Pembalakan ancam hidup selesa orang asli Sungai Rual

Diterbitkan: Isnin, 5 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JELI: Kehidupan masyarakat Orang Asli kini sudah jauh berubah berbanding dahulu kerana mereka turut merasai nikmat kemakmuran dan pembangunan negara.

Kebanyakan mereka tidak lagi tinggal berselerak dalam kelompok kecil di hutan dan kini lebih selesa tinggal di kediaman tersusun di kawasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) yang disediakan kerajaan.

Tidak terkecuali bagi penghuni Orang Asli di Kampung Sungai Rual, 50 km dari bandar Jeli. Kehidupan mereka kini jauh berubah jika dibandingkan dengan masa dahulu.

Kini kawasan perkampungan mereka dilengkapi dengan bekalan air bersih, kemudahan elektrik, dewan orang ramai dan jalan berturap. Terdapat juga sekolah untuk anak-anak Orang Asli iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Rual.

Kebanyakan daripada penghuni Orang Asli di Kampung Sungai Rual juga beragama Islam.

Hidup selesa

Abdul Rashid Bernas, Penyelia Pembangunan Kampung Sungai Rual ketika ditemui Bernama mengakui hidup penduduk di kampung itu jauh lebih selesa berbanding dengan masa lampau.

Begitu juga keadaannya dengan dua lagi perkampungan Orang Asli di situ iaitu Kampung Sungai Manok dan Kampung Kalok.

Ada yang sudah mampu memiliki kereta, telefon bimbit malah melanggan siaran berbayar televisyen satelit. Boleh dikatakan, mereka hidup selesa kerana terdapatnya bantuan daripada kerajaan pusat.

Menurut Abdul Rashid, tanpa dibantu kerajaan agak sukar bagi Orang Asli ini untuk membina hidup baru dan meninggalkan adat resam nenek moyang mereka.

Rutin hidup diancam pembalakan

"Kalau dulu saya sering mengikut bapa dan datuk ke hutan untuk mencari akar kayu untuk dijadikan ubat tradisional, rotan untuk dijadikan kraftangan di hutan dekat dengan kampung ini, bagaimanapun sekarang susah nak buat macam tu lagi," katanya.

Menurut beliau, puncanya ialah hutan berhampiran kampung itu semakin diancam oleh aktiviti pembalakan malah kegiatan itu semakin mendekati kawasan kampung yang memberi pelbagai implikasi negatif kepada penduduk di sekitarnya.

"Dulu kampung ini sejuk, udara pun bersih, sekarang cuaca pun dah panas. Semuanya disebabkan banyak pokok yang sudah ditebang. Makin hari kawasan pembalakan semakin dekat dengan kawasan kampung," katanya.

"Bila lori balak keluar masuk, jalan rosak, berlubang-lubang. Jambatan pun rosak. Berapa kali baiki pun, rosak lagi. Yang susahnya, orang kampung di sini nak keluar masuk ke pekan jika ada urusan," katanya.

Ini diakui rakan Abdul Rashid, Ramli Pisang yang berkata air sungai di kampung itu yang dulunya jernih sehingga menampakkan kerikil di dasarnya, kini kotor dan keruh.

"Ikan yang ada pun tak sampai hati kita nak tangkap, kecil-kecil saja," katanya.

Hilang punca pendapatan tradisi

Ramli, pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Sungai Rual juga melahirkan rasa terkilan kerana mata pencarian tambahannya iaitu mencari hasil hutan untuk dijadikan ubat tradisional, kini semakin sukar dilakukan.

"Akar kayu pun susah dah nak jumpa. Hutan pun dah tak macam dulu, pokokpokok dah habis ditebang. Yang tinggal hanya pokok kecil, itu pun nak potong juga.

"Kalau tak dibantu kerajaan, susah nak hidup," kata Ramli yang merupakan penerima bantuan rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

Anggota Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed mengakui sehingga kini tahap kebergantungan Orang Asli di kawasan itu kepada kerajaan masih tinggi, walaupun telah banyak yang dilakukan untuk membantu golongan itu.

Katanya kehidupan masyarakat Asli di kawasan itu semakin terdesak berikutan kawasan persekitaran mereka yang terjejas ekoran aktiviti pembalakan sejak beberapa tahun lalu.

"Kawasan mereka cari makan sudah mengecil berbanding dulu, kalau dulu mereka boleh cari ikan di sungai, cari petai di hutan, tetapi sekarang sumber pendapatan mereka semakin kecil berikutan aktiviti pembalakan di sini.

"Di sini banyak lori balak keluar masuk menyebabkan jalan rosak,sungai pun tercemar, ini mengurangkan punca rezeki mereka yang memaksa mereka memohon bantuan daripada kerajaan," kata Mustapa.

Bantu penduduk

Menurut Mustapa pelbagai projek dikhususkan kepada Orang Asli di Kampung Sungai Rual dan juga untuk penduduk Kampung Sungai Manok dan Kalok.

"Selain bantuan yang disediakan di bawah agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), kerajaan pusat juga menerusi projek di bawah Risda mengagihkan dividen sebanyak RM200 sebulan sebagai tambahan pendapatan kepada mereka.

Berhubung masalah pembalakan di situ, Mustapa berkata sukar untuk kerajaan pusat mengambil tindakan terhadap perkara itu kerana kawasan pembalakan tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri.

"Apa yang dapat kita lakukan, kita mengharap kerajaan negeri lebih peka kepada masalah yang sejak sekian lama dihadapi penduduk di situ," katanya.

Timbalan Pengarah JHEOA Kelantan dan Terengganu, Abdul Razak Arshad berkata RM11 juta diperuntuk untuk program pembangunan keluarga Orang Asli seluruh negeri Kelantan tahun ini.

Peruntukan itu termasuk melengkapkan infrastruktur dan pembinaan rumah kepada keluarga miskin tegar selain pemberian bantuan makanan.

Tanaman kontan

"Kita juga menggalakkan mereka menyertai projek tanaman kontan jangka pendek seperti keledek madu dan memelihara ikan keli dalam kanvas.

"Di Kelantan sudah tidak ramai Orang Asli yang miskin tegar. Jika sebelum ini ada kirakira 1,200 penduduk Asli yang miskin tegar, kini jumlah itu telah dapat dikurangkan kepada hampir separuh," katanya.

Terdapat kira-kira 600 penghuni Orang Asli di tiga kampung itu. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan