Infak Al-Nidaa' suntik harapan Syawal

Diterbitkan: Khamis, 17 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Di dalam Al-Quran, surah An-Nahl menceritakan bagaimana makhluk sekecil lebah yang Allah ciptakan, bekerja keras untuk menghasilkan madu yang membawa kebaikan kepada manusia.

Sikap tolong menolong serangga kecil itu bagi menghasilkan sesuatu untuk manfaat pihak lain mengajak manusia berfikir mengenai kepentingan ciptaan Allah.

Kisah itu dijadikan analogi bagi menggambarkan pihak yang memberi sumbangan dan pihak yang menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan oleh wakil rakyat Perupok (kawasan Dewan Undangan Negeri di Bachok, Kelantan), Datuk Omar Mohamad.

Kisah itu disentuh beliau dalam majlis pemberian infak Ramadan oleh pertubuhan kebajikan Al-Nidaa' Malaysia (Al-Nidaa') di Dewan Majlis Daerah Bachok baru-baru ini.

Beliau menyifatkan rombongan Al-Nidaa' yang menyampaikan sumbangan infak Ramadan kepada keluarga miskin, ibu tunggal, anak yatim, warga tua, mualaf, orang kurang upaya dan ibnus sabil sebagai pasukan lebah yang membawa kebaikan kepada orang lain.

Al-NIDAA'

Al-Nidaa' diwakili lima sukarelawan yang diketuai setiausahanya, Ahmad Kamal Ariffin.

Menurut Ahmad Kamal, tahun ini seramai 959 orang menerima infak yang diadakan di 10 tempat meliputi Kuala Lumpur, Bachok dan Nilam Puri, Kelantan; Baling dan Kuala Ketil, Kedah; Pusat Pengajian Al-Islah dan Kampung Repuh, Perlis; Kuala Kangsar dan Chenderung Balai, Perak.

Jika tahun lalu,seramai 877 penerima infak menerima sumbangan sejumlah RM230,750, tahun ini, Al-Nidaa' memperuntuk sebanyak RM280,000 yang diperolehnya daripada sumbangan besar individu di sekitar Lembah Klang.

Majlis penyampaian infak Ramadan itu bermula di Kuala Lumpur pada 30 Ogos dan seterusnya dari 5 Sept hingga 7 Sept di Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak.

HITAM PUTIH KEHIDUPAN

Bagi sukarelawan Al-Nidaa', setiap lokasi yang mereka kunjungi dipenuhi dengan pelbagai kisah hitam putih masyarakat. Daripada warga emas membawa kepada anak kecil, setiap yang ditemui mempunyai kisah tersendiri.

Penduduk di Baling misalnya, rata-rata mereka menyara keluarga dengan bergantung kepada hasil torehan getah. Ketika rombongan ini tiba, hujan lebat sedang membasahi Pekan Baling. Keesokan paginya, cuaca juga mendung, semendung wajah-wajah penerima sumbangan.

Menurut seorang penduduk, sepanjang tiga minggu berpuasa, mereka hanya berpeluang keluar menoreh selama dua hari sahaja.

Bagi Abdul Ghani Ahmad, 36, yang cacat penglihatan, sumbangan yang diterimanya pada hari itu akan dimanfaatkan untuk perbelanjaan persediaan Aidilfitri buat dua anaknya.

Abdul Ghani yang menyara keluarga dengan kemahiran urutan fisioterapi, menyatakan sumbangan itu dapat meringankan bebannya menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Lain pula ceritanya di Kuala Kangsar, Shahabudin Othman, 61, dari Kampung Kota Lama Kiri kelihatan termengah-mengah sambil melangkah dengan bantuan tongkat. Setelah diberitahu dirinya terpilih sebagai seorang daripada penerima infak, bapa kepada dua orang anak yang masih bersekolah ini menggagahkan juga dirinya hadir dengan menaiki bas awam.

Air matanya mengalir sayu sewaktu menceritakan kesempitan hidupnya yang kehilangan upaya untuk bekerja menggunakan tulang empat keratnya selepas terjatuh dua tahun yang lalu dan turut menghidap kencing manis.

Bagi pasangan kurang upaya, Mohd Sabri Mad Ad, 70, dan isterinya Noor Liza Yeop Zahari, 66, rezeki Ramadan yang diterima mereka kali ini akan digunakan untuk membeli keperluan dua anak mereka yang masih di sekolah rendah.

Mohd Sabri yang hilang upaya selepas terlibat dengan satu kemalangan sebelum ini menyara keluarganya dengan menjadi tukang gunting. Bagaimanapun, serangan angin ahmar yang dialaminya baru-baru ini menyebabkan jari-jemarinya lemah dan dia tidak lagi dapat memegang gunting.

MENDEKATI PELAJAR

Selain mendekati golongan masyarakat, Al-Nidaa' turut menghulurkan sumbangan infak kepada golongan pelajar tempatan dan antarabangsa di bawah golongan asnaf Ibnus sabil.

Selain pelajar tempatan, pelajar antarabangsa yang menuntut di sini turut menerima sumbangan. Antaranya ialah penuntut dari China, Kemboja, Indonesia, Thai dan Singapura.

Sumbangan turut disalurkan kepada anak-anak yatim dan kurang mampu di Asrama Teratak Rahmat, Ayer Mata,Perlis dan Asrama Anak Yatim Al-Amin di Chenderung Balai, Teluk Intan, Perak.

Rombongan ini meluangkan masa lebih lama di kedua-dua lokasi sambil berbuka puasa bersama mereka. Sungguhpun singkat, namun, kemesraan anak-anak ini dapat dilihat dan kemanjaan mereka dengan anggota rombongan menunjukkan mereka menaruh harapan yang tinggi terhadap kumpulan ini.

Selain ditempatkan di rumah itu ekoran kedaifan keluarga, agak menyedihkan apabila rata-rata mereka yang berada di situ ialah mangsa perceraian ibu bapa. Malah ada yang langsung tidak mengenali si bapa yang meninggalkan anak-anak ini dalam jagaan ibu mereka tanpa sebarang berita apatah lagi nafkah.

AL-NIDAA' BUKAN ASING

Sungguhpun Al-Nidaa' bukanlah sebuah organisasi yang mampu menghulurkan bantuan sepanjang tahun buat gologan yang kurang bernasib baik, namun usaha yang dijalankan oleh mereka sebagai perantara kepada penderma adalah usaha yang sangat terpuji.

Bagi yang pertama kali mendengar nama pertubuhan ini, Al-Nidaa' bukanlah sebuah pertubuhan yang asing.

Sejak ditubuhkan pada 2001, badan bukan kerajaan ini diamanahkan oleh anggota serta jemaahnya dengan pemberian infak, zakat dan fidyah untuk diagih-agihkan seboleh-bolehnya dalam bulan Ramadan kepada mereka yang layak menerimanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan