suria

Mengukuhkan jati diri dan mengeratkan hubungan rakyat Malaysia

MASIH ingat lagi pada lagu 'Muhibah' yang sering dimainkan RTM pada tahun awal 1970-an?

Lagu ciptaan Saiful Bahari itu ialah antara langkah yang dijalankan untuk mengeratkan perasaan muhibah serta harmoni dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Apa sebenarnya makna perkataan 'muhibah"?

Seorang pensyarah sosiologi berkata muhibah ialah satu perasaan tolak ansur, toleransi, penerimaan dan kemesraan antara individu sama ada di dalam keluarga atau komuniti.

"Dalam sebuah negara seperti Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan pelbagai agama, maksud muhibah ialah menyokong keharmonian dan perpaduan dalam kehidupan seharian."

Menurut pensyarah wanita itu, semangat muhibah menjadi antara asas gagasan 1Malaysia di mana setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing bagi pencapaian dalam pemahaman dan pertalian baik hubungan antara kaum.

Semangat setiakawan, perasaan jatidiri dan hubungan erat antara rakyat Malaysia perlu diperkukuh kerana ini akan memberi kesinambungan terhadap perpaduan, kemakmuran dan kedaulatan negara.

MEMBINA NEGARA

"Tiada rakyat Malaysia akan kerugian dengan pelaksanaan konsep 1Malaysia. Konsep itu sendiri menyeru aspirasi membina negara yang melangkaui batas kaum dan keturunan," kata beliau.

1Malaysia ialah elemen penting bagi keharmonian rakyat negara ini di mana orang ramai hidup dengan suasana penuh aman dan damai, menghormati keturunan dan agama orang lain selain menerima kebudayaan yang berbeza.

"Perayaan dan sambutan agama seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Gawai Dayak dan Tadao Kaamatan ialah masa yang amat sesuai bagi memperteguh lagi semangat untuk membina negara".

Bagi pensyarah itu, adalah penting untuk memperkukuh masyarakat yang bersatu padu kerana ini membantu dalam pembentukan ekonomi negara yang kukuh dan perancangan pelan pembangunan yang holistik.

"Perasaan hormat ialah sesuatu yang kita dapat, bukan dengan cara meminta", katanya.

BERFIKIR, BERCAKAP DAN BERTINDAK SECARA SATU

Bagi bekas pegawai tentera Ibrahim Abu Bakar, walaupun semangat muhibah dan perasaan harmoni antara rakyat Malaysia menjadi kukuh sejak sekian lama, aspek itu perlu diperkuat lagi dan ini inilah yang diseru di bawah gagasan 1Malaysia.

"Rakyat Malaysia perlu berfikir secara satu, bercakap secara satu dan bertindak secara satu bagi menjamin keamanan dan kestabilan yang sedia ada.

"Kita mesti belajar dari perkara yang lepas tentang betapa sukarnya pemimpin kita pada era sebelum dan selepas Merdeka membentuk sebuah negara yang mampu dan bebas mencatat arah haluan sendiri.

"Kita seharusnya meneruskan semangat muhibah melalu garis-garis ini dan menjadikan konsep 1Malaysia satu kejayaan demi masa depan dan kebaikan kita juga," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain