suria

Hambarnya Hari Raya tanpa ketupat dan lemang

SEPANJANG Syawal ini, selepas Aidilfitri disambut pada 20 Sept, Malaysia akan tetap meriah dengan majlis rumah terbuka.

Pada majlis-majlis ini, yang dianjurkan sama ada di rumah kediaman, pejabat, malahan hotel, antara yang dicari tetamu dan menjadi hidangan wajib ialah ketupat dan lemang.

Bagi masyarakat Melayu, mereka merasakan sambutan Hari Raya mereka tidak lengkap jika tanpa ketupat dan lemang di dalam menu.

Rendang ayam dan daging atau serunding di meja tidak akan terusik kalau tiada ketupat dan lemang untuk dimakan bersama. Begitulah sinonimnya ketupat dan lemang dalam perayaan Aidilfitri.

KETUPAT, LEMANG

Lemang ialah makanan daripada beras pulut yang dimasak dengan santan dan disalut dengan daun pisang yang sudah siap diisi di dalam batang buluh.

Untuk memasukkan beras pulut dan santan itu memerlukan kepakaran bagi memastikan isinya tidak tumpah bila buluh dibakar dan mengembang.

Membakar lemang juga memerlukan kesabaran kerana ia mengambil masa berjam-jam lamanya kerana api tidak boleh terlalu besar dan menghanguskan lemang, atau lemang tidak masak dengan rata, jika bara api tidak sekata.

Untuk mengeluarkan lemang yang sudah dimasak, batang buluh perlu dibelah dan isi lemang yang panjang, dibiarkan sejuk dahulu sebelum dipotong dengan mudah.

Ketupat pula ada dua jenis - ketupat daun palas dan ketupat nasi (daun kelapa).

Kedua-dua ketupat ini memerlukan kepakaran menganyam daun kelapa atau membungkus dan menyimpul daun palas.

BERNIAGA LEMANG DAN KETUPAT

Kepakaran yang diperlukan untuk membuat lemang dan ketupat ini dan faktor masa, membuatkan kini, ramai yang mengambil kesempatan sepanjang sambutan Syawal sebulan ini untuk berniaga lemang dan ketupat.

Bagi penjual lemang Salim Bakar, bulan Syawal ialah musim durian runtuh.

"Saya mula menjual lemang seminggu sebelum Hari Raya. Permintaan memang banyak. Sepanjang bulan ini saya jangkakan dapat menjual 100 batang lemang sehari kerana ramai yang telah membuat tempahan untuk majlis rumah terbuka mereka," katanya.

Salim menjual lemangnya di bawah pondok kayu di Batu 5, Jalan Rawang-Batang Berjuntai dekat sini.

Beliau menjual sebatang lemang dengan harga RM8. Kalau dikira jualan 100 batang, jumlahnya RM800 sehari.

Banyak tempat di Lembah Klang kini menjual lemang dengan harga RM10 sebatang.

Bagi bekas ahli korporat Datuk A. Ahmed, Hari Raya beliau tidak lengkap tanpa lemang.

"Ia menjadi satu kemestian bagi orang Melayu semasa Hari Raya, umpama kuih bakul semasa perayaan Tahun Baru Cina," katanya.

Beliau berkata lemang merupakan makanan tradisi berasal dari masyarakat Minangkabau.

"Dan lemang atau lamang memang dikaitkan dengan identiti Negeri Sembilan," katanya.

HARGA MAHAL TIDAK TENTU SEDAP

Kerani sebuah syarikat swasta, Rohaya Harun berkata beliau pula amat berhati-hati dalam membeli lemang kerana tidak mahu membawa balik lemang mentah, lemang yang terlalu lembik atau keras dan tidak masak rata.

Biasanya beliau akan membeli di beberapa gerai yang sama hampir setiap tahun.

"Adakalanya mereka yang berniaga lemang ini bukan pakar, kerana memasaknya sekali atau dua kali setahun, jadi lemangnya tidak dimasak betul.

"Rugi rasanya kalau lemang yang dibeli mahal, tidak dapat dimakan dengan sempurna," katanya.

Bagi ketupat pula, mereka yang tidak pandai menganyam daun, akan memilih untuk merebus nasi impit segera atau menanak pulut sahaja.

Namun yang bersikap sentimental dan menganggap nasi impit atau pulut tanak tidak boleh menggantikan ketupat nasi atau ketupat palas, akan sanggup membeli sarung ketupat di pasar, walaupun harganya agak mahal, asalkan bau segar ketupat bersalut daun, dapat dinikmati mereka.

TIDAK RUGI BELAJAR

Bagi mereka yang tidak pandai menganyam, tidak rugi jika meluangkan masa sedikit untuk mempelajari teknik menganyam ketupat, kerana keenakan ketupat daun ini tidak ada tukar gantinya dengan nasi impit segera yang banyak dijual sekarang.

Begitu juga lemang. Kalau masih ada kampung dan kawasan lapang, tidak salah untuk mencuba membakar lemang sendiri, kerana selain dapat merasa lemang yang sempurna masaknya, gotong-royong menyediakan dan membakar lemang itu, dapat mengeratkan kemesraan keluarga dan jiran serta memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Raya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain