suria

Usaha memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Orang Asli

MENGIKUT perangkaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOA), setakat ini terdapat 141,230 Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Pahang mempunyai penduduk Orang Asli paling ramai iaitu 50,792, diikuti Perak, 40,856 orang dan Selangor, seramai 15,210 orang.

Masyarakat Orang Asli ini terbahagi kepada tiga kumpulan besar iaitu Senoi, Negrito dan Melayu Proto.

Di bawah Senoi, terdapat enam suku kaum iaitu Temiar, Semai, Jahut, Che Wong (Pahang), Semoq Beri dan Mahmeri. Kebanyakan suku kaum ini terdapat di Perak Tengah, Perak Selatan, Pahang dan Selangor.

Bagi Negrito pula, ada enam suku kaum iaitu Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Bateq dan Lanoh. Suku kaum-suku kaum ini terdapat di bahagian utara Semenanjung iaitu di Kedah, Perak Utara, Kelantan (Gua Musang) dan Ulu Terengganu.

Kumpulan Melayu Proto pula mempunyai enam suku kaum iaitu Temuan, Jakun, Semelai, Orang Kuala, Orang Seletar dan Orang Kanaq. Ramai daripada mereka ini tinggal di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selatan Pahang dan sebahagian Selangor.

Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOA), Mohd Sani Mistam, taburan penduduk Orang Asli ini semakin berubah mengikut peredaran masa.

"Masyarakat Orang Asli kini berada di mana-mana hasil kejayaan yang mereka nikmati dalam pelbagai bidang pekerjaan dan kemahiran serta keusahawanan," kata beliau kepada Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Wisma Selangor Dredging di sini baru-baru ini.

Data kategori kampung Orang Asli menunjukkan sebanyak 323 (36.9 peratus) kampung terletak di kawasan pedalaman, 547 (62.4 peratus) di kawasan pinggir dan 6 kampung (0.7 peratus) di bandar.

Peranan jabatan

Peranan JHEOA memperkasa pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Orang Asli menjadi semakin ketara di bawah Rancangan Malaysia ke-7 (1996-2000), Rancangan Malaysia ke-8 (2001-2005) dan Rancangan Malaysia ke-9 (2006-2010).

Ini berbanding dengan fungsi jabatan ketika diwujudkan pada 1954 dengan nama Jabatan Orang Asli (JOA) dan diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Nama JOA ditukar kepada nama sekarang pada 16 Sept 1963 di bawah KDN.

Mulai 2001, JHEOA diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (kini ditambah Wilayah) sehingga sekarang.

Di awal penubuhan Jabatan ini, fungsinya lebih kepada untuk memastikan masyarakat Orang Asli tidak dipengaruhi sebarang unsur atau dakyah komunis memandangkan mereka hidup jauh di kawasan hutan dan pedalaman.

"Kerajaan tidak pernah mengabaikan kumpulan masyarakat Orang Asli. Cuma proses perubahannya perlu mengikut kesesuaian masa dan tempat. Semasa zaman menentang komunis, kita berhadapan dengan pelbagai kesukaran, dan untuk membawa pembangunan fizikal di perkampungan mereka mungkin tidak praktikal," jelas Mohd Sani.

Apabila kerajaan berhasil mematahkan pengaruh komunis, JHEOA, tambahnya, diberi peranan mengintegrasikan masyarakat Orang Asli dengan masyarakat umum untuk mewujudkan satu bentuk pola percampuran yang lebih baik.

Usaha itu juga dilihat penting untuk mengikis tanggapan stereotaip terhadap Orang Asli yang sering dilabelkan sebagai mundur, ketinggalan zaman, pemalas, kotor dan selekeh.

Mohd Sani berkata meskipun masih wujud perasaan rendah diri dalam kalangan sesetengah masyarakat Orang Asli, ia semakin dapat dihakis terutama dalam kalangan generasi muda.

"Semangat integrasi juga boleh dilihat melalui perkahwinan campuran antara anak Orang Asli dengan kaum lain dan mereka juga tidak kekok lagi bergaul bersama kaum lain.

"Ini menunjukkan usaha kita ke arah pembangunan yang lebih terancang dan sistematik dapat diterima oleh masyarakat ini. Inilah perubahan minda dan sikap yang cukup positif yang kita ingini," jelasnya.

Ubah minda

Daripada kehidupan di dalam hutan belantara dan berpindah-randah, masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia boleh dikatakan semakin mengamalkan kehidupan yang lebih kekal.

Kebergantungan mereka semata-mata kepada hasil hutan juga semakin berkurangan. Ramai juga yang berpindah kepada melakukan pekerjaan yang lebih tetap termasuk membuka ladang atau bekerja di luar kampung.

Menurut Mohd Sani, secara keseluruhannya senario pembangunan masyarakat Orang Asli pada hari ini berjalan mengikut fasa pembangunan yang dirancang kerajaan.

Beliau memberikan contoh antara kemajuan yang dicapai iaitu mengurangkan bilangan miskin tegar dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

"Di awal RMK-9, kita mempunyai 13,945 KIR (Keluarga Isi Rumah) miskin (pendapatan RM720). Daripada jumlah itu 9,003 KIR adalah miskin tegar (pendapatan RM420).

"Sehingga 30 April 2009, bilangan KIR miskin menurun kepada 4,939 KIR sementara miskin tegar sekitar 1,810," jelasnya sambil memberitahu jumlah KIR miskin pada RMK7 ialah 19,433 KIR.

JHEOA, tambah beliau, mengambil beberapa langkah untuk membasmi kemiskinan tegar dengan membina rumah (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) di mana setakat ini sebanyak 14,082 unit sudah didirikan.

Di samping itu, pihaknya juga melengkapkan kemudahan asas seperti jalan kampung, bekalan air serta elektrik. Untuk jalan, sebanyak 513 buah kampung Oang Asli daripada 876 buah kampung sudah mendapat kemudahan jalan masuk.

Bantuan turut diberikan untuk pembangunan tanah baru bagi penanaman getah dan kelapa sawit, bantuan bimbingan usahawan dan bantuan tanaman kontan seperti tembikai, pisang dan keledek madu.

Kesihatan dan pendidikan

Seperti yang ditegaskan oleh Mohd Sani, setiap program pembangunan masyarakat Orang Asli menekankan peningkatan kualiti hidup termasuk kesihatan dan pendidikan.

Di bidang kesihatan, melalui kerjasama antara JHEOA dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), banyak aktiviti kesihatan dilaksanakan di kawasan penempatan Oang Asli, baik di kawasan pinggiran atau kawasan pedalaman.

Bercakap mengenai kesihatan, katanya, di samping sebuah hospital JHEOA di Gombak, terdapat juga lima pusat transit, 753 balai rawatan dan dua klinik desa yang khusus dibina bagi menampung keperluan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Di samping itu, katanya, JHEOA juga menyediakan perkhidmatan "doktor udara" bagi kawasan pedalaman seperti Pos Gob, Gua Musang.

"Penyakit yang sinonim dengan Orang Asli seperti malaria, kusta dan tibi semakin berkurangan tetapi timbul pula penyakit yang ada kaitan dengan kehidupan moden seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan HIV," kata Mohd Sani.

Dalam bidang pendidikan, JHEOA bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk meningkatkan pencapaian akademik murid Orang Asli di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Memandangkan peratus keciciran dalam kalangan anak Orang Asli agak tinggi khususnya di peringkat sekolah menengah iaitu sekitar 35 peratus, JHEOA bercadang mengadakan lebih banyak sekolah K-9 (sekolah komprehensif) di kampung Orang Asli.

Sekolah K-9 menawarkan pendidikan dari darjah satu hingga tingkatan tiga.

Menjelaskan senario pelajar yang tercicir, Mohd Sani berkata ia berlaku kerana beberapa faktor, antaranya hilang minat belajar, kahwin awal, bekerja dan mengikut ibu bapa mencari hasil hutan.

"Ada juga pelajar yang tercicir kerana tidak mahu keluar dari kawasan kampung. Kebanyakan sekolah yang ada di perkampungan Orang Asli ialah sekolah rendah dan untuk sekolah menengah, mereka perlu berulang-alik atau tinggal di asrama.

"Faktor ini yang menyebabkan keciciran. Untuk itu kita dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan memperbanyak sekolah K-9 ini. Antara lokasi yang dikenal pasti ialah Gua Musang dan Cameron Highlands," kata Mohd Sani sambil menambah setakat ini terdapat sebuah sekolah K-9 terletak di Paloh Inai, Pekan, Pahang.

Latihan kemahiran

Bagi belia Orang Asli yang tidak cemerlang dalam bidang pendidikan, mereka berpeluang menjalani kursus kemahiran dan vokasional di Pusat Latihan Damansara Damai.

Setakat 2008, seramai 1,600 orang telah dilatih dalam pelbagai bidang termasuk teknologi automotif dan mekanik motosikal. Kira-kira 80 peratus daripada pelatih ini berjaya mendapat pekerjaan, membuka bengkel sendiri atau bekerja dengan swasta.

Sementara itu, bagi beliawanis pula, mereka berpeluang mengikuti kursus jahitan serta salun dandanan dan sehingga 2008, seramai 331 orang telah mendapat latihan.

Dari segi prestasi pendidikan, masyarakat Orang Asli boleh berbangga dengan pencapaian yang diperoleh lebih 600 pelajar Orang Asli yang berjaya menamatkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dalam pelbagai bidang.

Kebanyakan pelajar mengikuti pengajian peringkat ijazah ini mendapat biasiswa JHEOA.

Kekangan dan gejala sosial

Di sebalik pelbagai kemajuan yang dicapai oleh JHEOA, masih ada perkara yang memerlukan masa untuk ditangani, antaranya program pembangunan tanah terutama yang melibatkan penempatan masyarakat Orang Asli yang tidak digazetkan sebagai rezab Orang Asli.

Dalam hal berkenaan, beliau menjelaskan ia memerlukan kelulusan daripada kerajaan negeri.

Faktor geografi penempatan Orang Asli yang berada jauh di pedalaman juga memberi impak kepada program yang dirancang, justeru, program pembangunan perlu sesuai dengan keperluan masyarakat setempat.

Seperti juga masyarakat lain di negara ini, Orang Asli yang semakin terdedah dengan arus pesat pembangunan dan kehidupan moden, juga tidak terlepas daripada terjebak ke dalam kancah gejala sosial seperti penagihan najis dadah dan seks bebas.

Masalah gejala sosial dalam masyarakat Orang Asli ini dilaporkan banyak dikesan di kawasan pinggiran dan pekan.

"Meskipun keadaan ini membimbangkan tetapi masih terkawal. Pihak Jabatan melalui JHEOA di peringkat negeri dan daerah akan sentiasa memantau dan memberi nasihat kepada mereka menerusi Program Mesra Minda JHEOA," jelas Mohd Sani.

Beliau turut menyentuh masalah pengambilan minuman keras dalam kalangan Orang Asli, terutama golongan tua, yang dikatakan sukar dibanteras.

"Arak dikatakan sebahagian daripada adat istiadat masyarakat Orang Asli dan telah sebati dalam kehidupan masyarakat itu.

"Bagaimanapun, kami tetap mengadakan kempen kesedaran akan bahayanya pengambilan minuman keras serta mendapat kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk membasmi penagihan najis dadah," kata Mohd Sani.

Tiada dipinggir

Kebajikan masyarakat Orang Asli terus menjadi fokus program pembangunan kerajaan di mana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 1 yang diumumkan kerajaan tahun ini, JHEOA turut mendapat peruntukan besar.

Di bawah pakej berkenaan, sebanyak RM65 juta diperuntuk bagi projek program bantuan rumah yang akan memberi manfaat kepada 2,151 KIR.

Sebanyak RM24.9 juta lagi disediakan untuk projek jalan kampung (RM14.5 juta) yang membabitkan 107 buah kampung dan jalan pertanian (RM10.4 juta).

Di samping itu, RM200 juta pula diperuntuk bagi memastikan semua kampung Orang Asli yang berdaftar mempunyai bekalan air yang baik.

Di samping itu, pada tahun ini juga, kerajaan meneruskan peruntukan khas RM20 juta kepada masyarakat Orang Asli melalui Program Peningkatan Kualiti Hidup Masyarakat Orang Asli, antaranya untuk Bantuan Bakul Makanan dan Bantuan Wang Saku Pelajar.

Malah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut mengarahkan penubuhan Kumpulan Fokus pada Julai lepas untuk menangani masalah Orang Asli. Ia meliputi lima bidang iaitu pendidikan, prasarana, kesihatan, ekonomi dan pengetahuan tradisi

Seperti yang dijelaskan oleh Mohd Sani, di bawah semangat 1Malaysia, tidak ada kumpulan yang dipinggir atau terpinggir. Dan untuk masyarakat Orang Asli, banyak yang telah dibuat kerajaan untuk meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi mereka.

"Kalau yang ada yang terpinggir, ini lebih kepada sikap mereka yang tidak mahu berubah daripada kehidupan berpindah-randah. Dari segi peratus, cuma ada lima peratus yang masih mengamalkan kehidupan tradisional ini iaitu di Ulu Perak dan Taman Negara, Pahang," jelas Mohd Sani. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain