpulan Geng Deva di Pulau Pinang pada 13 Nov lepas.

Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Datuk N.Siva Subramaniam berkata walaupun polis tidak digalak menggunakan kaedah 'tembak untuk bunuh', polis juga mempunyai hak untuk mempertahankan diri mereka.

Beliau berkata, semua pihak harus memahami tugas polis yang terpaksa menggunakan kaedah itu apabila berdepan dengan situasi yang genting.

"Melepaskan tembakan adalah tindakan terakhir," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Capaian Belia Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Kamal Affendi Hashim menyifatkan kecaman terhadap polis di negara ini sebagai suatu kelaziman.

Namun apapun tanggapan dan pandangan masyarakat ia tidak mematahkan semangat anggota pasukan itu untuk terus menjaga keamanan negara di samping memelihara keharmonian masyarakat di negara ini.

Selain berdepan penjenayah bersenjata, anggota polis turut memikul tanggungjawab membanteras kegiatan ceti haram yang juga dikenali sebagai Ah Long.

Isu Ah Long turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap golongan itu.

Beberapa inisiatif diambil oleh pasukan polis untuk membanteras jenayah di negara ini termasuklah melancarkan "operasi utama perdana" dalam menangani kes jenayah secara agresif terutamanya di kawasan-kawasan panas yang dikenal pasti serta mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap pasukan PDRM. Kerana kejayaan pasukan di bawah pimpinan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, khidmat beliau disambung selama setahun lagi.

PDRM juga mendapat penghargaan dari luar negara.

Pegawai dan anggota Briged Tengah Pasukan Gerakan Am yang dihantar ke Timor Leste menerima surat penghargaan daripada kerajaan negara itu kerana khidmat cemerlang sepanjang tujuh bulan di sana. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Pahit Manis Subsidi Gula

Artikel Lain