suria

"Senyuman Anda Kekuatan Kami", Kata Gadis Pelarian Penghidap HIV

KEHIDUPAN Ma Hninn Si (bukan nama sebenar) sememangnya penuh dengan onak dan duri. Kira-kira dua tahun lalu dia dan dua orang adik perempuannya lari meninggalkan tanah air mereka.

Untuk sampai ke sempadan Myanmar-Thai sahaja, mereka terpaksa dua kali menaiki bot. Perjalanan seterusnya ke sempadan Thai-Malaysia menelan belanja yang agak besar sebelum akhirnya mereka menjejakkan kaki ke bandar raya Kuala Lumpur pada Oktober 2007

Pahit getir hidup gadis berusia 25 tahun ini tidak berkesudahan. Dua bulan selepas tinggal di bandar raya metropolitan ini, dia diserang demam, batuk berterusan dan kehilangan berat badan.

Pada mulanya, dia menyangka dijangkiti penyakit Malaria, memandangkan dia terpaksa meredah dan bersembunyi di hutan sebelum dibawa ke sempadan Thai-Malaysia. Dia juga berfikir mungkin dia dijangkiti batuk kering (tibi), sama sekali bukan diagnosis doktor sebuah klinik swasta, yang dia menghidap Human Immunodeficiency Virus, ringkasnya, HIV!

Hninn Si (di dalam bahasa Myanmar bermakna bunga ros) berkata dia bukan sahaja terperanjat dengan apa yang diberitahu oleh doktor malah putus harapan untuk hidup.

"Ketika itu saya merasakan hidup saya sudah berakhir. Tak ada lagi masa depan untuk saya. Saya juga amat risau dengan nasib adik-adik saya kerana mereka masih muda, lagipun, kerana sayalah mereka menjadi orang pelarian.

"Tanpa ibu bapa atau saudara mara yang rapat, macam manalah adik-adik saya dapat terus hidup di negara serba asing ini?" keluh Hninn Si.

Gadis ini berkongsi kisah dukanya dengan peserta perbincangan meja bulat mengenai HIV dan AIDS yang dianjurkan United Nations Theme Group on HIV di sini baru-baru ini.

Hninn Si memberitahu Bernama kemudiannya bahawa dia mengesyaki memperoleh virus maut ini menerusi pemindahan darah apabila menjalani pembedahan ulser dalam ususnya pada 2001.

BIMBANG BERPANJANGAN

Rasa bimbang menjadi mangsa stigma dan diskriminasi, memaksa Hninn Si untuk merahsiakan penyakit yang sedang menyerang tubuhnya yang kecil.

Dia berkata kawan-kawannya menaruh syak yang dia menghidap HIV apabila melihat keadaan dirinya yang semakin teruk.

"Mereka melontarkan pelbagai soalan tetapi saya tetap membisu. Adik perempuan saya terpaksa berhenti pergi ke gereja kerana dia tidak mahu disoal bertalu-talu.

"Saya pula semakin lelah, fizikal dan mental. Saya menjadi terlalu takut untuk berjumpa dengan orang. Saya beritahu diri saya, saya ini manusia yang tidak berguna dan saya juga merasa orang lain juga beranggapan yang sama," keluhnya.

Hari-hari yang berlalu menyaksikan perasaan Hninn Si semakin tertekan tetapi dia amat bernasib baik kerana mempunyai dua adik perempuan untuk menjaga dirinya yang sering sakit.

"Saya merasa amat sedih melihatkan adik saya yang terpaksa keluar bekerja. Sepatutnya sebagai kakak, saya yang bekerja untuk menampung kehidupan kami, tetapi apakan daya saya.

"Saya juga perlu makanan yang lebih baik memandangkan kesihatan saya yang lemah tetapi saya tidak mampu membeli makanan itu. Saya hanya makan apa yang dimasak," tambahnya.

Hninn Si berkata adik perempuannya bekerja keras, menjadi pencuci di restoran dan rumah untuk menampung kehidupan mereka adik-beradik termasuk membeli makanan dan membawa sewa bilik. Ketiga-tiga adik beradik ini mendiami sebuah bilik sebuah flet yang dikongsi dengan ramai penghuni lain.

"Apabila saya pergi untuk memeriksa kiraan CD4 saya, saya dikenakan bayaran dua kali ganda. Setiap kali saya pergi ke hospital kerajaan, saya perlu membayar RM30 dan jumlah itu adalah jumlah yang adik saya peroleh untuk sehari dia bekerja," katanya.

MENDAPAT RAWATAN

Menurut Hninn Si, dia tidak pernah tahu ada rawatan untuk HIV. Sangkanya, orang yang dijangkiti virus maut itu akan hanya dapat hidup beberapa tahun sebelum dijemput maut.

Bagaimanapun nasibnya bertukar pada awal 2008 apabila dia menerima kunjungan seorang kaunselor daripada Malaysian Care.

"Menerusi kaunseling yang diberikan, buat pertama kalinya saya mendapat tahu mengenai rawatan untuk HIV dan kaunselor ini banyak memberi galakan dan harapan yang amat saya perlukan," katanya.

Malaysian Care, sebuah pertubuhan bukan kerajaan Kristian diasaskan pada lewat 1970-an dan menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti penjagaan dan khidmat komuniti dan amat komited kepada pembangunan komuniti.

Menurut Hninn Si, dia kemudian dimasukkan ke hospital Sungai Buloh dan menerima rawatan HAART (Highly Active Antiretroviral Theraphy).

"Hospital Sungai Buloh ialah sebuah hospital yang menakjubkan. Meskipun saya seorang pelarian, semua kakitangan hospital melayan saya dengan baik sekali. Saya menerima layanan seperti pesakit tempatan. Mereka semua melakukan yang terbaik untuk saya," jelasnya.

Bagaimanapun, tambahnya, dia menanggung kesan sampingan yang amat teruk selama enam bulan akibat rawatan yang diterimanya di mana kulitnya menjadi gelap di samping muka dan bibirnya menjadi bengkak.

"Tubuh saya dipenuhi parut dan ruam. Kawan-kawan dan orang keliling saya bukan sahaja takut untuk menghampiri saya, bersalam dengan saya pun mereka enggan.

"Pada masa itu saya mengajar Bahasa Inggeris untuk sekumpulan pelajar orang pelarian dan saya menjadi sedih apabila mereka tidak lagi mahu belajar dengan saya sebaik sahaja mereka tahu saya positif HIV. Keadaan itu juga menjadikan saya takut untuk keluar dari rumah untuk ke gereja," kata Hninn Si.

Orang yang positif HIV dan mengalami kesan sampingan akibat rawatan, katanya akan mempunyai rasa rendah diri dan ketika itu, yang amat diperlukan ialah sokongan kawan-kawan.

"Malangnya saya tak dapat sokongan seperti itu," demikian pengakuannya.

PERUBAHAN HIDUP

Menurut Hninn Si, keadaannya kini jauh lebih baik, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental dan emosi. Dia memberitahu Bernama bahawa dia juga hanya perlu pergi ke hospital Sungai Buloh sekali dalam tempoh empat bulan untuk rawatan lanjutan.

Dalam banyak hal, dia menganggap dirinya amat bernasib baik kerana dia boleh bertutur Bahasa Inggeris dengan fasih. Keadaan ini membolehkan dia pergi ke mana-mana klinik tempatan berbanding dengan kebanyakan pelarian lain.

Dia juga memperolehi semua keyakinan diri apabila diberi peluang oleh sebuah gereja untuk memberi kelas tuisyen kepada sekumpulan anak pelarian.

Hninn Si yang mempunyai ijazah dalam Bahasa Inggeris memberitahu dia mengajar Bahasa Inggeris peringkat rendah untuk kanak-kanak pelarian berusia antara 13 hingga 18 tahun.

"Akhirnya saya dapat bekerja dan meraih pendapatan. Peluang ini juga bukan sahaja menaikkan semangat saya tetapi juga memberikan saya keyakinan diri dan memulihkan semula maruah diri saya," tambahnya.

Hninn Si memberitahu bahawa, dia telah berhenti memberi kelas tuisyen sejak lima bulan lalu kerana mahu fokus kepada tugasnya sebagai kaunselor rakan sebaya di bawah projek yang diasaskan UNHCR (agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan Malaysian Care.

Projek itu, katanya, dikenali sebagai "Project Long Life" dan diadakan di hospital Sungai Buloh.

"Sebagai kaunselor rakan sebaya, saya bukan sahaja dapat membantu diri saya tetapi juga dapat membantu orang lain. Tak ramai orang pelarian yang positif HIV menikmati peluang yang saya peroleh," kata Hninn Si.

Dia bercerita yang dia memberi kaunseling kepada kira-kira 50 pelarian pesakit HIV dan mengakui tugasnya amat mencabar di mana dia juga perlu membuat kunjungan ke kediaman pesakit.

"Sekarang jika ada orang bertanya apa yang saya buat, saya boleh menjawap dengan penuh rasa bangga yang saya ada pekerjaan meskipun saya positif HIV. Saya boleh berkongsi keyakinan diri ini dengan orang lain.

"Saya juga tidak lagi menyisihkan diri saya daripada masyarakat. Sebelum ini, orang melihat saya sebagai orang yang berbahaya tetapi sekarang saya faham bahawa saya bukanlah begitu. Semua orang yang positif HIV perlu diberi galakan dan peluang untuk bekerja.

"Terutama sekali untuk pelarian yang positif HIV kerana mereka memerlukan pendapatan supaya mereka boleh menjaga kesihatan mereka dengan lebih baik," kata Hninn Si.

KEBIMBANGAN LAIN

Hninn Si juga bercakap mengenai nasib sesetengah pelarian yang positif HIV kebanyakannya dari Myanmar yang juga menderita masalah mental.

Keadaan itu, katanya, bukan sahaja kerana mereka positif HIV tetapi kerana tekanan dan kemurungan, akibat stigma dan diskriminasi termasuk daripada komuniti mereka sendiri.

Dia memberitahu Bernama bahawa terdapat juga kes di mana pelarian yang positif HIV hilang pekerjaan sebaik sahaja ketua mereka tahu tentang penyakit yang dihidapi.

"Sukar untuk mereka mencari pekerjaan baru, macam mana mereka hendak meneruskan kehidupan?

"Sebagai orang yang hidup dengan HIV, kami dahagakan kasih sayang, kawan dan bantuan. Mahukan anda menjadi kawan saya? Senyuman anda kekuatan kami. Dorongan anda harapan kami.

"Sudilah kiranya menghulurkan tangan anda untuk memegang tangan kami. Kami juga manusia seperti anda, terimalah kami seadanya," rayu Hninn Si. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain