suria

Semangat "Ji Po" Menjadi Rahsia Erat Silaturahim

TIGA kampung Melayu Melanau di Sarawak - Matu, Daro dan Igan - biasanya menyambut Ramadan dan Hari Raya dengan amalan tradisi yang amat unik.

Kunjungan Bernama ke tiga kawasan itu dalam bulan Ramadan ini berjaya mendekati tradisi luar biasa kaum Melanau di kawasan Delta Sungai Rajang ini di mana penduduk di Kampung Matu, Daro dan Igan masing-masing akan memasak kari daging untuk diagih-agihkan kepada setiap keluarga di kampung berkenaan.

Anggota Parlimen Igan Datuk Wahab Dollah berkata tradisi memasak beramai-ramai itu bertujuan memupuk semangat kerjasama dan sekaligus merapatkan lagi hubungan antara penduduk lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Tiga kawasan itu mempunyai 36,000 penduduk daripada kira-kira 8,000 keluarga. Tahun ini Wahab menyerahkan kira-kira 2,600 kilogram daging untuk dimasak secara gotong-royong oleh penduduk kampung.

AGIH DARI PINTU KE PINTU

"Saya bersedekah kepada penduduk tanpa mengira latar belakang mereka termasuk bukan Islam pada bulan puasa dan mahu memastikan semua mendapat bahagian masing-masing.

"Cara agihan dari rumah ke rumah ini memang unik dan mungkin hanya wujud di kawasan Parlimen Igan," katanya kepada Bernama di sini.

Tambahan pula jika diagih-agihkan terus ke rumah, penduduk tidak perlu berbaris panjang untuk mendapatkan bahagian masing-masing sebelum berbuka puasa.

Selain menyerahkan daging lembu, Wahab turut menyumbang kira-kira 4 tan kurma dan 7,900 botol minuman kordial yang dibungkus dalam bungkusan khas dan disertakan dengan kad ucapan Selamat Hari Raya daripada beliau.

Katanya ini tahun kedua daging, kurma dan minuman kordial itu diagih-agihkan.

BERLANGGAR MEJA

"Hubungan kami penduduk di Matu, Daro dan Igan adalah bersaudara dan begitu rapat sekali yang lebih terkenal bila kita panggil "ji po" di sini yang bermaksud saudara dalam bahasa Melanau," kata Wahab.

Wahab berkata masyarakat Melanau terkenal dengan sikap suka merendah diri, tidak sombong dan begitu mudah untuk bekerjasama dalam apa sahaja bentuk kerja berpasukan.

Ini dapat dibuktikan pada majlis penyediaan juadah berbuka puasa yang diadakan oleh 51 kumpulan memasak melibatkan lima pusat memasak di Kampung Igan, Kampung Tian, Kampung Pergau, Kampung Pangtray dan Kampung Masjid pada hari ke-10 Ramadan baru-baru ini.

Selain penyerahan rumah ke rumah itu, satu lagi keunikan di kawasan ini ialah majlis "berlanggar meja" ataupun "majlis berlanggar rumah" yang bermaksud majlis rumah terbuka pada setiap Hari Raya puasa.

Wahab berkata di Kampung Igan majlis berlanggar meja disambut dengan cara yang tersendiri iaitu setiap penduduk kampung akan menyediakan meja makan dan kerusi di atas jalan dan disambung dengan meja-meja jiran yang lain.

Segala jenis masakan sama ada masakan tradisional mahupun kuih-muih akan disajikan kepada setiap tetamu yang datang berkunjung ke Igan pada Hari Raya kedua dan ketiga.

"Tradisi berlanggar meja ini kita mahu jadikan satu tarikan pelancong di Igan dan ia sememangnya unik kerana telah dianjurkan puluhan tahun yang lalu dengan penuh semangat kerjasama dan muhibah," katanya.

Kaum Melanau yang terkenal dengan kemahiran di laut sebagai nelayan itu masih lagi mampu mempertahan banyak budaya nenek moyang mereka walaupun masa terus berlalu.

LANJUT SEBELAH MALAM

Sambutan berlanggar meja di Igan tahun ini akan dilanjutkan ke sebelah malam dengan beberapa acara sampingan seperti pertunjukan bunga api dan persembahan daripada artis-artis terkemuka Malaysia, jelas Wahab.

Biasanya majlis itu menarik ramai tetamu dari luar seperti dari Mukah, Matu dan Daro malah dari Kuching, Sibu, Sarikei, Miri, Bintulu serta negara jiran Brunei Darussalam.

Ketika inilah penduduk dapat berjumpa saudara mara dari jauh serentak dalam satu masa dengan penuh semangat 'ji po' untuk sama-sama meraikan Hari Raya yang datang setahun sekali ini.

Sementara itu Ahmad Dikoh penduduk dari Kampung Tian berkata kawasan Matu, Daro dan Igan sememangnya berpotensi untuk dijadikan tempat program Inap Desa kerana mempunyai pelbagai tarikan pelancong yang unik selain budaya masyarakat Melanau yang masih lagi asli.

"Saya percaya dengan adanya promosi, kawasan ini boleh menjadi satu kawasan Inap Desa kerana di sini juga mempunyai banyak rumah yang unik dan sesuai untuk program Inap Desa," katanya.

Beliau berkata antara tempat menarik di kawasan ini ialah kawasan penangkapan ikan terubuk ataupun nama saintifiknya "tenualosa toli" yang banyak terdapat di Batang Lassa dekat Kampung Tebaang.

"Kalau nak cari ikan terubuk asli Sarawak datanglah ke Daro, di sini ikan terubuk ditangkap penduduk tempatan pada musim tertentu dan memang berbeza rasanya dengan apa yang dijual di Kuching ataupun bahagian lain negeri Sarawak," katanya.

Selain itu, katanya, terdapat juga rumah panjang Melanau di Kampung Sok Matu yang boleh menjadi antara tempat tumpuan pelancong.

Apapun penduduk Matu, Daro dan Igana sudah bersedia mengalu-alukan kedatangan pengunjung yang akan disambut dengan tradisi unik mereka pada Hari Raya ini.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain