suria

Veteran kembali lihat projek TNB masih digunakan

SEKALI pandang, Peter Shallow mungkin dilihat seperti mana pelancong luar warga emas yang lain sedang bersiar-siar melawat Cameron Highlands untuk kali pertama.

Tetapi sebaliknya kunjungan Shallow, 87, ke tanah tinggi ini pada 8 Okt lepas tersurat satu pengertian yang penuh bermakna.

Apa kan tidaknya, enam puluh tahun lepas, Shallow ialah seorang jurutera di Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang ketika itu dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN) Persekutuan Tanah Melayu.

Beliau juga adalah jurutera tetap yang bertugas bagi Skim Hidroelektrik Cameron Highlands dan Batang Padang, yang mula beroperasi pada 1959.

Skim itu dikendalikan sebagai projek rintis bagi membuktikan faedah yang bakal dinikmati hasil daripada pembangunan janakuasa hidroelektrik di Tanah Melayu.

Hari ini, Shallow berkunjung kembali ke sini untuk melihat sendiri kemajuan yang dilalui oleh skim berkenaan.

LEBIH 40 TAHUN BEROPERASI

Sebenarnya, beliau menjangkakan skim ini akan diabaikan seperti mana banyak lagi projek yang menerima nasib yang sama di negara-negara yang dilawatinya di seluruh dunia.

Bagaimanapun, tanggapan beliau meleset malahan timbul perasaan terharu dan bangga dengan apa yang dilihatnya sendiri.

"Kebiasaannya sesuatu projek akan hanya bertahan kira-kira 50 tahun sahaja, dan seterusnya ia tidak lagi secekap yang sepatutnya," kata Shallow yang berdiri di depan empangan Ringlet, yang membentuk sebahagian daripada skim hidroelektrik, sambil memerhati sekeliling.

"Tetapi dalam kes ini, semua pegawainya sama-sama berusaha untuk meningkat dan memperbaiki dalam apa cara sekalipun bagi membolehkan ia dapat diguna untuk jangka masa yang lebih lama.

"Saya sering tertanya-tanya sama ada untuk kembali atau tidak. Ini adalah satu inspirasi yang berbaloi. Ia adalah satu kepuasan yang amat sangat apabila menjadi sebahagian daripada sesuatu yang bertahan sebegitu lama dan berkeadaan baik, serta maju ke hadapan seperti yang sepatutnya," jelas Shallow yang dilahirkan di England.

Menurut TNB, selepas beroperasi lebih 40 tahun, skim berkenaan melalui satu Projek Tambahan Hayat bagi meningkatkan keupayaan dan kecekapan stesen berkenaan, yang mana sistem lama digantikan dengan teknologi baru yang mengguna amalan-amalan yang terbaik dalam generasi janakuasa.

Lawatan Shallow juga menepati masa apabila TNB meraikan ulangtahun ke-60 tahun ini.

Bagi Shallow pula, lawatan ini penuh bermakna kerana pada November 1959 iaitu hampir 50 tahun lepas Stesen Janakuasa Robinson, stesen pertama skim hidroelektrik mula digunakan. Jumlah kos skim pada ketika itu ialah RM125 juta.

BAGAIMANA KEADAAN KETIKA ITU

Mengimbas kembali waktu beliau bertugas di bawah projek itu, Shallow berkata begitu banyak kenangan manis terutama "bagaimana mesra semuanya ketika itu".

"Saya ingat bagaimana semua orang sama-sama bekerja, tidak kira siapa atau pangkat, mereka semua menyumbang dan menjalankan tugas masing-masing dan yang sepatutnya," katanya.

Sudah tentu terdapat beberapa cabaran, katanya, memandangkan projek berkenaan adalah suatu yang baru di Malaysia. Projek hidroelektrik yang pertama dibina di Chenderoh pada 1932, adalah dalam satu persekitaran yang jauh berbeza.

Shallow menjelaskan: "Satu masalah biasa yang dihadapi di Air Terjun Robinson ialah kontraktor tempatan yang dilantik adalah diketuai oleh seorang lelaki Cina yang tidak boleh membaca atau bercakap bahasa Inggeris, dan arahan pula semuanya dalam bahasa Inggeris sahaja.

"Jadi kami terpaksa duduk berkumpul dan berbicara dalam bahasa Melayu yang kami sendiri tidak fasih, kami perlu melakar di atas tanah untuk menunjukkan apa yang perlu dibuat, tetapi dia akan sering cuba melakukannya dengan lebih baik daripada yang disuruh," katanya sambil ketawa kecil mengenang memori itu.

Mengenai jumlah tenaga kerja dalam skim itu, Shallow berkata ia sukar untuk diingati bagi seluruh skim itu tetapi hanya mampu menganggarkan hampir 3,000 orang di skim Batang Padang sahaja.

BINA LEBIH DARIPADA SKIM HIDROELEKTRIK

"Keseluruhan skim itu mempunyai dua bahagian utama, yang pertama siap pada 1963 ialah skim Cameron Highlands, yang memperoleh air dari sungai Telom, dengan terowong sejauh enam batu ke dalam empangan di Ringlet menyeberangi ke Jor dan memasuki Stesen Janakuasa Jor yang utama.

"Untuk meningkatkan kuasa di bahagian hulu sungai kecil itu, sebatang sungai telah dialih ke satu lagi dan stesen hidro kecil telah dibina agar mereka di bahagian hidroelektrik, mereka yang bekerja di LLN mempunyai pengalaman sendiri dalam mencipta skim mereka sendiri dan menyelia pembinaannya. Mereka berkenaan kini memegang jawatan di TNB dan ada yang jawatannya sebagai timbalan pengurus besar bagi projek kerana mereka mempunyai beberapa pengalaman asas sejak dari mula lagi," kata Shallow.

Skim hidroelektrik berkenaan bukan sahaja membekalkan elektrik dan membina kerjaya malahan menyumbang kepada pembangunan jalan raya dan kemudahan di daerah ini, yang secara tidak langsung menjadikannya seperti hari ini, sumber bekalan sayur-sayuran untuk negara dan untuk dieksport di samping tarikan utama pelancong.

Shallow menjelaskan: "Adalah agak sukar untuk mendapatkan bahan binaan ketika itu memandangkan jalan raya terlalu sempit. Mereka menghadapi kesukaran dalam mendapatkan peralatan dan mereka perlu mempunyai lori pelbagai tayar besar khas untuk mengangkutnya.

"Jalan raya berkenaan perlu diperbaiki, jambatan perlu diperkukuhkan bagi mengangkut semua bahan, jadi memang betul, saya boleh nyatakan bahawa pembinaan skim hidroelektrik itu pada masa yang sama turut memperbaiki jalan raya berkenaan serta ekonomi."

MALAYSIA YANG MESRA WALAUPUN SELEPAS 40 TAHUN

Shallow telah meninggalkan Malaysia hampir 40 tahun lepas sebaik siapnya pembinaan skim berkenaan dan sejak itu juga telah bekerja hampir di seluruh dunia. Sebaik pulang ke kampung halamannya, beliau bekerja di Thames Barrier, sebuah struktur kawalan banjir yang besar di Sungai Thames.

"Saya kemudian bertugas dengan Bangsa-Bangsa Bersatu di Greek dan Yugoslavia yang berkongsi sumber air yang sama, yang mana saya bantu mereka mengkaji bagaimana mereka mungkin boleh berkongsi kos dan lain-lain, kemudian saya bertugas di Bank Dunia dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian, tugas yang membawa saya ke merata dunia," katanya.

Shallow berkata, beliau sering mahu kembali semula ke Malaysia dan akhirnya membuat keputusan mengikuti satu kumpulan pelancong ke Malaysia, dengan memilih pakej yang termasuk lawatan ke Cameron Highlands.

Beliau hampir tidak mengenali daerah ini memandangkan landskapnya telah berubah dengan struktur baru dan jalan raya yang lebih baik.

Bagaimanapun, beliau berkata, satu perkara yang masih tidak berubah ialah hospitaliti penduduk Malaysia.

Shallow mengakui bahawa beliau tidak menjangka sambutan besar-besaran dan lawatan yang dianjurkan untuk beliau setelah menyatakan hasrat kepada TNB untuk singgah ke stesen itu.

"Para pegawai syarikat adalah begitu baik, membawa saya ke sekitar untuk melihat bagaimana keadaan sekarang ini.

"Saya begitu kagum dengan apa yang telah mereka lakukan seperti menjaga, menjalankan dan mengawasi projek agar ia dapat terus digunakan pada masa hadapan di samping menyelaras kerja-kerja bagi memastikan keupayaan skim itu dapat dipertingkatkan," katanya.

BANGGA MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADANYA

Skim ini menjangkau sehingga ke negeri Kelantan, Pahang dan Perak. Empat daripada tujuh stesen di bawah skim ini, yang dikenali sebagai Stesen Janakuasa Sultan Yussuf, Stesen Janakuasa Sultan Idriss II, Stesen Janakuasa Habu dan Stesen Janakuasa Odak, beroperasi secara kawalan penyeliaan jauh dari Pusat Kawalan Kumpulan Cameron Highlands.

Ini dicapai dengan menghubungkan stesen-stesen berkenaan menerusi talian komunikasi optik fiber ke pusat kawalan, secara fungsi kawal dan selia.

Shallow sempat melawat beberapa stesen berkenaan semasa lawatan tersebut dan kagum dengan pencapaian TNB sejak 60 tahun.

"Adalah begitu menakjubkan apabila melihat mereka berusaha bagi memastikan kemudahan yang sedia ada kekal selama yang mungkin.

"Ia membuatkan seseorang itu benar-benar bangga menjadi sebahagian daripadanya, meskipun jika ia hanya untuk satu ketika yang lepas," katanya. BERNAMA

Artikel Lain