suria

Belajar Menghormati Ramadan

HANYA tinggal beberapa minit lagi sebelum matahari terbenam dan meja makan sudah penuh dengan pelbagai hidangan daripada juadah yang dimasak sendiri atau yang dibeli hinggalah kepada pencuci mulut yang menyelerakan serta minuman.

Hidangan di atas meja semerbak baunya dan mereka yang hadir menunggu dengan penuh sabar panggilan azan menandakan masuk waktu Maghrib. Sebaik mendengar azan bergema, mereka berbuka puasa.

Bagaimanapun ia bukan majlis berbuka puasa yang lazim kita lihat kerana jamuan ini umpama perjumpaan wakil Bangsa Bersatu yang sedang lapar.

Mereka yang hadir pada petang itu juga terdiri daripada pelbagai bangsa seperti juga juadah yang tersedia di atas meja daripada rakan dan jiran dari lima negara negara dan tiga benua, yang beragama Islam dan bukan Islam, yang bersama-sama berkongsi pengalaman berbuka puasa di Malaysia semasa Ramadan.

MENGHORMATI BULAN MULIA

Ibadah puasa yang diamalkan umat Islam di sini menarik minat pasangan Venezuela Mina Perez dan Erick Alcala untuk mencontohi semangat bulan mulia ini dengan menganjurkan majlis itu bagi dua tahun berturut-turut.

Keduadua mereka telah berada di Malaysia selama tiga tahun dan berasa gembira kerana berpeluang berbuka puasa dengan rakanrakan dari Malaysia dan negara asing.

"Kami gembira berkongsi pengalaman kerohanian ini dengan kaumkaum berlainan di negara ini. Ia lebih bermakna kerana kami berbuka puasa bersama rakan-rakan tempatan dan mereka dari Nigeria, Venezuela, Yemen dan Pakistan," kata Mina.

Bagi seorang lagi bukan Islam, Vanessa Laverde, beliau berbuka puasa dengan rakanrakan Islamnya dengan meneguk sedikit air. "Saya juga berpuasa hari ini, dan berjaya berpuasa penuh," kata rakyat Venezuela berusia 26 tahun itu dengan perasaan puas.

Jika amalan puasa biasanya menimbulkan rasa ingin tahu, kagum dan adakalanya simpati dalam kalangan bukan Islam, Vanessa pula memilih untuk mencuba dengan berpuasa selama sebulan tahun lepas dan tahun ini beliau masih berpuasa, tetapi kurang beberapa hari kerana masalah kesihatan.

"Saya beragama Katholik, dan kami mengamalkan ibadah yang hampir serupa yang dikenali sebagai Lent yang diamalkan sebelum Easter. Saya memilih untuk berpuasa sebagai menghormati rakan-rakan Islam dan untuk menghargai dan melalui pengalaman yang dirasai oleh rakanrakan Islam."

Sementara berpuasa mungkin tidak begitu sukar bagi Vanessa, Jack Lua dari Kelantan berasa kagum bagaimana umat Islam dapat bertahan tanpa air dan makanan dari fajar hinggalah matahari terbenam.

"Saya pernah cuba berpuasa, tetapi hanya mampu bertahan separuh hari. Saya mendapati ia begitu sukar!" demikian pengalaman arkitek berusia 28 tahun itu.

Jack yang berkata beliau akan cuba berpuasa sekali lagi, memahami objektif murni Ramadan yang mengingatkan individu bahawa mereka perlu bersyukur dan mengajar mereka untuk berterima kasih dan bersikap sederhana.

Satu lagi kelebihan berpuasa yang Jack kagumi ialah ia baik daripada segi kesihatan.

"Pada akhirnya, kita semua adalah sama. Berpuasa merupakan satu kewajipan peribadi yang saya rasa mengajar umat Islam supaya lebih bertanggungjawab dan berdisiplin," kata beliau.

Lagipun, Jack menjelaskan bahawa beliau menyambut baik kedatangan Ramadan setiap tahun untuk meluangkan masa bersama-sama dengan rakan Islam.

"Ia satu alasan baik untuk bertemu dengan rakanrakan Islam dan mencari rakan baru. Saya juga menikmati pelbagai juadah bermusim yang enak daripada bazar-bazar Ramadan yang hanya boleh ditemui sepanjang musim ini sahaja."

MAJLIS KEROHANIAN DAN SOSIAL

Walaupun pelbagai budaya wujud dalam masyarakat Islam, Ramadan merupakan ibadah yang menyatukan umat Islam di seluruh dunia. Duduk di hujung meja, Ali Anjum, 22, dari Pakistan mengimbau amalan berpuasa di negara asalnya di mana jiran-jiran akan dijemput untuk berkongsi makanan.

Beliau berkata walaupun amalan itu tidak ketara di Malaysia, keramahan yang ditunjukkan oleh rakyat negara ini lebih kurang sama dengan apa yang dilihat di negaranya.

"Ia bukan sukar untuk berpuasa di negara majoriti Islam seperti Malaysia. Saya juga mendapati masyarakat lain di negara ini menerima ibadah puasa dengan hati terbuka dan sungguh menyeronokkan untuk duduk bersama kaum-kaum lain ketika berbuka puasa."

Sedia maklum bahawa berpuasa ialah ibadah rohani bagi umat Islam, katanya, adalah juga penting untuk turut membabitkan seluruh keluarga dan jiran dalam berkongsi kebaikan bulan mulia ini.

"Malaysia unik kerana penduduknya menghormati setiap agama. Rakyat Malaysia berkongsi pelbagai sambutan keagamaan dalam suasana muhibah dan adalah menyeronokan untuk menjadi sebahagian daripada semangat muhibah ini."

Nurul Kirana, 25, dari Selangor tersenyum gembira kerana menyedari rakanrakan bukan Islamnya turut menunggu sehingga Maghrib untuk makan bersama umat Islam yang lain.

"Saya rasa berbesar hati kerana rakan-rakan daripada latar belakang agama yang berbeza dan kaum berlainan sedia melakukan pengorbanan sebagai menghormati agama Islam sedangkan mereka tidak perlu berbuat demikian."

Pada masa yang sama, majlis pertemuan seperti ini memperkukuh semangat kesetiakawanan antara agama memandangkan mereka dapat memahami dengan lebih baik mengapa orang Islam berpuasa.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain