suria

Memakai Penutup Muka Bukan Satu-satunya Kaedah Halang H1N1

KESEDARAN umum tentang selesema H1N1 semakin meningkat dan orang ramai dapat dilihat memakai penutup muka dalam usaha menghalang penularan virus H1N1 di negara ini.

Mereka dilihat memakai penutup muka surgikal di tempat-tempat ramai pengunjung seperti hospital, hipermarket dan pusat membeli-belah.

"Budaya memakai penutup muka untuk menghalang penularan influenza serta penyakit respiratori adalah amalan baik tetapi orang ramai janganlah menganggap amalan ini sebagai satu-satunya cara menghalang merebaknya influenza H1N1," kata seorang pegawai Bahagian Kawalan Jangkitan sebuah institusi kesihatan awam kepada penulis di satu seminar mengenai H1N1 di sini.

Pegawai itu merupakan antara peserta di Persidangan Pandemik Influenza A (H1N1) Kebangsaan 2009 yang diadakan pada 12 Sept lepas. Seminar satu hari itu dianjurkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Kementerian Kesihatan dan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM).

"Hanya mereka yang sakit perlu memakai penutup muka dan mereka yang dijangkiti virus ini sepatutnya tidak berada di luar rumah, tetapi sebaliknya mereka yang sakit ini telah pergi ke merata tempat.

"Mereka sepatutnya di kuarantin di rumah untuk menghalang daripada menjangkiti orang lain jika mereka yang sakit pergi ke tempat awam. Di rumah, mereka perlu memakai penutup muka kerana ada orang lain seperti anggota keluarga," kata beliau.

Salah faham yang timbul ialah ada orang yang menganggap bila pakai penutup muka ini, mereka yang sakit pun boleh pergi ke mana-mana yang mereka mahu, kata pegawai itu.

"Nasihat saya pada mereka yang sakit, tak perlulah keluar dari rumah dan kuarantin diri sendiri. Ini membantu menghalang penyakit daripada menular kepada orang lain," tambah beliau.

JARAK SATU METER

"Jarakkan diri sekurang-kurangnya 1.0 meter daripada sesiapa yang mempunyai tanda-tanda selesema. Penggunaan penutup muka boleh membantu menghalang jangkitan, tetapi kalau salah penggunaannya, risiko mungkin meningkat," kata Dr T.C.Lim, seorang lagi peserta seminar itu.

Kata beliau, kalau penutup muka diguna, langkah ini perlulah seiring dengan kaedah lain untuk menghalang jangkitan H1N1 dari manusia ke manusia.

Menurut Dr Lim lagi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menetapkan beberapa langkah lain seperti:

elak dari menyentuh mulut dan hidung;

basuh tangan lebih kerap dengan sabun dan air atau menggunakan sanitiser selepas menyentuh mulut atau hidung serta juga permukaan yang mungkin telah dijangkiti virus;

kurangkan masa berdekatan dengan orang yang berkemungkinan sakit;

kurangkan berada di tempat orang ramai berkerumun;

tingkatkan edaran udara di ruang rumah anda dengan membuka tingkap seberapa yang boleh;

jangan keluar rumah kalau tidak sihat.

BILA PERLU PAKAI PENUTUP MUKA?

Menurut Dr Lim, orang ramai perlu memakai penutup muka bila mereka menunjukkan simptom jangkitan respiratori (saluran pernafasan) atau demam.

"Juga kalau anda menjaga mereka yang mempunyai simptom penyakit respiratori atau telah menyentuh mereka yang mempunyai simptom sebegini.

"Anda juga perlu memakai penutup muka bila melawat rakan atau ahli keluarga di hospital dan juga tempat-tempat yang ramai orang dan mempunyai aliran udara yang tidak baik," kata beliau.

JANGAN PAKAI SEMULA PENUTUP MUKA

Dr Lim menasihati orang ramai supaya menggantikan penutup muka bila bahan itu telah menjadi lembap atau basah dengan yang baru, bersih serta kering.

"Jangan pakai semula penutup muka yang telah digunakan. Terus buang dan basuh tangan anda sebaik sahaja anda membuang penutup muka yang telah dipakai".

Pemakaian penutup muka hanyalah satu kaedah menghalang infeksi droplet serta jangkitan saluran respiratori. Penjagaan kebersihan diri adalah amat penting, kata beliau.

"Kalau pakai penutup muka pun, anda perlu memastikan tahap kebersihan badan yang baik kerana tiada penutup muka yang boleh memberi perlindungan sepenuhnya", kata Dr Lim.

LEBIH MUDARAT DARI KEBAIKAN

Seorang lagi peserta seminar yang mahu dikenali sebagai Dr Wong berkata beliau nampak ada orang yang memakai penutup muka walaupun tiada orang lain disekelilingnya.

Menurut beliau, virus H1N1 tidak hidup di udara.

"Dalam kategori virus yang boleh hidup di udara, virus itu boleh hidup di udara selama beberapa jam atau satu masa yang agak lama berterbangan di udara. Virus H1N1 bukanlah dalam kategori ini," kata Dr Wong yang bertugas di sebuah pusat perubatan swasta di sini.

"Kelihatan ramai yang pakai penutup muka di tempat adanya ramai orang. Tetapi tempat-tempat seperti lapangan terbang, kompleks membeli belah dan sekolah terdapat banyak kuman dan virus. Kalaulah seekor dua kuman dan virus dapat masuk melalui lubang di penutup muka, anda menyediakan satu tempat pembiakan yang baik bagi mikroorganisme ini.

"Ini boleh menyebabkan jangkitan. Kelembapan yang anda keluarkan di penutup muka memberikan satu tempat pengembangan yang baik bagi kuman serta virus membiak," kata beliau.

HALANG PENDEDAHAN TERHADAP VIRUS H1N1

Cara yang terbaik untuk menghalang jangkitan virus H1N1 ialah elak daripada bersentuhan secara fizikal dengan mereka yang sakit atau yang telah dijangkiti. Juga elak menyentuh permukaan yang terdedah kepada sentuhan ramai orang seperti besi penghadang di tangga eskalator, tiang dan pemegang pintu tandas awam.

Virus H1N1 biasanya menjangkiti bila seseorang menyentuh permukaan yang telah dijangkiti virus ini dan menyentuh jari mereka pada hidung, mulut atau mata.

Membasuh tangan dengan kerap adalah perlindungan yang terbaik terhadap pendedahan kepada virus ini.

"Memakai penutup muka hanya boleh menolong menghalang anda daripada menjangkiti orang lain kalau anda telah dijangkiti virus ini," tambah Dr Wong. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain