Interaksi meriah dan istimewa di Pasar Tani

Diterbitkan: Ahad, 25 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SETELAH hampir 30 tahun konsep Pasar Tani diwujudkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), kini pasar-pasar itu menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat Malaysia.

Menurut statistik Fama, Pasar Tani pertama di negara ini dilancar pada 31 Jan 1985 di Larkin, Johor Baharu. Kini terdapat 309 Pasar Tani yang beroperasi di seluruh Malaysia.

Menurut laporan berita, Fama mempunyai rancangan untuk mengadakan sejumlah 500 Pasar Tani di seluruh negara sehingga akhir tahun ini.

Negeri yang mempunyai paling banyak Pasar Tani beroperasi ialah Johor sebanyak 57, diikuti Selangor (55), Pahang (32), Sarawak (27), Negeri Sembilan (26), Sabah (21), Perak (20), Kedah, Kelantan dan Melaka (masing-masing 17), Wilayah Persekutuan (10), Perlis dan Terengganu (masing-masing lapan), dan Pulau Pinang (empat).

Biasanya Pasar Tani beroperasi sehari seminggu iaitu pada hujung minggu atau hari-hari lain tapi ada juga beroperasi setiap hari.

Kebanyakan Pasar Tani beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah dari (8 pagi hingga 12 tengah hari/2 petang), tetapi ada juga yang beroperasi dari pukul 1 tengah hari hingga 7 malam dan dari 3/4 petang hingga 9/10 malam.

Bagi Pasar Tani Mega seperti di Putrajaya dan kawasan rehat di lebuh raya Seremban (ke Utara dan Selatan), waktu operasinya ialah dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

LOKASI TIDAK JAUH

Seorang pekerja Ida Ali berkata dengan adanya Pasar Tani yang berdekatan dengan rumah, beliau tidak perlu bersusah payah ke pasar basah untuk mendapatkan barangan segar.

"Konsep Pasar Tani memang sesuai untuk suri rumah yang bekerja seperti saya, kerana pasar basah dan juga hipermarket terletak jauh dari rumah," kata ibu kepada tiga orang anak yang tinggal di Bandar Tasik Puteri dekat sini.

"Di Pasar Tani, saya boleh mendapat apa yang tiada di pasar lain, seperti makanan tradisional nasi ambang, ulam-ulaman dan pelbagai sayur kampung yang segar begitu juga dengan ikan air tawar, ayam kampung serta daging lembu tempatan," katanya.

Bagi pendidik Rahman Hamad, yang tinggal di kawasan perumahan yang sama, Pasar Tani memberi peluang kepada orang ramai membeli barang pertanian yang segar dengan harga berpatutan.

"Di kawasan ini ada tiga tapak Pasar Tani, sungguh menyenangkan bagi pengguna," kata beliau.

Rahman selalu berkunjung ke Pasar Tani di Bandar Tasik Puteri yang beroperasi dari pukul 4 petang hingga 10 malam setiap Isnin.

"Kalau ada keperluan saya boleh pergi ke Pasar Tani Bandar Country Home yang berdekatan di mana waktu operasinya juga sama dari pukul 4 petang hingga 10 malam setiap Khamis. Pada hujung minggu, saya juga boleh pergi ke Pasar Tani di Bukit Rahman Putra," katanya.

HASIL PERTANIAN

Menurut Fama, Pasar Tani ditubuhkan untuk membolehkan petani atau pengeluar memasarkan hasil pertanian mereka terus kepada pengguna tanpa menggunakan orang tengah.

Pasar Tani kini menjadi satu ruang yang penting bagi pemasaran barangan yang dikeluarkan petani serta nelayan.

Kenapa Pasar Tani begitu berjaya menambat hati orang ramai?

Kejayaan Pasar Tani terletak kepada cirinya yang mudah alih dan lokasinya di kawasan petempatan penduduk yang ramai. Pasar Tani juga merupakan medan pertemuan antara pengeluar dengan pengguna kerana ia juga senang dituju dan menawarkan suasana perniagaan yang unik dan meriah.

Pasar tani merujuk kepada pasar yang khusus menjual barang-barang hasil pertanian seperti sayur-sayuran, ayam, dan daging segar berkonsepkan jualan langsung.

Petani dan penternak menjual barangan mereka secara langsung kepada pengguna tanpa perlu melalui orang tengah. Oleh itu ramai pelanggan mendapati harga yang ditawarkan lebih murah.

Pasar Tani jelas digemari pengguna. Keadaan dan persekitarannya yang bersih, gerai-gerai yang kemas serta teratur dan berkanopi cantik, digemari para pengunjung.

Peniaga-peniaganya pula memakai apron dan berpakaian bersih yang memang menjadi tarikan dan perhatian ramai, termasuk pelancong asing, yang semakin menunjukkan minat terhadap Pasar Tani.

"Di negara kami, ada konsep yang sama di mana Pasar Petani menawarkan produk pertanian segar. Pengunjung boleh membeli barangan dan bunga segar serta menikmati makanan yang masih panas seperti roti croissant, piza dan sandwic tuna," menurut Frank Healey dari Amerika Syarikat.

Itulah konsep Pasar Tani yang diuruskan Fama, satu keunikan dalam kehidupan kita rakyat Malaysia dan menjadi lokasi di mana peniaga dan pengguna boleh berinteraksi dalam suasana meriah dan istimewa. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan