suria

Doktor rawat penagih dipandang sinis oleh masyarakat

KUALA LUMPUR: Ketika sebahagian besar masyarakat sukar untuk menerima kehadiran penagih dadah, terdapat sekumpulan kecil pengamal perubatan yang berusaha merawat golongan ini dengan penuh dedikasi sama seperti layanan kepada pesakit lain mereka.

Bagi doktor-doktor ini, di sebalik tanggapan negatif masyarakat, masih ada harapan bagi penagih ini untuk pulih menerusi terapi gantian dadah (DST) menggunakan Methadone.

Kajian dengan jelas menunjukkan rawatan berasaskan kepada komuniti ini lebih berkesan dan kosnya hanya antara RM300-RM400 sebulan berbanding rawatan di bawah tahanan di Pusat Serenti yang menyaksikan kadar penagihan semula yang tinggi dan kos rawatan boleh mencecah sehingga RM3,000 sebulan.

Lagipun, sementara menjalani rawatan DST para penagih boleh meneruskan dengan kerja mereka seperti biasa dan hidup bersama keluarga dan masyarakat.

Pada masa yang sama ini membantu mengawal penyebaran HIV dan kejadian jenayah, yang kedua-duanya secara tidak langsung berkaitan dengan dadah.

Bagaimanapun keraguan masyarakat yang keterlaluan bukan sahaja menjadikan penagih sasaran masyarakat dalam melepaskan geram, dan ini banyak kali mencetuskan pertembungan dengan doktor yang menjalankan program DST.

Disebabkan itu doktor-doktor ini, terutamanya pengamal perubatan am, mendakwa mereka diganggu oleh anggota masyarakat, pihak berkuasa malah ahli politik.

Konfrontasi ini menimbulkan rasa khuatir kerana bukan sahaja penagih yang akan mengelak daripada mendapatkan rawatan tetapi juga para doktor enggan mengambil bahagian dalam program rawatan ini.

MASIH ADA BELAS KASIHAN TERHADAP PENAGIH?

Dr Musa Jantan yang membantu penagih menerusi DST sejak 2002 menjelaskan betapa sukar keadaan yang dihadapi apabila masyarakat menunjukkan syak wasangka terhadap doktor dan pesakit mereka yang terdiri daripada penagih.

Dr Musa berusaha merawat penagih di klinik beliau di Air Molek, Melaka, berdasarkan pengalaman sendiri bagaimana dadah memusnahkan kehidupan mereka yang disayanginya.

Bagi pengamal perubatan ini, konfrontasi semasa antara masyarakat dan penagih berpunca kerana kemarahan terhadap penagih yang terbuku di dalam hati mereka selama ini.

"Saya telah merawat dengan jayanya beratus-ratus penagih sejak tujuh tahun yang lepas tetapi ini tidak menerima perhatian yang sewajarnya daripada masyarakat. Hanya kerana salah laku segelintir penagih tegar masyarakat yang berdendam dengan mereka," demikian ulas Dr Musa.

Penagih dipersalah dalam segala hal. Jika akhbar atau tong gas di kedai runcit bersebelahan klinik hilang maka penagih yang datang untuk menerima rawatan dipersalah sedangkan sesiapa pun boleh mengambilnya.

Orang ramai benci melihat penagih dan mereka mula mengeluh kepada pihak berkuasa akan kehadiran golongan ini. Sebelum ini keadaan lebih buruk lagi apabila polis menahan penagih-penagih ini sebaik sahaja mereka keluar dari klinik selepas menerima dos Methadone.

Apabila polis dan pihak berkuasa tempatan mendapati tiada apa yang salah dari segi undang-undang yang berlaku di dalam klinik, orang ramai akan mengajukan keluhan mereka kepada wakil rakyat yang kemudian membawa perkara ini untuk perhatian Kementerian Kesihatan.

Sebab itulah para doktor yang merawat penagih-penagih ini mendakwa mereka diganggu.

"Sehinggakan klinik saya diperiksa oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK) selepas menerima aduan daripada orang ramai dan ini menyukarkan tugas dan hidup saya.

"Bagi saya, saya tidak melakukan apa-apa yang menyalahi peraturan atau undang-undang di klinik saya. Tetapi gangguan seperti ini mematahkan semangat saya.

"Sebab inilah mengapa, daripada 52 doktor yang pada mulanya menyertai program DST kini hanya tinggal dua sahaja. Saya pasti ramai daripada rakan-rakan saya sudah putus asa."

MARUAH DOKTOR TERGUGAT

Seorang lagi pengamal perubatan yang terbabit dalam program DST dan turut mengalami nasib yang sama ialah Dr Mohd Khafidz Mohd Ishak.

"Jururawat saya pulang dengan teksi pada satu malam dan pemandu bertanya kepadanya sama ada beliau bekerja di klinik yang menjual dadah kepada penagih," kata Dr Khafidz memberi contoh syak wasangka terhadap para doktor yang menjalankan rawatan menggunakan Methadone.

"Pernah berlaku barang logam hilang di kedai perkakas logam di sebelah klinik saya dan penagih yang datang untuk menerima rawatan di klinik saya pula dipersalahkan. Tetapi saya tidak bersetuju kerana saya tahu logam-logam ini terlalu berat untuk diangkat dengan tangan," kata Dr Khafidz kali ini menunjukkan sejauh mana masyarakat tidak percaya dengan golongan penagih.

Tetapi mereka merupakan sebahagian daripada masyarakat dan perlu dipulihkan demi kesejahteraan masyarakat.

"Saya menggunakan pendekatan DST dalam membantu penagih kerana saya menyedari ini merupakan kaedah paling praktikal dalam mengurangkan kesan buruk. Memandangkan kebanyakan daripada mereka yang menjalani DST ini bekerja, maka terdapat peluang yang lebih cerah untuk mencegah ketagihan berulang.

"Kami juga terbabit dalam satu program menyeluruh sepenuhnya yang termasuk pertukaran picagari dan jarum suntikan untuk mencegah penyebaran jangkitan HIV.

"Tetapi masyarakat masih belum dapat menilai kebaikan kedua-dua pendekatan," kata Dr Khafidz yang juga merupakan presiden Persatuan Insaf Murni Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang terbabit dalam membantu penagih dadah dan mereka yang dijangkiti HIV.

DALAM SKOP YANG LEBIH BESAR

Sementara itu, Prof Dr Mohamad Hussain Habil, seorang pakar rawatan ketagihan dan perunding psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya berpendapat kerisauan umum terhadap doktor-doktor yang melaksanakan DST berpunca kerana kurangnya kefahaman akan keseluruhan program rawatan ini dan sikap benci mereka terhadap penagih.

Methadone membantu menyekat rasa damba bagi heroin dan ia tidak mencetuskan kesan ghairah dan keputusan rawatan berasaskan komuniti ini lebih baik berbanding rawatan dalam kurungan.

"Tiada guna hantar penagih dadah ke Pusat Serenti kerana kadar penagihan semula adalah tinggi dan lagipun semua tahanan di situ asyik memikirkan perkara yang sama - dadah. Oleh itu, jika mereka bekerja atau tinggal bersama keluarga kemungkinan mereka leka dengan hal lain dan ini akan membantu mencegah ketagihan daripada berulang.

Beliau memberi jaminan tiada apa harus dibimbangkan khususnya daripada segi integriti para doktor dalam program DST memandangkan mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Penyertaan pengawal-pengawal perubatan am adalah penting kerana hospital kerajaan dan klinik tidak dapat menampung bilangan penagih yang besar dan doktor-doktor ini juga membantu menyampaikan rawatan khasnya bagi penagih di pekan-pekan kecil.

Para pengamal perubatan ini perlu diberi jaminan dalam menyediakan rawatan DST kerana ia bukan mata pencarian utama mereka, ia lebih kepada sumbangan mereka terhadap masyarakat.

"Pusat Sains Ketagihan Universiti Malaya sejak beberapa tahun yang lepas melatih lebih kurang 1000 pengamal perubatan am untuk mengendalikan DST dengan 20 peratus daripada mereka pada mulanya menyertai program itu tetapi kini hanya tinggal 10 peratus," kata beliau.

Bagi Dr Mohamad ini bukan petanda baik kerana boleh menjejaskan usaha meningkatkan program DST yang sepatutnya membabitkan 20,000 penagih menjelang 2010 di sebalik 7,000 orang buat masa ini. Usaha meningkatkan program DST ini penting kerana ia bukan sahaja membantu penagih tetapi juga turut menangani isu-isu penting yang berkaitan seperti jangkitan HIV dan jenayah.

Oleh itu adalah baik jika masyarakat turut menghargai serta menghulurkan sokongan kepada doktor-doktor ini dalam usaha menyediakan rawatan DST dan pada masa yang sama memberi peluang baru kepada penagih dadah untuk meneruskan kehidupan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain