Ada Kemungkinan Hapuskan Kanser Servikal

Diterbitkan: Jumaat, 13 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LIMA dekad dari sekarang, kanser servikal mungkin hanya menjadi kenangan silam bagi sesetengah orang. Bagi yang lain pula mereka mungkin tidak pernah mendengarnya.

Adakah senario ini boleh terjadi? Ya, kata pakar perunding obstetrik dan ginekologi Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar.

"Menghapuskan sama sekali kanser servikal bukanlah sesuatu yang mustahil, jika terdapat usaha bersepadu dalam menyaring dan memberi vaksin," kata Dr Nor Ashikin, yang juga merupakan pengasas Primanora Medical Centre.

Beliau menjelaskan bahawa kanser servikal boleh dicegah dan jika didiagnosis awal ia juga boleh dirawat, bukan seperti kanser payu dara.

"Peringkat mana ia didiagnosis adalah penting. Jika ia hanya terhad kepada serviks, dan belum lagi sampai ke saluran darah atau sistem limfa, maka boleh pulih sepenuhnya," kata beliau semasa temubual.

CEGAH KANSER, JALANI SARINGAN

Untuk menghapuskan sama sekali kanser servikal, pengesanan awal perlu bagi mengesan kehadiran sel-sel luar biasa yang berpotensi berubah menjadi kanser.

Ini boleh dilakukan melalui ujian servikal, yang lebih dikenali sebagai ujian `PAP smear', yang mengesan perubahan dalam sel-sel servikal.

Malangnya, ramai wanita tidak menyedari tentang pentingnya untuk menjalani ujian ini secara berjadual.

Dr Nor Ashikin memberi contoh bahawa dalam kalangan wanita profesional, kurang 30 peratus daripada mereka menjalani saringan.

"Apatah lagi dalam kalangan bukan profesional? Dalam usaha mengurangkan kematian kerana kanser servikal, kita harus memastikan sekurang-kurangnya 60-80 peratus daripada populasi wanita di Malaysia menjalani ujian PAP," katanya.

Setiap tahun kira-kira 500,000 wanita di seluruh dunia didiagnosis dengan kanser servikal, menyebabkan 273,505 kematian setiap tahun.

Jika dibandingkan dengan negara Asia yang lain, Malaysia mencatatkan kejadian kanser servikal yang lebih tinggi dan kes-kes kanser servikal merupakan yang kedua terbanyak di negara ini.

Tinjauan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan Ketiga pada 2006 menunjukkan hanya 43 peratus daripada wanita Malaysia, kebanyakannya wanita muda yang menghadapi risiko yang lebih rendah berbanding wanita yang lebih berusia, telah menjalani `PAP smear'.

Beliau berkata kempen `PAP smear' kebangsaan yang dijalankan dengan berkesan terhadap kanser servikal boleh meningkatkan dengan ketara kesedaran umum akan pentingnya untuk menjalani saringan secara berjadual.

"Di sinilah kita perlu melobi dengan kerajaan untuk membolehkan keseluruhan populasi disaring," katanya.

SARINGAN PAP SMEAR PENTING, TETAPI TIDAK MENCEGAH KANSER

Walaupun ujian `PAP smear' adalah penting kerana ia mengesan sel-sel luar biasa di peringkat awal lagi, ia tidak menghalang kanser servikal, demikian dijelaskan oleh Dr Nor Ashikin.

"Tetapi adalah masih penting untuk menjalani ujian PAP ini kerana pengesanan awal sel-sel luar biasa boleh membantu kita menghalang kanser daripada merebak.

"Hakikat sebenarnya ialah vaksin ini tidak boleh mengubati kanser servikal.

Vaksin ini hanya mencegah jangkitan Human Papilloma Virus (HPV). Penjelasan ini perlu untuk mengelakkan tanggapan salah, harapan tidak realistik, dan dalam senario terburuk, pertikaian perundangan yang tidak perlu," katanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan kaum wanita bahawa mereka tidak harus mengambil kesempatan daripada vaksin HPV untuk mengamalkan seks bebas.

Dr Nor Ashikin berkata terdapat 100 jenis HPV, tetapi hanya 20 daripadanya yang menyebabkan kanser, yang paling lazim ialah strain 16 dan 18 yang menjadi penyumbang utama kepada kanser servikal.

"Anda juga harus memahami bahawa jika anda telahpun dijangkiti HPV, vaksin ini tidak akan membantu anda sembuh," katanya.

Oleh kerana ini saringan masih perlu, kerana ia penting dalam mengesan kanser dan lesi prakanser yang disebabkan oleh strain HPV.

BOLEH DIJANGKITI HPV TANPA HUBUNGAN SEKS

Beliau berkata HPV boleh berjangkit walaupun tanpa melakukan hubungan seks kerana virus ini boleh berpindah dengan mudah melalui kulit.

Penggunaan kondom juga tidak dapat mencegah jangkitan HPV kerana lapisan getah itu hanya melindungi bahagian tertentu kemaluan lelaki, sementara tisu-tisu skrotum dan anal terdedah.

"Sehinggakan sel-sel mati yang berpindah semasa persetubuhan mungkin mengandungi virus itu yang masih boleh berjangkit walaupun selepas empat atau lima hari," katanya.

Dr Nor Ashikin berkata lebih kurang separuh daripada wanita yang aktif secara seksual boleh dijangkiti HPV onkogenik (yang menyebabkan barah) di peringkat tertentu kehidupan mereka, terutama selepas mereka mula terbabit secara aktif dalam hubungan seksual.

Walaupun 85 peratus daripada jangkitan HPV adalah berkaitan dengan aktiviti seksual, 10 hingga 15 peratus daripada jangkitan berlaku walaupun tanpa sentuhan seksual.

Jangkitan ini mungkin berlaku daripada ibu yang dijangkiti kepada anaknya, melalui pakaian dalam yang tidak bersih, sarung tangan pembedahan, cadar, forseps biopsi atau kotoran daripada kuku.

"Bagaimanapun, kes-kes seperti ini agak jarang," katanya.

Pada masa yang sama, tambah beliau, insiden kanser servikal jarang berlaku dalam kalangan mereka yang masih dara atau biarawati.

LELAKI VEKTOR UTAMA HPV

Dr Nor Ashikin berkata kaum lelaki masih merupakan vektor utama dalam cara HPV merebak dan menyebabkan kanser servikal kepada wanita, dengan mereka memindahkan virus itu semasa aktviti seksual.

Kajian menunjukkan lelaki yang mempunyai lebih daripada satu pasangan dan/atau merupakan pembawa strain HPV berisiko tinggi meningkatkan lagi risiko pada teman wanita mereka terhadap kanser servikal.

Ujian yang dijalankan di Australia terhadap vaksin-vaksin yang ada menunjukkan vaksin itu menawarkan perlindungan yang sama pada lelaki juga, walaupun pihak pengawal selia di negara-negara tertentu termasuk Amerika Syarikat dan Kanada masih belum meluluskannya bagi kegunaan kedua-dua jantina. Vaksin itu juga dikatakan menawarkan perlindungan kepada kedua-dua jantina terhadap ketuat di kemaluan.

Oleh itu, katanya, adalah wajar bagi ibu bapa untuk memastikan anak lelaki mereka juga turut mendapat vaksin itu, lebih muda lebih baik lagi.

"Kita perlu melindungi wanita, kerana vektornya ialah lelaki," katanya.

Memandangkan vaksin ini mahal, maka adalah tidak berkesan daripada segi kos bagi kerajaan untuk memberi vaksin percuma kepada murid-murid lelaki di sekolah, sekurang-kurangnya sebelum kesemua pelajar perempuan diberi vaksin.

Beliau berkata pengilang vaksin Glaxo Smith-Kline telah menjalankan kajian berhubung keberkesanan vaksin itu pada kaum lelaki. Bagaimanapun, Dr Nor Ashikin mengambil usaha sendiri untuk menyuntik vaksin itu pada anak-anak lelakinya.

VAKSIN KONTROVERSI

Cervarix dan Gardasil ialah dua vaksin yang telah diwujudkan bagi pencegahan kanser servikal yang berkaitan dengan strain 16 dan 18 HPV. Beberapa negara di seluruh dunia telah meluluskan penggunaan vaksin ini pada anak gadis dan wanita.

Bagaimanapun, Natalie Morton, seorang pelajar berusia 14 tahun di United Kingdom meninggal dunia di hospital selepas menerima suntikan Cervarix, menyebabkan beribu-ribu orang di seluruh dunia menyuarakan kebimbangan mereka berhubung suntikan vaksin bagi kanser servikal.

Pada September lepas hasil siasatan menunjukkan kematian Morton ialah disebabkan ketumbuhan yang jarang ditemui, di paru-parunya, yang hanya diketahui selepas kematiannya, dan bukan kerana vaksin itu.

Di Malaysia, walaupun timbul pelbagai pendapat umum, kerajaan mengumumkan bahawa ia akan meminta kebenaran ibu bapa sebelum menyuntik vaksin itu pada murid-murid perempuan berusia 13 tahun.

Dr Nor Ashikin menyambut baik langkah itu dan berharap ibu bapa dan pihak yang bimbang dapat menilai dengan bijak mengapa vaksin ini penting dan membantu anak-anak perempuan mereka mendapat perlindungan terbaik terhadap kanser servikal. BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 6:51 PM

Sherry Ibrahim Tak Hilang, Masih Laris

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan