suria

Memahami Sejarah Budaya Makanan Nusantara

JIKA di Malaysia terdapat ramai penggemar tempe, begitu juga di Indonesia. Jika di sini ada ramai peminat sate, begitu juga di sana.

Kita ada nasi himpit, mereka ada soto. Jika kita ada kuih bingka, di sana mereka terkenal dengan kuih bika Ambon.

Hakikatnya, bila bercerita tentang makanan, begitu banyak persamaan di antara kedua-dua negara.

Malaysia dan Indonesia, dua negara bangsa, kedua-duanya terikat dengan satu perkara yang mendekatkan mereka -- budaya serumpun yang diwarisi sejak nenek moyang mereka lagi. Disebabkan itu jugalah, kedua-duanya memiliki sejarah budaya kulinari yang sama.

Sewaktu Persidangan Antarabangsa Hubungan Malaysia-Indonesia 2009 (Media dan Budaya) anjuran Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya baru-baru ini, selain membincangkan isu dasar dan kebudayaan serumpun, yang adakalanya mencetuskan hubungan turun naik dua negara ini, turut diberi perhatian ialah isu makanan.

Ia mungkin topik terpencil bagi sesetengah pihak, namun tanpa disedari, impak makananlah yang berjaya memasuki hingga ke seluruh peringkat umur dan lapisan masyarakat di kedua-dua negara.

Hasil kajian Prof Dr Ir Sudrajati Ratnaningtyas, dari Universitas Winaya Mukti, Bandung, Jawa Barat, bertajuk "Peranan Media Massa Dalam Mensosialisasikan Sejarah Budaya Kuliner Nusantara Sebagai Akar kebudayaan Yang Sama Antara Indonesia-Malaysia" boleh membuka mata sesetengah pihak yang cenderung memperkata mengenai hak asal usul makanan bagi kedua-dua negara.

Saling menuntut makanan tertentu sebagai milik sesuatu daerah atau sesuatu bangsa ialah satu kekeliruan kerana budaya Indonesia-Malaysia-Singapura terhasil daripada perpaduan budaya yang sama.

Menurut Dr Ratna, budaya ketiga-tiga negara ini berasal daripada pelbagai kebudayaan luar yang bercampur apabila ia berkembang di nusantara. Dengan demikian, tidak ada budaya makanan milik sesuatu daerah atau satu bangsa tertentu.

FAHAMI SEJARAH AWAL

Indonesia dan Malaysia mempunyai nenek moyang yang sama iaitu masyarakat proto-Melayu yang bermigrasi 5,000 tahun sebelum Masehi, kata Dr Ratna.

Datuk Profesor Emeritus Mohamed Ghouse Nasuruddin, pensyarah di Universiti Sains Malaysia dalam ucaptamanya pada majlis itu berkata dunia Melayu merangkumi kawasan Asia Tenggara dari Sumatera di barat ke Spice Islands di timur, Indo China (Kemboja, Thailand, Myanmar dan Vietnam) di utara, Semenanjung Tanah Melayu di tengah hingga ke kepulauan Jawa termasuk Sulawesi dan New Guinea di Selatan, Pulau Borneo dan Filipina di timur. Ia mengandungi penduduk dari satu rumpun dan dikenali sebagai nusantara.

"Tamadun Dunia Melayu bermula dengan pengaruh tiga budaya, iaitu Hindu, Islam dan Barat. Dan sebelum kedatangan pengaruh budaya India dengan agama Hindunya, kawasan dunia Melayu ini dihuni oleh orang yang berasal dari tanah besar Asia yang berhijrah dari sana mengikut laluan darat ke kawasan Asia Tenggara.

Mereka melalui Kemboja, Burma, Thailand, Vietnam, Semenanjung Tanah Melayu dan terus ke kawasan kepulauan rantau ini sehingga ke kepulauan Pasifik," jelas beliau.

NUSANTARA BERKONGSI BUDAYA MAKANAN

Melihat kepada sejarah itu, ternyata budaya yang berkembang di Nusantara terutamanya yang mencakupi Indonesia, Malaysia dan Singapura ialah hasil penyatuan pelbagai budaya iaitu Cina, India, Arab dan Eropah.

Dr Ratna berkata: "Perpaduan budaya ini menghasilkan perpaduan dalam budaya kulinari. Saya percaya ia berlaku kerana masyarakat Nusantara sebenarnya ialah masyarakat yang bertoleransi".

Kadang kala suatu makanan yang dianggap khusus milik suatu bangsa sebenarnya turut dituntut oleh bangsa lain. Sebagai contoh, tempe yang dianggap berasal dari Indonesia, turut terdapat di China yang dinamakan koji.

Bagaimanapun, menurut Dr Ratna lagi, terdapat juga kajian yang mengatakan tempe ialah sumbangan Jawa pada seni masakan dunia. Dengan demikian tempe dianggap asli dari Jawa yang ditemukan pada abad ke-19, tetapi bahan tempe yang berasal dari kacang soya pula berasal dari negara China sejak 5,000 tahun dahulu.

Dr Ratna turut menyentuh beberapa blog dari Malaysia yang menyenaraikan 100 nama makanan popular di negara ini untuk dituntut sebagai makanan asli Malaysia sebagai tindakan membalas balik tuntutan Indonesia ke atas rendang.

Antaranya ialah nasi lemak, nasi ulam, nasi kerabu, Char Kuey Teow Pulau Pinang, laksa, rendang, serunding, kari kepala ikan, roti canai, tosai dan kuih bakul serta berpuluh lagi makanan yang popular di sini.

Bagi Dr Ratna, rendang, laksa atau apa sahaja makanan, baik di Indonesia mahupun di Malaysia, kedua-dua pihak termasuklah negara lain di rantau nusantara, perlu mengkaji semula sejarah perkembangan budaya rantau ini.

Rendang yang turut dituntut oleh kedua-dua negara juga asalnya menggunakan rempah yang dibawa menerusi perdagangan rempah oleh kerajaan Majapahit pada abad ke-14.

Selepas Majapahit menakluki Palembang (ibu kota Sriwijaya), makanan yang digemari ketika itu ialah laksa, malah dianggap makanan pilihan pada abad ke-14 di daerah-daerah yang menjadi kekuasaan Majapahit.

"Laksa berasal dari India dan merupakan padanan kata nama 'mi' yang berasal dari China. Dengan demikian makanan ini ialah hasil percampuran budaya bersama, iaitu India, Cina dan Nusantara. Kini laksa antara makanan istimewa baik di Malaysia, Indonesia dan Singapura," jelas beliau.

Bagi rempah pula, setelah kejatuhan Majapahit, perdagangannya dikuasai pula oleh kerajaan Melaka yang seterusnya cuba dikuasai pedagang Eropah, iaitu Portugis.

USAH BUAT TUNTUTAN MELULU

Penjelasan bersama bukti sejarah yang tidak dapat disangkal ini boleh menjadi satu usaha menjernihkan kontroversi terhadap tuntutan mana-mana pihak mengenai hak eksklusif makanan tertentu.

Pastinya, buat kelompok yang gemar mengambil tindakan melulu tanpa memikirkan kesannya terhadap hubungan kedua-dua negara ini, perlu memahami persamaan budaya masyarakat di Indonesia dan Malaysia, kata Dr Ratna.

Menurut beliau, perkara ini timbul berikutan rantau nusantara mempunyai budaya yang terhasil daripada percampuran pelbagai budaya asing.

"Sebaiknya kita tidak harus saling menuntut budaya sebagai milik sendiri, biarkan budaya itu menjadi milik bersama. Dengan demikian perselisihan yang tidak sepatutnya berlaku dapat dihindari," tegasnya. BERNAMA

Artikel Lain