Perubahan dalam Ahli Parlimen sejak 52 tahun lepas

Diterbitkan: Khamis, 10 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sejak pilihan raya umum ke-12 pada 2008, adalah jelas rakyat kini sudah berubah selera dalam memilih wakil rakyat di samping berlaku bibit-bibit evolusi ke arah sistem dua parti.

Tetapi apakah yang mendorong semua perubahan ini?

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh dalam temubual dengan Bernama baru-baru ini, berpendapat Malaysia tidak terkecuali daripada mengalami evolusi semulajadi ini selepas mengamalkan demokrasi berparlimen selama 52 tahun.

PERUBAHAN DALAM PROFIL AHLI PARLIMEN

Abdul Hamid mengimbas ketika 70-an bergema dalam UMNO yang berkehendakkan golongan profesional dan berijazah menjadi calon.

Mulalah dalam UMNO mereka yang ada ijazah mengambil tempat daripada cikgu dan penghulu.

Kemudian kemuncak pada pilihan raya 1982 banyaklah ahli profesional dan mereka berijazah dalam Parlimen dan rakyat menunggulah Parlimen yang lebih hebat yang dianggotai oleh para profesional dan berijazah.

Tetapi timbul pula aduan yang mereka ini adalah bijak pandai tetapi malas untuk hadir di Parlimen.

"Baik lagi kelompok dahulu, tak faham, tak hebat tetapi selalu hadir di Parlimen. Berapa lama isu ini menghantui kita tak cukup korum, Parlimen lebih profesional tetapi korum tak cukup. Apa makna.. Jadi itu sebab saya katakan jangan angkuh siapa layak siapa tak layak.

"Keutamaan mereka untuk kejar benda-benda lain tidak dukung tugas yang diberikan kepada mereka oleh rakyat," jelas beliau.

Beliau menyoal, "Mana mau yang berkelayakan tapi tak penting atau yang tak berkelayakan tapi penting?".

KUALITI WAKIL RAKYAT

Mengenai kualiti wakil rakyat, kata Abdul Hamid, "tiada siapa yang berhak untuk menentukan soal kualiti dengan sendiri".

Dalam setiap pilihan raya bagi setiap kawasan, keputusan ditentukan rakyat yang keluar mengundi beramai-ramai.

Tetapi kayu ukur kelayakan itu bukan sama bagi semua kerana ada yang berpendapat yang antaranya ilmu lebih baik, keperibadian lebih mustahak, pandai bercakap dan pandai bekerja.

Oleh kerana mengikut amalan demokrasi pemilihan setiap wakil rakyat itu adalah atas keputusan orang ramai, maka keputusan majoriti tidak boleh ditolak walaupun ada pihak berfikir calon itu bukan yang terbaik.

DEMOGRAFI PENTING

Mengenai pemilihan ahli Parlimen berbanding dahulu dan sekarang, Abdul Hamid berkata, Parlimen pertama dahulu angkatan ketika itu yang memilih.

Tetapi wakil-wakil rakyat yang ada sekarang ini dipilih oleh angkatan atau angkatan orang yang ketika itu belum lahir lagi.

Keutamaan dan aspirasi adalah berlainan, jadi bukan wakil rakyat itu yang berubah sebaliknya generasi yang memilih wakil rakyat itu yang telah berubah.

Sebab itu dalam perjalanan demokrasi, demografi ialah satu konsep yang cukup penting kerana perubahan demografi yang menentukan demokrasi di Malaysia.

Kadang-kadang ramai lupa tentang perubahan demografi, misalnya dahulu masyarakat bukan Melayu yang mendiami Kuala Lumpur, orang Melayu di kampung tetapi sekarang mana ada bulan puasa Kuala Lumpur sunyi.

Jadi perubahan demografi membawa kepada ciri-ciri demokratik dan oleh itu perlulah berhati-hati dalam soal demografi dengan demokrasi.

KUALITI PERBAHASAN

Bercakap tentang kualiti perbahasan ahli Parlimen dahulu berbanding sekarang, Abdul Hamid berkata sudah tentulah ia mengikut perjalanan semasa, selaras dengan perkembangan pendidikan dan pengajian tinggi di negara ini.

Pada masa sekarang ahli Parlimen adalah lebih terlatih, berpengetahuan dan atas sebab itu sudah tentu kualiti debat jelas mencerminkan lebih bermaklumat dan berpengetahuan.

"Bagaimanapun kalau Parlimen tidak cukup korum nak debat apa?.

"Komitmen satu, pengetahuan satu, mutu satu tapi komitmen mendukung tugas sebagai ahli Parlimen adalah juga penting", tambah beliau.

Manakala Naib Pengerusi SUHAKAM Tan Sri Simon Sipaun, pula mempunyai pendapat yang berlainan.

Beliau mahu isu yang lebih penting bagi negara diberi keutaman berbanding isu yang remeh-temah semasa perbahasan.

Beliau berpendapat tugas Parlimen ialah meluluskan undang-undang untuk memudahkan rakyat tinggal dalam satu suasana yang lebih selesa dan bukan menyusahkan.

"Apa guna buat undang-undang yang menyusahkan rakyat. Jadi saya harap ahli Parlimen tumpukan tenaga, kebolehan dan pemikiran mereka kepada isu selain daripada yang remeh temeh dan yang peribadi.

Kalau ada isu-isu peribadi hendaklah dijalankan dalam forum yang lain dan bukannya di Parlimen, jelas Simon.

SUMBANGAN TERBESAR

Sumbangan terbesar Parlimen sejak 52 tahun penubuhannya dapat dilihat dengan jelas daripada segi keselamatan, kestabilan dan kemakmuran melalui pembangunan ekonomi.

Semua ini berlaku dan berkembang di bawah perjalanan demokrasi berparlimen.

"Ini satu soal yang cukup pokok kena ada demokrasi berparlimen," kata Abdul Hamid.

Atas pencapaian yang dinikmati selama ini setiap orang harus memperingati diri untuk menerima suara ramai.

Dalam menyelesaikan persoalan dan isu yang besar melibatkan semua, hendaklah balik kepada suara ramai kerana ia adalah intisari demokrasi berparlimen.

"Suara pemimpin mungkin tidak melibatkan semua. Ada yang sokong pemimpin ini dan ada yang sokong pemimpin itu", katanya.

SISTEM DUA PARTI

Kalau diselami sejarah dan dilihat demokrasi yang telah matang misalnya demokrasi yang berusia 200 tahun di Perancis dan ratusan tahun di Kanada, dapat dilihat bagaimana sama sahaja ketika itu negara-negara berkenaan mempunyai banyak parti, seolah-olah mengalir menyatupadu.

Tetapi akhirnya hanya tinggal dua atau tiga parti di negara maju berkenaan seperti di Amerika Syarikat (Republik dan Demokrat), di Britain (Konservatif dan Liberal).

Seolah-olah dalam isu yang besar akhirnya ada insan yang mirip kiri dan ada insan yang mirip kanan.

Atas sebab-sebab itu Malaysia tidak terkecuali daripada arus perjalanan sejarah dalam hal ehwal demokrasi.

Bagi Malaysia, Abdul Hamid berkata memang ada bibit permulaan kewujudan sistem dua parti di tanah air.

Beliau menerima dan mengakui proses ini adalah proses yang tidak boleh ke belakang lagi dan ia akan terus menular dalam politik tanah air.

Lihat sahaja perkembangan di India, Indonesia, Mesir disebabkan kepelbagaian pandangan politik mengikut kelompok akhirnya telah mengalir menjadi dua iaitu kiri dan kanan yang merupakan proses peradaban ketamaduan manusia.

Perubahan kepada sistem dua parti itu, menurut beliau adalah sihat kerana ia selaras dengan tuntutan dan aspirasi manusia sejagat.

Bagi beliau apa sahaja yang menjurus kaum, bangsa, negara supaya sealiran dengan perkembangan sejagat dan boleh 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' dengan bangsa-bangsa di atas muka bumi ini, ia adalah satu perkara yang sihat.

Bagi Simon walau siapa pun yang memerintah, kerajaan hendaklah adil kepada semua dan jangan salahguna undang-undang hingga boleh memberi kesengsaraan kepada orang lain.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan