Dari Normal Kepada 'Kurang Upaya' Satu Perjalanan Penuh Sengsara Dan Cabaran

Diterbitkan: Selasa, 1 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANYAK telah ditulis tentang Orang Kurang Upaya (OKU) sama ada dari segi hak, kebajikan dan kemudahan yang disediakan untuk mereka serta tentang masalah yang dihadapi.

Bagi mereka yang kurang upaya, kecacatan itu wujud sejak dari lahir atau terjadi disebabkan kemalangan, pembedahan serta punca dan sebab yang lain.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat enam kategori OKU iaitu penglihatan, pendengaran, fizikal, cerebral palsy, masalah pembelajaran (perkembangan perlahan, Sindrom Down, autism, hiperaktif, cacat mental, dan masalah spesifik pembelajaran seperti disleksia, disgrafia, diskalkulia) dan kategori tidak upaya yang lain.

Berikut ialah kisah bagaimana seorang yang dilahirkan normal menjadi kurang upaya setelah menjalani satu pembedahan di mana kaki kanan beliau di potong kerana komplikasi diabetis dan bagaimana beliau melalui satu proses pemulihan yang dijalankan bagi OKU.

DARI NORMAL KEPADA KURANG UPAYA

Hari sudah petang pada 13 November 2007 bila penulis ini ditolak keluar dari dewan pembedahan di sebuah pusat perubatan di sini.

Masih lagi khayal dengan kesan anestesia (bius), beliau sempat menyapa isteri dan anak-anak yang menunggu di luar dewan bedah sebelum kembali 'lena'.

Pada esoknya, sakit yang amat sangat dari bahagian kaki kanan membangkitkan beliau dari tidur. Beliau memandang ke arah punca sakit itu dan apa yang beliau dapat lihat hanyalah apa yang tinggal dari kaki beliau.

Barulah beliau sedar tentang hakikat yang sebenar, bahawa kaki kanannya telah tiada lagi setelah dipotong dalam satu pembedahan pada hari sebelumnya.

Doktor yang datang menemuinya kemudian memberitahu penulis bahawa beliau kini menjadi orang kurang upaya.

SATU PERJALANAN YANG JAUH DALAM PEMULIHAN

Beberapa hari kemudian, ketika penulis sedang mengelamun sambil mengenang nasib dirinya, seorang 'berbaju putih' datang kepadanya.

"Kami akan membantu (awak) berjalan semula tetapi awak mestilah kuatkan semangat dan kembalikan keyakinan kerana perjalanan ini panjang," kata pelawat itu, seorang jurupulih anggota yang dikenali sebagai Othman.

Penulis yang dalam keadaan putus asa, telah menjawab: "Macam mana nak jalan, kaki dah tak ada. Kan saya sekarang orang kurang upaya?".

(Bagi penulis ketika itu, rasanya seperti sudah jatuh ditimpa tangga kerana anak beliau berumur tiga bulan, seorang bayi Sindrom Down, terpaksa menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) beberapa hari selepas kaki beliau dipotong).

Tapi nasibnya tidak seburuk yang beliau sangkakan. Sekumpulan doktor pemulihan, jurupulih anggota dan jurupulih kerja, membantu beliau dalam menjalani satu program pemulihan untuk membolehkan beliau berjalan semula.

Penulis dihantar menjalani latihan di 'sekolah untuk berjalan' di pusat perubatan itu di mana beliau dikehendaki melakukan senaman fisioterapi seperti melompat dengan menggunakan tongkat empat kaki dan palang selari.

Jurupulih kerja pula mengajar beliau bagaimana cara menggunakan kerusi roda

"Awak mesti kuat (semangat) dan InsyaAllah semuanya akan baik," itulah kata-kata seorang pegawai perubatan rehabilitasi yang namanya hanya penulis ingat sebagai Dr Annuar.

Kata-kata itu sentiasa berlegar dalam pemikiran penulis kerana ada ketikanya beliau terasa amat sengsara dan kecewa dengan nasibnya.

"Kalau anak awak kuat dan boleh melaluinya, kenapa tidak pula awak?" kata seorang lagi doktor yang merawat penulis, merujuk tentang keadaan anak penulis yang berjaya menjalani pembedahan jantung selama lapan jam.

Dengan itu bermulalah perjalanan pemulihan bagi penulis. Pada Mac 2008, hampir empat bulan selepas beliau kehilangan kaki kanan, penulis mula berjalan dengan bantuan kaki palsu walaupun dengan agak perlahan serta masih dalam kesakitan.

Kini, beliau telah mampu berjalan kembali. Satu perkara yang beliau anggap sebagai mustahil setelah berlakunya amputasi kaki.

(Anak penulis kini berumur 26 bulan dan sudah pulih daripada penyakit jantung berlubang. Anak itu sedang menjalani sesi terapi di Yayasan Sindrom Down Malaysia (KDSF) Pusat Nasional di Petaling Jaya.

HARI ORANG KURANG UPAYA ANTARABANGSA

Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa ialah pada 3 Dis setiap tahun dan disambut di seluruh dunia.

Di Malaysia, Akta Orang Kurang Upaya 2007 memberi definisi orang kurang upaya sebagai mereka yang kurang upaya jangka panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau keupayaan sensori yang menghalang mereka berinteraksi sepenuhnya dengan masyarakat.

Akta ini diluluskan Parlimen pada 24 Disember 2007 dan diwartakan pada 24 Januari 2008. Ia berkuatkuasa mulai 7 Julai 2008.

Bagi mereka yang kurang upaya, mereka diperlukan mempunyai Kad OKU untuk mendapat manfaat serta bantuan daripada JKM serta agensi kerajaan dan swasta.

Kad ini boleh didapati dengan mendaftar di Pejabat Daerah JKM masing-masing. Kad OKU yang dikeluarkan JKM membantu orang kurang upaya berurusan dengan pihak berwajib.

Terdapat enam warna kad bagi enam kategori OKU. Biru menandakan kurang upaya penglihatan, ungu (pendengaran), hijau (fizikal), merah (cerebral palsy), kuning (kurang upaya pembelajaran) dan oren (lain-lain).

Objektif sambutan hari antarabangsa bagi orang kurang upaya ialah memberi kesedaran di kalangan orang ramai bahawa orang kurang upaya sebagai anggota masyarakat mempunyai hak dalam masyarakat dan tidak menganggap mereka sebagai kurang kebolehan serta tidak berguna.

Ia juga bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang tanggungjawab mereka terhadap orang kurang upaya dan seterusnya menggerakkan komuniti supaya meningkatkan kemudahan untuk kurang upaya serta memperlihatkan kebolehan, keupayaan dan kemahiran golongan kurang upaya supaya mereka diserapkan ke dalam masyarakat.

Hari itu juga bertujuan merapatkan lagi hubungan kerjasama di antara kerajaan dengan pertubuhan sukarela serta korporat dan komuniti dalam usaha mewujudkan pelbagai kemudahan untuk orang kurang upaya dan mendedahkan kepada orang ramai akan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan pertubuhan sukarela bagi Orang Kurang Upaya. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan