SPPNS rintis program kelayakan selam skuba

Diterbitkan: Isnin, 7 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Para media bergambar ketika menyelam pada program 'Start in Tioman', pengenalan selam skuba bagi media sempena Tioman Mega Dive 2009 di sini. Foto: Mohd Azhar Ibrahim
Para media bergambar ketika menyelam pada program 'Start in Tioman', pengenalan selam skuba bagi media sempena Tioman Mega Dive 2009 di sini. Foto: Mohd Azhar Ibrahim

PULAU TIOMAN: Sebagai usaha meningkatkan kemahiran dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi pelajarnya, Sekolah Perhotelan dan Pelancongan Negeri Sembilan (SPPNS) bekerjasama dengan pengusaha aktiviti menyelam di Pulau Tioman, Azmi Dive Sdn Bhd (ADSB), untuk mengadakan program kelayakan selam skuba bagi para pelajarnya.

Program kelayakan selam skuba ini dibiayai dan diurus oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Di bawah program itu yang bermula Julai, 100 pelajar SPPNS berusia dari 18 hingga 43 tahun menerima elaun bulanan RM500 sepanjang latihan intensif dua bulan dengan ADSB, yang kemudian akan melayakkan mereka mendapatkan pentauliahan sebagai pakar atau "dive master" di bawah program Professional Association of Diving Instructors (PADI).

Disebabkan jumlahnya yang besar, para pelajar ini dilatih secara berperingkat di Scuba-Naut Dive Centre di Salang Pusaka Resort, Pulau Tioman.

TINGKAT KEMAHIRAN

Ditubuhkan oleh Yayasan Negeri Sembilan pada 2007, SPPNS merupakan cetusan idea Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, yang mahu memperbaik mutu perkhidmatan dalam industri hotel dan pelancongan di negeri ini.

Dengan petugas seramai 10 orang, SPPNS turut menjalankan kursus pramusaji, dan pengurusan kaunter hadapan yang berkaitan dengan industri hotel serta kursus pemandu pelancong bagi mereka yang di dalam industri pelancongan.

Ketua Kajian, Norazimah Kamaruddin memang memikirkan cara untuk meningkatkan keyakinan diri para pelajarnya dan menyediakan mereka peluang untuk meningkatkan kemahiran dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

Ketika mengunjungi Malaysian International Dive Expo 2009, di mana beliau mengetahui mengenai keperluan mendesak melahirkan lebih ramai jurulatih selam skuba Malaysia yang mempunyai pentauliahan antarabangsa, beliau mendapat idea untuk mengadakan program kelayakan selam skuba ini.

Kemudian beliau mengemukakan cadangan itu kepada pengerusi SPPNS Datuk Roslan Md Yusof, yang memberi restu.

MALAYSIA DESTINASI UTAMA SELAM SKUBA

Dengan memiliki alam marin antara yang terkaya di lembangan Indo-Pasifik, Malaysia semakin menjadi destinasi utama aktiviti menyelam.

Daripada kawasan menyelam yang bermula dari 8 meter hingga sedalam lebih 40 meter di sesetengah tempat terdapatnya bangkai kapal, Tioman boleh dianggap tempat terbaik untuk belajar mengenai selam skuba.

Disebabkan itu tidak menghairankan bila selain promosi tahunan Tioman Mega Dive, Majlis Tindakan Pelancongan Pahang baru-baru ini memperkenal program pengenalan selam skuba bagi media, 'Start in Tioman'

"Tioman sebenarnya mempunyai kelebihan untuk menjadi dunia selam skuba, Saya berharap pengusaha aktiviti menyelam di sini boleh bekerjasama untuk memperbaik operasi mereka dan menggalakkan akiviti menyelam di Tioman," kata Setiausaha Bahagian Dasar, Perancangan dan Hal Ehwal Antarabangsa Kementerian Pelancongan Halimi Ibrahim semasa Tioman Mega Dive 2009 baru-baru ini.

PENSIJILAN PADI DIIKTIRAF ANTARABANGSA

Ditubuhkan pada 1996, PADI merupakan pertubuhan latihan penyelam yang terbesar di dunia dan merupakan yang pertama mempiawaikan pendidikan menyelam.

"Para pelajar SPPNS perlu lulus tiga modul latihan -- terdiri daripada menyelam di laut terbuka, selam skuba lanjutan, penyelam penyelamat dan tindakan awal kecemasan dan bantuan menyelamat, sebelum mereka boleh meneruskan latihan peringkat akhir, mendapatkan pentauliahan - PADI Scuba Dive Master Certification," kata pengurus operasi dan jurulatih selam ADSB Nor Xyman Bakri.

Aktiviti menyelam dilakukan di kawasan laut terbuka sedalam 8 meter dan ditingkatkan kepada maksimum 30 meter untuk peringkat lanjutan dan menyelamat.

Bagi setiap sesi menyelam, pelajar akan memahirkan diri dengan prosedur menyelam dan ciri-ciri keselamatan, mengurangkan menyedut udara melalui teknik betul pernafasan di bawah air.

Setiap pelajar diperlukan melakukan sekurang-kurangnya 60 selaman sebelum seseorang itu diterima untuk kelas PADI Dive Master.

Latihan menyelam dan menyelamat memastikan pelajar membuat persiapan untuk mengelakkan masalah sebelum ia berlaku, dan melakukan selaman kecemasan jika diperlukan. Penyelam penyelamat PADI diajar untuk tidak hanya memikirkan diri mereka sebaliknya mengambil kira keselamatan dan keadaan orang lain.

"Kami ajar mereka bagaimana untuk mengenal dan menangani stres penyelam lain, memberi semangat kepada penyelam yang panik, melakukan pernafasan artifisial dan cara membawa keluar ke permukaan air penyelam yang pengsan. Ini termasuk rawatan kecemasan, pengurusan kecemasan dan peralatan serta teknik bantuan pernafasan (CPR)," kata pakar selam atau dive master PADI Radzuan Ismail kepada Bernama baru-baru ini.

"Dalam dunia selam skuba, Dive Master ialah satu-satunya orang yang biasanya boleh mengelakkan tragedi kematian, kekecewaan dan kesedihan," kata Radzuan yang juga popular dengan gelaran 'Bullshark' dalam kalangan komuniti penyelam, yang mencatat nama di dalam Malaysia Book of Records sebagai orang paling lama berada di bawah air (12jam 45min) pada 2007.

Disebabkan standard latihan dan kawalan kualiti yang tinggi, pakar selam PADI Malaysia memang menjadi rebutan pusat-pusat menyelam di seluruh dunia.

Oleh itu pelajar SPPNS tidak akan menghadapi masalah untuk mendapat pekerjaan di luar dan di dalam negara, memilih tempat yang baik dan pendapatan yang lumayan setelah mereka memperoleh sijil PADI Dive Master.

MANTAPKAN DISIPLIN DAN KEYAKINAN DIRI

Radzuan menasihati penyelam baru supaya benar-benar mengutip pengalaman daripada apa yang diajar dan bergembira semasa menyelam. Sambil itu beliau mengingatkan mereka supaya tidak terlalu ghairah sehingga mereka lupa memerhatikan penyukat tekanan pada mereka.

Walaupun masih baru, program latihan dan penempatan Kelayakan Selam Skuba ini telah menarik minat ramai sebagai satu jalan bagi meningkatkan kemahiran dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri hospitaliti.

Jadi apa pendapat para pelajar mengenai program ini?

Sebelum menghadiri program ini, Hamsah Hassan 28, dari Lahad Datu, Sabah, merupakan seorang yang pemalu dan sukar baginya untuk memulakan perbualan dengan orang yang tidak dikenalinya.

"Sebelum ini saya sangat pemalu dan tiada keyakinan diri, tetapi selepas melalui kursus menyelam PADI ini, saya agak selesa untuk memulakan langkah dalam setiap situasi yang dihadapi," katanya.

Baizura Abdul Zani, Nor Sahira Mohd Fuad dan Amanina Nur Hani Idris, ketiga-tiganya berusia 19 tahun, pada mulanya pula tidak begitu minat dengan sukan air dan berasa tidak selamat bila terendam dalam keadaan laut terbuka. Bagaimanapun bila melihatkan semangat kawan-kawan, ketakutan mereka hilang, dan kini tidak sabar-sabar untuk menjadi pakar selam skuba.

"Terus terang saya katakan, pada awalnya saya bimbang kerana sesetengah pelajar begitu pemalu hinggakan pada mulanya saya menolak permohonan mereka daripada menyertai program ini. Bagaimana mereka bersungguh-sungguh mahu menyertainya dan kini saya gembira mereka berjaya," kata Norazimah.

Jalan menuju kejayaan memang panjang dan sukar, penuh dengan ujian dan cabaran yang harus ditempuhi. Tetapi dengan keazaman yang ditunjukkan para pelajar ini, pastinya perjalanan yang ditempuhi tidak akan sia-sia. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan