suria

Bertugas di laut biru pada Hari Raya

KUANTAN: Sabtu lepas ketika kebanyakan umat Islam sibuk bersiap menyambut ketibaan Aidilfitri keesokannya, 70 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pengkalan Tanjung Gelang Kuantan pula sudah bersedia memulakan tugas menjaga perairan negara.

Selama sembilan hari mulai hari itu, mereka berada di laut ketika kegembiraan berhari raya diraikan kaum keluarga dan dikongsi rakyat pelbagai kaum.

CUBA WUJUDKAN SUASANA HARI RAYA

Pegawai Penguasa TLDM Pengkalan itu, Komander Ismail Othman ketika ditemui berkata walaupun terpaksa berhari raya di atas kapal, namun beliau cuba wujudkan suasana Hari Raya sesama mereka.

Lemang tetap dibakar, ketupat nasi dan daun palas dimasak dan dihidangkan bersama makanan lain di atas kapal, kata Ismail selaku Kapten KD Perak.

Jika di rumah ada anggota pasukan itu yang membantu isteri atau ibu memasang langsir, di atas kapal, mereka bekerjasama memasang lampu neon supaya kapal itu tidak sepi, sebaliknya kemeriahan menyambut lebaran tetap dirasakan.

Pada pagi raya, sembahyang Aidilfitri dan bertakbir di atas dek kapal tetap diadakan dan selepas itu mereka bermaaf-maafan sebelum Ismail menjadi "bapa" memberikan petugasnya duit raya.

BAJU RAYA DITEMPAH ISTERI PENGUBAT RINDU

Bagi Leftenan Komander Khairul Izwan Mohd Khir, 31, dari Hulu Bernam, Selangor, ini merupakan pertama kali beliau terpaksa meninggalkan isteri dan dua anak, berusia 2 dan 4 tahun, kerana bertugas menjaga perairan negara.

Katanya sepasang baju Melayu yang ditempah isterinya dibawa bersama ke atas kapal untuk dipakai pada pagi raya.

"Hanya tuhan saja yang tahu perasaan saya namun demi tugas saya akur dan saya akan memakai baju raya yang ditempah isteri bagi menghilangkan kerinduan," katanya.

Beliau berkata walaupun terpaksa beraya di perairan, namun beliau bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan seperjuangan yang memahami dan "satu kepala".

TIDAK BERAYA BERSAMA ANAK

Laska Kelas 1, Mastamrin Awang Zawawi, 27, dari Sarawak pula berkata beliau sedikit terkilan kerana tidak berpeluang beraya bersama anaknya yang baru berusia dua tahun.

"Ini kali kedua saya bertugas di perairan selepas tahun 2003. Namun ini merupakan pertama kali tidak dapat berhari Raya bersama anak sulung.

"Memanglah sedih namun terpaksa menerimanya kerana tugas dan mujurlah isteri memahami," katanya.

Namun, perasaan itu berlainan pula dengan Laska Kanan Komunikasi Radio Hanis Mohd Hussin, 30, dari Miri, Sarawak kerana perasaan sedih bertugas pada Hari Raya telah terhakis dalam dirinya.

"Saya sudah berkhidmat selama 12 tahun dan perkara seperti ini sudah biasa saya lalui. Pengalaman beraya bersama rakan-rakan juga sebenarnya merupakan kenangan manis dalam hidup saya," katanya.

Bintara Muda Ahmad Nadzull Fasya Mohd Najib, 29, pula walaupun sudah tiga kali beraya di atas kapal, namun katanya, perasaan sedih itu tetap hadir terutama pada pagi Hari Raya.

"Memang sedih kerana tidak dapat mencium tangan kedua-dua ibu bapa untuk memohon maaf di pagi raya," katanya yang berasal dari Jitra Kedah.

Apapun demi tugas, perasaan sayu ketika mendengar takbir Raya harus dipendam, kata Pegawai Waran 1 Aromi Ahmad, 37, dari Tanjung Malim.

Anak dan isteri yang ditinggalkan, sudah memahami tugas beliau, yang kali ini masuk kali ketiga berhari Raya di atas kapal.

Tabik kepada barisan perwira di atas kapal KD Perak ini kerana pengorbanan mereka membolehkan berjuta rakyat bergembira meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan keselamatan yang terjamin. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain